Showing posts with label Seram. Show all posts
Showing posts with label Seram. Show all posts

Sunday, December 26, 2010

Destinasi Pelancongan Yang Menyeramkan

0 comments

La Isla de la Munecas (Latin- yang bermaksud Pulau Anak Patung) adalah merupakan salah sebuah destinasi pelancongan yg terkenal di dunia. Terletak di negara Mexico, dan dengan melihat pada namanya, orang mungkin memikirkan suatu tempat yang menarik dan meninggalkan kenangan yang indah. Tetapi hakikatnya, senario yang wujud adalah sebaliknya dan sangat menganggu pandangan bilamana beribu ribu anak patung yang kebanyakannya telah cacat dan buruk bergantungan hampir di kebanyakan pokok di pulau itu.


Don Julian Santana, telah menyepi dari keluarganya serta dunia luar untuk menghuni pulau ini dan telah mengabdikan 50 tahun dari hayatnya untuk mencipta 'La Isla de la Munecas'. Dikatakan, beliau melakukan semua ini adalah untuk memberi ketenangan kepada roh kanak kanak perempuan yang telah lemas di dalam terusan yang ada disitu. Apa pun alasannya, dia berjaya mengubah pulau itu menjadi tempat yang aneh, misteri dan menyeramkan dimana setiap pergerakan terasa bagai diperhatikan oleh ratusan pasang mata milik anak anak  patung tersebut.



Don Julian sentiasa memencilkan diri dan akan hanya keluar apabila ingin mengumpulkan anak anak patung samada yang telah rosak di tapak pembuangan sampah atau dibeli sebagai pertukaran dari hasil tanamannya yang berbentuk buah buahan dan sayuran. Adalah dipercayai bahawa beliau tidak suka pada pencerobohan atau diganggu  dan atas sebab itu beliau cuba menakutkan manusia dari menghampiri tempatnya dengan menggantungkan wajah wajah anak patung yang menyeramkan.


Pada tahun 2001, Don Juan telah didapati mati lemas didalam terusan yang sama di sekitar rumahnya. Biarpun pada dunia, beliau telah mati tetapi pandangan yang menyeramkan miliknya tetap ada disitu melalui wajah wajah anak patung yang tidak bernyawa, rosak dan digantung yang seolah olah menggambarkan hukuman dan seksaan manusia yang sadis.


Tempat ini kekal menyeramkan namun menyediakan tarikan pelancongan kepada anak muda yang gemar kepada darah dan kematian. Banyak pula pengunjung yang berasa sedih dan simpati pada wajah wajah anak patung yang sebenarnya tidak bernyawa namun tetap memandang kepada pengunjung seolah olah mereka yang menyebabkan kematiannya. 

Tuesday, November 30, 2010

Jelmaan Di Landasan Keretapi

0 comments

Disebelah selatan Daerah San Antonio, Texas, terdapat sebuah lokasi yang berdekatan dengan kawasan San Juan Mission yang merupakan persimpangan antara jalan raya dan landasan keretapi, yang agak popular didalam senarai Cerita Hantu Amerika. Lintasan keretapi itu, sebagaimana yang diceritakan, adalah merupakan tapak kemalangan tragik dimana beberapa kanak kanak sekolah telah terbunuh manakala roh mereka masih bergentayangan di tempat tersebut. Banyak pihak yang ingin tahu lebih lanjut tentang perkara tersebut telah datang dari serata tempat untuk menyaksikan fenomena aneh ini didepan mata mereka sendiri. 

Ceritanya telah menjadi legenda setempat dan dipercayai telah berlegar diantara masyarakat sejak lebih 20 tahun yang lalu. Kisahnya mempunyai berbagai versi namun yang pasti berkisar dari satu cerita yang sama :

Sekitar tahun 1930 an (atau 40an), sebuah bas sekolah yang penuh dengan kanak kanak sedang dalam perjalanan untuk melintasi persimpangan tersebut apabila ia tiba tiba tersekat diatas rel keretapi. Sebuah keretapi yang sedang meluncur laju telah melanggar bas tersebut dan menyebabkan 10 orang kanak kanak terbunuh bersama sama pemandu bas tersebut. 

Sejak dari itu, sebarang kenderaan yang berada di sekitar kawasan kemalangan akan ditolak ketempat yang selamat oleh 'sesuatu' yang tidak dapat dilihat. Orang ramai percaya, perbuatan menolak kereta itu telah dilakukan oleh roh roh mereka yang terkorban demi untuk mengelakkan tragedi dan nasib yang menimpa mereka berulang kembali.

Sehingga ke hari ini, terdapat banyak kenderaan yang beratur dipersimpangan berhantu tersebut untuk memastikan samada perkara ini benar atau sekadar cerita orang.  Para pemandu memberhentikan kereta pada jarak 20 ke 30 meter dari landasan dan meletakkan gear pada kedudukan neutral malah ada yang sengaja menutup enjin. Sangat jelas, biarpun dalam keadaan mendaki  bukit, kereta akan mula bergerak dengan perlahan pada awalnya dan sedikit demi sedikit menambah kelajuan sehingga ia tiba di cerun dan seterusnya melepasi landasan - sesuatu yang menambah keanehan dengan gerakan melawan graviti dan ini berlaku pada setiap kenderaan. 

Bukan itu sahaja, lanjutan dari cerita ini adalah kesan serbuk putih yang seakan akan talkum atau bedak bayi yang terserak di bonet dan bumper belakang kereta. Kelihatan diatas serbuk itu, kesan jari dan tapak tangan yang bersaiz kecil. Ramai yang telah menguji cerita ini mengaku, memang mereka boleh melihat kesan tapak tangan kanak kanak diatas serbuk tersebut.

Gambar asli oleh Andy & Debi Chesney
Pengalaman Unik

Fakta atau fantasi ? Adakah ianya benar benar fenomena aneh ataupun sekadar cerita rakyat yang ditokok tambah oleh para penggemar misteri yang mempunyai daya imaginasi yang tinggi ?

Salah seorang yang mempunyai pengalaman unik berhadapan dengan perkara tersebut adalah seorang presiden kumpulan Wayanay Inka, sebuah persatuan muzik di Peru yang bernama Brenda Pacheco. Ujarnya ketika menulis di mysa.com "Saya meletakkan kereta dengan gear neutral, mengalihkan kaki dari penginjak, dan kereta saya mula bergerak laju menuju ke landasan, melintasi kawasan 'bump' dan turun ke kawasan bertentangan .. dan ya , keluar dari kawasan bahaya"

Pacheco juga berjaya menemukan kesan serbuk putih dbelakang keretanya. "Saya berasa sangat teruja, segera keluar dari kereta dan terus kebelakang, disana saya dapati kesan tapak tangan yang kecil, sangat terang dan jelas dan sangat sangat kecil. Tanda itu sangat sempurna sehingga kita boleh melihat garis ditapak tangan dan bentuk pusaran jari"

Beliau menjadi sangat takjub dengan apa yang di alami dan kejadian itu mendorongnya untuk mencuba sekali lagi. Cubaan yang kedua ini membuahkan hasil yang lebih memeranjatkan. "Setelah kejadian yang serupa berulang, saya terus memerika belakang kereta saya dan kali ini kesan tapak tangan itu turut kelihatan sehingga ke cermin pintu belakang, disamping satu tapak tangan milik orang dewasa dibahagian tepi pintu belakang. Mungkin kah ini kesan tapak tangan dari pemandu bas tersebut .. ? Inilah yang saya fikirkan" katanya mengakhiri catatan. 

* Kisah disebalik cerita ini mungkin sahaja tidak wujud, tetapi terlalu banyak perkara yang terjadi yang menuntut kepada penjelasan . Apakah yang paling logik untuk menerangkan perkara ini ? 

Saturday, November 20, 2010

Jelmaan Freddy Jackson

0 comments

Foto yang mengagumkan ini telah diambil pada tahun 1919, dan mula diterbitkan kepada umum dalam tahun 1975 oleh Sir Victor Goddard, seorang pegawai RAF (Royal Air Force) yang telah bersara. Ianya merupakan potret ahli skuadron Goddard, yang telah berkhidmat semasa Perang Dunia Pertama dari atas kapal pengangkut HMS Daedalus. Ketika foto ini siap diproses, kelihatan satu bayangan wajah yang muncul dibelakang salah seorang tentera tersebut (belakang sekali, empat dari kiri). Bayangan wajah tersebut akhirnya dikenalpasti milik Freddy Jackson, mekanik udara yang telah terbunuh secara tragik (dilanggar kipas kapalterbang yang sedang berputar) 2 hari lebih awal. Pengebumiannya pula telah dilangsungkan pada waktu foto ini diambil. Ada yang mengatakan, Jakson, yang tidak menyedari dirinya sudah mati, telah memutuskan untuk turut serta dalam gambar berkumpulan ini.

* perghh .. hantu pon nak glemer gak .. huhuhu

Hantu Tulip Staircase

0 comments


Rev. Ralph Hardy, seorang paderi yang telah bersara dari White Rock, British Columbia, mengambil foto ini (yang kemudiannya menjadi masyhur pada tahun 1966). Pada mulanya, dia hanya bercadang untuk mengabadikan gambar sebuah tangga  yang anggun (dikenali sebagai "Tulip Staircase") di Rumah Permaisuri (Queen's House), iaitu salah sebuah ruang didalam House National Maritime Museum  di Greenwich, England. Setelah diproses , bagaimanapun, foto telah mendedahkan satu betuk bayangan yang seolah olah ingin mendaki tangga dengan kedua belah tangan memegang susurnya. Pakar pakar, termasuk beberapa orang yang didatangkan dari Kodak, telah memeriksa negatif asal, menyimpulkan bahawa ianya asli dan tidak diedit. Dikatakan sememangnya bebayang makhluk  itu sering kelihatan disisi tangga tersebut disamping bunyi tapak kaki yang tidak dapat dijelaskan. 

Foto ini bukanlah satu satunya bukti kewujudan entiti di ruang Queen House. Bangunan yang berusia 400 tahun ini menyimpan banyak kisah penampakan dan bunyi bunyi yang membingungkan sehingga ke hari ini. Terbaru, seorang pembantu galeri yang sedang berbual dengan 2 orang temannya di waktu rehat, telah melihat salah satu dari pintu besar di Bridge Room tertutup dengan sendirinya. Pada mulanya beliau menyangka pintu tersebut telah ditutup oleh salah seorang pensyarah disitu, "Kemudian saya melihat bebayang seorang wanita meluncur merentasi balkoni dan menembusi dinding balkoni di sebelah barat", katanya. "Saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat, saya rasa sangat sejuk dan bulu roma saya merinding. Kami semua meluru melintasi Bilik Persalinan Permaisuri sambil memandang kebawah kearah Bilik Tidur Permaisuri. Disitu kami semua terkaku apabila terlihat makhluk seorang wanita yang berpakaian kain berwarna kelabu dan berbaju putih".

Kejadian lain termasuk bunyi percakapan berlagu dari sekumpulan kanak kanak yang tidak dapat dijelaskan, kelibat seorang wanita pucat yang sedang mengemop lantai dari percikan darah di bahagian bawah Tulip Staircase (diberitakan, 300 tahun yang lalu, seorang pembantu rumah terbunuh setelah dihumban dari ketinggian 50 kaki dalam bangunan tersebut), bunyi pintu yang dibuka katup malah para pengunjung telah dicuit oleh jari yang tidak kelihatan.

10 Hotel Berhantu Di Scotland

0 comments

Dengan dipagari dengan kehijauan kebun yang subur, dewan jamuan makan yang seolah olah tiada penghujung dan jumlah bilik tidur yang tidak terhitung banyaknya, adalah tidak menghairankan apabila kebanyakan istana istana lama di Scotland telah bertukar wajah menjadi hotel hotel mewah. Tetapi ada beberapa penginap hotel hotel ini mendakwa telah menyaksikan pelbagai imbasan yang kadangkala amat menakutkan - elemen dari masa silam - yang terus mengacau dan menghantui tetamu tetamu hotel yang pada masa ini kerap berkunjung ke "rumah lama mereka". Berikut adalah 10 hotel di negara ini yang didakwa sering ternampak kewujudan makhluk makhluk ghaib tersebut.

Borthwick Castle, Edinburgh
Istana yang terbina pada kurun ke 13 ini dikatakan dihuni oleh 2 makhluk ghaib. Yang pertamanya merupakan seorang gadis pelayan muda yang dibunuh bersama anak luar nikahnya. Dikatakan anak dari gadis itu kelak akan menjadi pewaris tunggal kepada nama keluarga, maka sebab itu dia dibunuh. Yang keduanya pula adalah merupakan seorang akauntan yang dibakar hidup hidup di Istana Borthwick bagi tujuan pemujaan. Biarpun terdapat cerita yang sebegini, namun hotel ini tetap menerima tamu dari orang orang terkenal termasuk Mary, Permaisuri Scotland yang menginap di hotel ini untuk berbulan madu.

Sheildhill Castle, Biggar 
Bayang bayang seorang wanita telah dilihat oleh ramai tetamu mundar mandir di koridor Sheildhill. Dipercayai wanita tersebut adalah penghuni asal istana ini yang telah jatuh cinta dengan rakyat kebanyakan. Hal ini telah diketahui oleh bapanya, seorang aristokrat, lalu percintaan mereka mendapat tentangan yang kuat sehingga si gadis itu mengambil keputusan untuk membunuh diri. Satu lagi makhluk yang menyerupai seseorang yang memakai seragam ketua pelayan juga telah dilihat merayau didalam bekas kuarters pekerja hotel. Sheildhill adalah milik keluarga Canselor yang tinggal di situ pada 750 tahun yang lalu, sebelum diubah menjadi sebuah hotel pada tahun 1959.

Comlongon Castle, Dumfries and Galloway
Dikatakan bahawa istana kurun ke 14 yang terletak berdekatan Gretna ini dihantui oleh Lady Marion Carruthers, yang mana beliau bersama adiknya, mewarisi kekayaan dari ayah mereka. Lady Marion dipercayai lebih rela membunuh diri dari dikahwinkan dengan Sir James Douglas, yang keluarganya diketahui hanya ingin membolot kekayaan yang dimiliki oleh ayahnya. Oleh kerana ia membunuh diri, Lady Marion tidak diberikan pengebumian yang sewajarnya dan kini dipercayai terus menghantui istana tersebut dengan menjadikannya tempat istirehat terakhirnya.

Airth Castle, Stirlingshire 
Dikatakan terdapat kelibat seorang pengasuh bersama 2 orang kanak kanak yang dipercayai telah hangus dalam sebuah kebakaran di istana ini. Suara kanak kanak yang sedang bermain sering terdengar didalam bilik bernombor 3, 9 dan 23. Tetamu di Airth Castle juga telah dilaporkan mendengar bunyi tangisan dan jeritan milik orang gaji yang dikatakan telah didera oleh majikannya. Seekor anjing jyang gemar menggigit pergelangan kaki juga sering kelihatan mundar mandir di lorong lorong bilik. Istana ini pernah dimilik oleh Robert The Bruce pada kurun ke 14. Ia dikelilingi dengan perkuburan abad ke 12, Kandang kuda kurun ke 18 dan mempunyai 14 ekar kawasan taman.

Norwood Hall, Aberdeen
Norwood dikatakan dihuni oleh 3 roh. Pada tahun 1872, Kolonel James Ogston telah membeli Norwood Hall sebagai tempat tinggal untuk perempuan simpanannya. Roh Ogston dan perempuan simpanannya yang menghantui hartanah ini sementara roh isteri ke 3 nya pula dikhabarkan mengejar ke dua dua roh tadi.


Roh Sir Duncan Campbell telah terlihat merayau di Barcaldine mencari orang yg disyaki telah membunuhnya. Barcaldine telah dibina oleh Campbell pada awal abad ke 17. Keluarga Campbell telah membeli semula istana itu pada abad ke 19 selepas menjualnya pada abad sebelumnya.


Ord House Hotel, Inverness-shire
Kelibat hantu seorang wanita dikatakan merayau di koridor Ord House diwaktu malam dan sering duduk di birai katil tetamu dengan memakai pakaian tidur Victoria. Ia juga sering mengalihkan lukisan dari dinding bilik. Ord House pernah menjadi rumah kepada Clan McKenzie.


Auchen Castle , Dumfries and Galloway 
Seorang budak lelaki sering kelihatan berjalan naik turun ditangga utama hotel ini menjelang waktu fajar. Istana ini dibina pada tahun 1220 dan mempunyai banyak tetamu yang terkenal yang menginap disini termasuk The Beatles




Ackergill adalah merupakan sebuah lokasi yang telah banyak menyaksikan pertempuran berdarah antara keluarga Keith dan keluarga Gunn. Cerita legenda mencatatkan Helen Gunn telah menghumbankan dirinya dari atas menara untuk melarikan diri dari John Keith yang telah menculiknya. Dia dikatakan sering kelihatan merayau dengan memakai pakaian berwarna hijau.

Ardoe House, Aberdeenshire
Ardoe dipercayai dihantui oleh seorang wanita berkulit putih yang sentiasa mengelilingi lukisan wajah Katherine Ogston, isteri kepada saudagar sabun, Alexander Milne Ogston. Pasangan ini tinggal di istana ini dari 1839 dan dipercayai hantu tersebut merupakan jelmaan Puan Ogston. Cerita lain mengatakan bahawa hantu tersebut adalah anak gadis kepada pemilik sebelumnya. Gadis itu telah dirogol dan didapati mengandung. Akhirnya dia membunuh diri bersama anak yang dalam kandungannya.  

* walaupun semua hantu tersebut dok kat hotel .. tapi dipercayai takde satu pon yang pandai nyanyi lagu hotel california .. keh keh keh 

Friday, November 19, 2010

10 Filem Paling Menyeramkan

0 comments

The Exorcist .
Pengarah William Friedkin mempunyai tugas berat untuk menterjemahkan novel William Peter Blatty kelayar perak namun ia berjaya dengan cemerlang. Filem ini mengekalkan unsur suspens tanpa sebarang bantuan kesan khas dan garapannya tidak kaku. Terbitan semula filem The Exorcist baru baru ini dengan ditambah sentuhan baru dengan kesan yang dipertingkatkan, membuatkan ianya menjadi lebih menarik. Tidak dinafikan, ia adalah sebuah filem yang paling menakutkan sepanjang masa.


The Haunting
Lupakan pembuatan semula filem ini pada 1999 yang mengecewakan, naskah asal yang diarahkan oleh Robert Wise pada tahun 1966, adalah cerita yang benar benar menakutkan. Julie Harris telah beraksi dengan cemerlang dengan membawakan watak Eleanor, yang bersama watak watak lain, telah dipujuk untuk  tinggal selama satu malam di sebuah rumah yang terkenal dengan gangguan hantunya. Diakui pada ketika itu, kesan khas tidak begitu meyakinkan namun ia berjaya meninggalkan bekas yang mendalam kepada penonton. Babak menyeramkan : Ada sesuatu yang membentur ke pintu bilik Eleanor dan ia meminta agar Theo, rakan sebiliknya agar berhenti memeluknya dengan kuat, sedangkan Theo ketika itu sebenarnya berada dibilik yang berasingan.

Jacob's Ladder
Jacob Singer (Tim Robbins) adalah seorang veteran perang Vietnam yang kelihatan sangat dihantui oleh pengalaman perangnya yang mengerikan. Adakah ianya satu bentuk dari eksperimen tentera ? Adakah Jacob akan menjadi gila ? Atau adakah sesuatu yang lain bakal terjadi ?? Kelihatan ada entiti di mana mana dan Jacob tidak tahu kepada siapa yang harus dia percaya. Filem yang amat luar biasa ini membawa kita turut merasai mimpi buruknya dan kita juga sebagaimana Jacob akan sering tertanya tanya, apa yang nyata dan apa yang tidak. 

Poltergeist
Masih merupakan salah satu cerita seram terbaik yang pernah dihasilkan. Filem ini mengambil plot sebuah rumah Amerika yang biasa, tenang dan selamat lalu bertukar menjadi rumah berpuaka. Semuanya bermula dengan beberapa perkara pelik dan aneh yang berlaku didalam rumah yang baru diduduki oleh keluarga tersebut dan sampai kekemuncaknya apabila anak mereka Carol Anne yang berusia 5 tahun tiba tiba hilang. Sekumpulan ahli paranormal telah didatangkan untuk menyelidiki perkara tersebut namun tiada satu pun diantara mereka bersedia untuk perkara yang bakal mereka hadapi. Babak menyeramkan : Seorang psikik, memperincikan tentang keadaan kanak kanak yang hilang tersebut, memberitahu kepada kedua orang tuanya bahawa terdapat banyak tangan yang melingkari tubuh anak tersebut termasuk dari yang dipunyai oleh makhluk jahat. 

The Sixth Sense
Cole Sear (Haley Joel Osment), 9 tahun, sentiasa kelihatan terganggu, ketakutan dan ibunya tidak dapat mengenalpasti puncanya. Dia akhirnya mengaku kepada seorang psikiatris - Malcolm Crowe (Bruce Willis) bahawa segalanya adalah disebabkan dia boleh melihat orang orang yang telah mati dimana mana dan mereka selalunya dalam keadaan mengerikan untuk dilihat. Pengarah M Night Shyamalan telah membawa filem ini mengikuti acuan lama cerita seram seperti dalam edisi Twilight Zone, tanpa kebergantungan kepada kesan khas yang berlebihan. Filem ini telah digarap dengan bijak dan memberikan kejutan yang tidak diduga di akhir plotnya. Babak menyeramkan : Cole telah membina sebuah khemah perlindungan sendiri didalam biliknya, tapi apabila menghampirinya, dia tahu disana mungkin terdapat hantu seorang kanak kanak perempuan yang sedang menunggu didalamnya.

Rosemary's Baby
Dibuat pada tahun 1968 oleh Roman Polanski, filem ini masih dirasakan menyeramkan pada beberapa aspek seperti lagu temanya, kehebatan Mia Farrow, persembahan yang sampai ke saraf, bangunan apartment Dakota, watak Ruth Gordon yang aneh dan melucukan dan sebuah bilik yang penuh dengan pemuja pemuja syaitan yang berbogel. Walaupun tanpa mengetahui tentangnya, Rosemary (Mia Farrow) telah dipilih oleh sebuah permesyuaratan yang berpusat di New York untuk menjadi ibu kepada Iblis itu sendiri. Tetapi apabila dia mengesyaki sesuatu yang diluar fikiran itu mungkin adalah sesuatu yang benar, sipa yang ingin mempercayainya ? . Babak menyeramkan : Urutan/Rantaian mimpi Rosemary.


The Omen
Ini adalah salah satu filem yang terawal mengangkat subjek Anti Kristian sebagai watak yang hidup di zaman kita, dan dalam kes ini, didalam wujud seorang kanak kanak lelaki yang bernama Damien., Tertukar identiti ketika ditempat kelahiran, telah menempatkan kanak kanak ini (yang lahir dari serigala) didalam sebuah rumah milik Duta Amerika ke Great Britain, (Gregory Peck), dan oleh kerana itu berpotensi untuk dianggap sebagai kuasa masa depan dunia. Ianya merupakan sebuah filem dengan garapan tema yang menarik dari pengarah Jerry Goldsmith. Babak menyeramkan : Di parti harijadi Damien, pengasuhnya telah memutuskan untuk membuktikan kesetiaannya kepada beliau .. dengan mengantung dirinya dari atap rumah.

The Innocents
Berdasarkan novel yang ditulis oleh Henry James 'The Turn Of The Screw' filem yang dibikin pada tahun 1961 ini merupakan sebuah cerita thriller/hantu yang secara perlahan menarik penonton kedalam dunia yang menyeramkan pada zaman Victoria England. Deborah Kerr membawa watak sebagai seorang penjaga yang diupah untuk menjaga anak anak yatim piatu, namun tidak berapa lama setelah mula bertugas, rumah yang pada mulanya ceria mula dilanda perkara perkara yang aneh. Penjaga kanak kanak tersebut mula ternampak sesuatu - hantu, dan mula menyinkap tabir rahsia sejarah rumah tersebut dan bagaimana ianya mungkin memberi kesan bahkan merasuk kanak kanak yang tinggal disitu.

Psycho
Berbanding kegagalan filem yang dibuat semula pada tahun 1998, Filem Alfred Hitchcock yang dihasilkan pada tahun 1960 didalam versi hitam putih adalah yang terbaik untuk ditonton. Persembahannya, seni pengarahan dan sudut fotografinya jauh lebih unggul berbanding filem yang dihasilkan semula. Sudah pasti sukar untuk  menandingi  kehebatan, penghayatan yang berkesan dan lakonan yang menyeramkan oleh Anthony Perkin yang menjiwai watak Norman Bates. Hitchcock membikin filem ini dengan anggaran perbelanjaan yang ketat dengan tiada penglibatan kesan khas - hanya mengharapkan kepada suasana/keadaan semulajadi dan kekuatan karakter. Boleh dikatakan segenap plot filem yang dihasilkan ini meninggalkan memori yang mendalam, termasuklah dari segi rekaan tajuk dan skor muzik oleh Bernard Herrmann. 

The Shining
Stanley Kubrick ingin membuat sebuah filem yang terperinci dari novel yang dihasilkan oleh Stephen King, walaupun hasilnya tidak sebagaimana yang beliau harapkan namun filem tersebut mempunyai kejutan, menakutkan dan imej imej seram yang tersendiri. Pada awalnya, lakonan Jack Nicholson dilihat seperti tidak tentu arah dan berlebih lebihan, namun selepas itu, persembahan lakonannya mula meresap dan meninggalkan kesan. Biarpun sebahagian dari plot filem ini terlalu longgar dan lakonan oleh Shelly Duvall pula kelihatan kaku, namun ada sesuatu tentang filem ini yang membuatkan kita tidak jemu untuk menontonnya berulang ulang kali.

* tu le setakat ni senarai cerita paling seram kat hollywood .. tapi sebenarnya mat saleh ni tak nengok lagi cerita gonduruwo, sundelbolong, nang nak ngan nek nak .. keh keh keh ... sesilap nak gi toilet pon terbantut.. 

Saturday, November 13, 2010

Gunkan Jima - Pulau Yang Dilupakan

0 comments

Pulau ini adalah salah satu dari 505 buah pulau yang tidak berpenghuni didalam daerah pentadbiran Nagasaki, Jepun, dan Ia terletak 15km dari tanah besar. Ia dinamakan Gunkan Jima atau bermaksud Pulau Kapal Perang. Pada tahun 1890, syarikat Mitsubishi  membeli pulau ini dan telah memulakan projek mengeluarkan arang batu didasar laut disekeliling pulau ini. Manakala pada tahun 1916, mereka telah membina projek pertama di pulau itu berupa beberapa blok apartment bertujuan untuk memberi penginapan kepada semua pekerja disamping untuk melindungi mereka dari serangan ribut taufan.

Dalam tahun 1959, populasi yang dicatatkan telah meningkat dengan mendadak, bancian menunjukkan terdapat seramai 835 orang bagi setiap hektar di seluruh pulau itu, manakala 1391 orang untuk setiap hektar dibahagian tengah pulau. Kepadatan sebegini belum pernah terjadi di seluruh dunia.  

Setelah penggunaan petrol menjadi semakin popular dan meluas, perniagaan arang batu mula menunjukkan kemerosotan disebabkan kurangnya permintaan. Banyak lombong diseluruh dunia mula menghentikan kegiatan perlombongan, tidak terkecuali Gunkan Jima. Akhirnya pada tahun 1974, Mitsubishi secara rasmi telah mengumumkan penutupan keseluruhan operasi nya di pulau itu, menyebabkan pulau itu ditinggalkan dan terus tidak berpenghuni. 

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |