Showing posts with label Imam. Show all posts
Showing posts with label Imam. Show all posts

Monday, November 29, 2010

Biografi Imam Bukhari

0 comments

Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah dan dikenali dengan nama qunyah Abu Abdillah. Dilahirkan pada hari Juma'at 13 Syawal, 194 H di sebuah negeri yang bernama Bukhara dan dari situ beliau mendapat Al Bukhari yang bermaksud orang dari Bukhara.  Al Ju'fi pula merupakan gelaran bagi keturunannya yang merupakan asal bagi nasab kepada gabenor negeri tersebut, Yaman Al Ju'fi. Dikatakan bapa kepada moyang beliau yang bernama Bardizbah adalah penganut ajaran Zoroaster (Majusi) yang merupakan agama asal orang orang Parsi dan moyangnya pula Al Mughirah, adalah orang yang bertanggungjawab membawa keluarga ini memeluk Islam dihadapan gabenor tersebut sehingga keseluruhan keluarga Al Mughirah dinisbahkan kepada nasab Al Ju'fi.

Ayah beliau, Ismail bin Ibrahim merupakan salah seorang ulama hadith yang  menerima periwayatan dari Imam Malik bin Anas, Hammad bin Zaid, dan sempat bergandingan dengan Abdullah bin Mubarak. Riwayat hadith dari ayahnya tersebar luas dikalangan orang Iraq. Imam Bukhari sempat membesar dengan bimbingan ayahnya biarpun tidak lama, sehingga mekar kecintaannya kepada As Sunnah, sebagaimana pernah dinyatakan kepada beliau oleh ayahnya "aku tidak mendapati pada hartaku satu dirham pun dari jalan haram atau satu dirham pun dari jalan syubhat", maka tumbuhlah jiwanya dalam tawadhu' dan sentiasa berpegang pada agama.

Proses Pembelajaran 

Imam Bukhari, yang dibesarkan oleh ibunya, merupakan seorang kanak kanak yang cerdas dan sentiasa menumpukan perhatian dalam pengajian. Sejak kecil lagi beliau telah mempunyai kemampuan untuk menghafaz Al-Quran, membaca dan menulis. Ketika berumur 10 tahun, beliau semakin aktif menyertai majlis majlis ilmu hadith, sehinggakan ketika beliau berumur 11 tahun, beliau telah mampu menegur seorang guru hadith yang khilaf dalam menyampaikan urutan urutan sanad hadith. Ketekunan dan kerajinan beliau dalam ilmu telah membuatkan beliau hafaz 30 juzuk Al Quran dan lebih 70 ribu hadith beserta sanad lengkapnya hanya ketika beliau berumur 16 tahun.

Guru-Guru beliau antaranya ialah  
  1. Abu Asim An-Nabil.
  2. Makkiyah bin Ibrahim.
  3. Muhammad bin Isa At-Tabba'.
  4. Ubaidullah bin Musa.
  5. Muhammad bin Salam Al-Bikandi.
  6. Ahmad bin Hambal.
  7. Ishak bin Mansor.
  8. Khalad bin Yahya bin Safuan.
  9. Ayub bin Sulaiman bin Bilal.
  10. Ahmad bin Isykab. 

Ilmu yang dikuasai oleh Imam Bukhari
  • Hadith - Beliau sangat teliti dalam penjagaan dan hafalan beliau tentang hadith hadith yang diterimanya samada tentang sanad (perawi) atau matannya(isi). Pengetahuannya mencapai tahap yang sangat tinggi dalam disiplin ilmu ini.
  • Tafsir - Sebagaimana keahlian nya dalam bidang hadith, begitu juga perhatian dan kefahaman beliau dalam disiplan tafsir sehingga beliau menguasainya dengan begitu baik sekali.
  • Fiqh - Sebelum namanya tersohor dalam bidang hadith, beliau terlebih dahulu dikenali sebagai ahli fiqh dan seorang mujtahid yang terkemuka. Beliau selesai mengarang sebuah kitab fiqh ketika berusia 18 tahun. Ini tidak menghairankan kerana Imam Bukhari adalah orang yang cemerlang dalam ilmu hadith, bahasa arab selain pengetahuannya yang tinggi tentang mazhab ahli fikir dan perbahasan hukum oleh Sahabat dan para Tabi'in yang dipelajarinya semenjak umurnya masih terlalu muda. Kefaqihan beliau dalam bidang ini diakui oleh ulama ulama terkemuka pada masa itu seperti Naim bin Hamad Al Khaza'i, Muhammad bin Basyar dan Abu Mus'ib Az Zuhri.
  • Tawarikh Dan Salasilah - Beliau pernah berkata "Ketika aku berumur 18 tahun, aku mula mengarang kisah kisah para Sahabat dan para Tabi'in, mengarang sejarah Madinah disebelah maqam Rasulullah, dan aku mengarang kitab itu pada malam bulan mengambang". Antara lain beliau juga pernah mengatakan "Satu nama walaupun kecil nilainya, aku tetap menganggap ia mempunyai cerita melainkan jika aku tidak ingin memanjangkan penulisanku". Kitab yang dimaksudkan ini diberi nama At Tarikh Al Khabir dimana ianya sangat teratur dengan pengkhususan mengikut bab. Lanjutan dari ini lahirlah At Tarikh Al Ausat dan As Saghir, dimana beliau tidak meninggalkan satu nama pun dalam penulisannya tentang orang orang yang mewariskan ilmu kepadanya, membuktikan penguasaannya tentang biografi, sejarah dan tarikh adalah sangat tinggi dan tiada seorang pun dapat menandinginya.
  • Jarhuwa Ta'dil - Beliau merupakan orang pertama yang mempraktikkan dan mengajarkan ilmu Jarah dan Ta'dil. Sanad hadith tidak lepas dari pemerhatiannya. Ilmu ini dapat membezakan antara perawi hadith yang benar, perawi yang mencampur adukkan hadith, perawi lemah dan perawi palsu. Seringkali hadith yang diterimanya mempunyai kecacatan dan beliau dengan mudah memperbetulkannya. Imam Bukhari sangat berhati hati dalam menyebutkan kecacatan dalam periwayatan samada lafaz atau matan kerana dikhuatiri akan memberi aib kepada periwayat. Ini juga melambangkan sifat wara' dan ketinggian budi pekertinya.
  • Ilal - Bermaksud kecacatan yang tersembunyi dalam hadith. Cabang ilmu ini merupakan sesuatu yang amat rumit disebabkan perincian nya yang sangat sukar tentang sesuatu yang tidak zahir. Ahli hadith yang tidak memberikan perhatian kepada ilmu ini kebiasaannya tidak mampu untuk membezakan antara sebuah hadith sahih dan hadith dha'if. Bertitik tolak dari ilmu ini beserta kesemua ilmu diatas, maka lahirlah sebuah kitab agung yang dikatakan kitab suci kedua setelah Al Quran yang diberi nama Sahih Al Bukhari. 

Lahirnya Kitab Sahih Al Bukhari 

Ketika berusia 18 tahun, ibu beserta abangnya, Ahmad bin Ismail, telah mengajak Imam Bukhari untuk berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji. Disana, beliau mendapati kota itu dipenuhi dengan ulama ulama hadith yang membuka pengajian ilmu. Tentu sahaja beliau tidak akan melepaskan peluang ini, maka setelah selesai mengerjakan ibadah haji, beliau telah memutuskan untuk terus tinggal di Mekah sementara ibu dan abangnya kembali ke negeri asal mereka, Bukhara. 

Ditempat baru ini, beliau sering berulang alik antara Mekah dan Madinah dimana beliau telah mula mengarang biografi tokoh tokoh terkemuka dalam bidang hadith sehingga lahirlah karya pertama beliau dalam bidang ini yang diberi nama At Tarikh. Kitab ini begitu cepat tersebar ke segenap pelusuk dunia Islam dan menjadi pembicaraan orang ramai. Namanya mulai mengharum sehinggakan kemana sahaja beliau pergi samada ke Mesir, Sham, Baghdad , Kufah dan lain lainnya, beliau diberikan penghormatan yang tinggi oleh ulama ulama hadith. Kekaguman yang timbul sehinggakan salah seorang ulama hadith terkemuka, Ishaq bin Rahuyah telah mempersembahkan kitab ini kehadapan gabenor negeri Khurasan, Abdullah bin Thahir Al Khuza'i yang juga berasa takjub dengan susunan dan penghasilan karya yang begitu mempersonakan.

Suatu hari ketika di Khurasan, beliau telah sempat singgah di sebuah majlis ilmu kendalian Ishaq bin Rahuyah. Para hadirin yang ada ketika itu telah menyarankan agar beliau mengumpulkan hadith hadith Nabi kedalam satu kitab, memandangkan bagi mereka, beliau adalah seorang yang ahli dalam ilmu hadith dan periwayatannya. Imam Bukhari menerima usul ini, maka bermulalah karangan beliau dalam menghasilkan sebuah kitab yang muktabar dan menjadi rujukan kita pada hari ini iaitu Al Jami'us Sahih Al Musnad min Hadithi Rasulillah wa Sunani Ayyamihi, yang lebih kita kenali sebagai Sahih Al Bukhari. 

Kitab ini mengambil masa selama 16 tahun untuk disudahkan dimana Imam Bukhari telah menyaring sebanyak 600 ribu hadith dan memilih sejumlah 7275 hadith yang beliau yakini sahih untuk dimuatkan kedalam kitab tersebut. Segera buah tangan dari Imam Bukhari menjadi masyur dan mendapat perhatian yang tinggi termasuk dari Imam Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma'in, Ali Al Madini serta lain lainya.

Sekitar Pujian Ulama Terhadap Imam Bukhari 

Al-Imam Al-Hafiz Abil Hajjaj Yusuf bin Al-Mizzi meriwayatkan dalam kitabnya yang berjudul Tahdzibul Kamal fi Asma’ir Rijal beberapa riwayat pujian para ulama Ahli hadith dan sanjungan mereka terhadap Muhammad bin Ismail Al-Bukhari. Di antara beberapa riwayat itu antara lain ialah pernyataan Al-Imam Mahmud bin An-Nadhir Abu Sahl Asy-Syafi’i yang menyatakan: “Aku masuk ke berbagai negeri iaitu Basrah, Syam, Hijaz dan Kufah. Aku melihat di berbagai negeri tersebut bahawa para ulamanya bila menyebutkan Muhammad bin Ismail Al-Bukhari selalu mereka lebih mengutamakannya daripada diri-diri mereka.

Al-Imam Muhammad bin Abi Hatim meriwayatkan bahawa Hasyid bin Ismail dan seorang lagi (tidak disebutkan namanya), keduanya menceritakan: “Para ulama Ahli Hadith di Basrah di zaman Al-Bukhari masih hidup merasa lebih rendah pengetahuannya dalam hadith dibanding Al-Imam Al-Bukhari. Padahal beliau ini masih muda belia. Sehingga pernah ketika beliau berjalan di kota Basrah, beliau dikerumuni para penuntut ilmu. Akhirnya beliau dipaksa duduk di pinggir jalan dan dikerumuni ribuan orang yang menanyakan kepada beliau berbagai masalah agama. Padahal wajah beliau masih belum tumbuh janggut pada dagunya dan juga belum tumbuh misai.”

Kitab Kitab Beliau Yang Sempat Kita Warisi 

» Al-Jaami' As- Sahih
Dikenali sebagai Sahih Bukhari.

» At- Tarikh Al Kabir. 
Ia merupakan karangan yang paling indah dan baik mengikut bab begitu juga topiknya. Perawi-perawai hadis semenjak dari zaman sahabat sehinggalah zaman beliau serta mengandungi perbahasan tentang kecacatan-kecacatan Hadith, Jarah, Ta'dil dan sebagainya. Ia telah dicetak di Hyderabad di India pada tahun 1691 M dengan disemak oleh Al-Allaamah Abdul Rahman Al-Mu'allimi Rahimahullah.

» At-Tarikh Al-Ausat.
Ia disusun selama beberapa tahun dan tiba kepada kita darinya potongan kitab ilmu islam yang terdahulu.

» At-Taarikh As-Soghir.
Ia disusun beberapa tahun dan dicetak berulang kali.

» Kitab Al-Kuna.
Ia dicetak sebagai lampiran Kitab At-Taarikh Al-Kabir dipercetakan Hyderabad.

» Adh-Dhu'afa'.
Terdapat dua kitab dengan nama tersebut iaitu Saghir (kecil) dan Kabir (besar). Mengandungi sejumlah perawi-perawi hadith yang lemah.

» Al-Adab Al- Mufrad.
Merupakan kitab adab dan akhlak yang elok lagi baik mengikut bab dengan cara terkini dan telah dicetak sebanyak beberapa kali.

» Al-Qiraat Khalfa Al-Imam (bacaan dibelakang imam).
Dikenali sebagai Juz Al-Qiraat. Mengandungi masalah bacaan makmum dibelakang imam dan menyokong hujah tentang diwajibkan membaca Al-Fatihah pada setiap rakaat dalam apa jua keadaan, sekalipun orang yang mendirikan sembahyang itu sebagai imam, makmum atau bersendirian, samada di dalam sembahyang yang tidak dinyatakan bacaannya ataupun yang dinyatakan bacaannya malah tidak dikira rakaat tanpanya. 

» Mengangkat kedua-dua tangan dalam sembahyang.
Dikenali dengan Juz Raf'ul Yadain. Imam Bukhari membentangkan masalah orang sembahyang mengangkat kedua-dua tangan apabila melakukan takbiratul-ihram dan semasa berpindah rukun.

» Kejadian Perbuatan Hamba.
Kandungannya adalah tentang permasalahan pegangan (akidah) iaitu perbuatan-perbuatan hamba adalah merupakan makhluk dan kalam Allah iaitu Al-Quran adalah bukan makhluk. Faktor yang mendorong beliau mengarang kitab tersebut adalah sebagai suatu ujian yang dihadapi tentang masalah tersebut.

Karangan-Karangan Imam Bukhari yang masih lagi tidak dijumpai.
  • Berbuat baik terhadap dua Ibubapa.
  • Al-Jami' Al-Kabir.
  • Al-Musnad Al-Kabir.
  • At-Tafsir Al-Kabir.
  • Al-Asyribah (minuman).
  • Al-Hibah (pemberian).
  • Usama As-sahabah (nama-nama sahabat).
  • Al-Mabsut.
  • Al-Wihdan.
  • Al-Ilal (kecacatan-kecacatan).
  • Al-Fawaid (faedah-faedah).
  • Masalah Sahabat dan Taabi'in.
  • Guru-guru Imam Bukhari. Di dalamnya menyebut tentang guru-gurunya yang menjadi tempat beliau berguru.


Imam Bukhari meninggal dunia di sebuah desa bernama Karthanka, Samarkand, pada malam Sabtu, 1 Syawal 256 Hijrah (malam Hari Raya Aidilfitri). Ketika itu beliau berusia 62 tahun. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, beliau sempat berwasiat agar mayatnya nanti dikafani dengan tiga lapis kain kafan tanpa imamah (ikat kepala) dan tanpa baju. Dan beliau berwasiat agar kain kafannya berwarna putih. Semua wasiat beliau itu dilaksanakan dengan baik oleh kerabat beliau yang menguruskan jenazahnya. 

Wallahua'lam 

Tuesday, November 9, 2010

Biografi Imam Ahmad Bin Hanbal

0 comments

Musnad Imam Ahmad
Pengenalan

”Ia murid paling cerdas yang pernah saya jumpai selama di Baghdad. Sikapnya menghadapi sidang pengadilan dan menanggung cubaan akibat tekanan dari khalifah Abbasiyah kerana menolak doktrin rasmi Muktazilah merupakan gambaran watak agung dan kegigihan yang mengabdikannya sebagai tokoh besar sepanjang masa.” Penilaian ini diungkapkan oleh Imam Syafi’i, yang tak lain adalah merupakan guru kepada  Imam Hanbali.

Imam Hanbali atau nama penuhnya Ahmad bin Muhammad bin Hanbal adalah seorang ulama besar di bidang hadith dan fiqih yang pernah dimiliki dunia Islam. Dilahirkan di Salam, Baghdad, pada 164 H, Imam Hanbali sudah menunjukkan kecerdasannya sejak usia muda remaja. Ketika seawal zaman kanak kanaknya, beliau sudah hafaz Al-Quran.

Beliau mendapatkan pendidikannya awalnya di kota Baghdad. Ketika itu, kota Baghdad telah menjadi pusat peradaban dunia Islam, yang penuh dengan manusia yang berbeza asalnya dan beragam kebudayaannya, serta penuh dengan pelbagai jenis dan cabang ilmu pengetahuan. Di sana tinggal para qari’, ahli hadis, para sufi, ahli bahasa, falsafah, dan sebagainya.

Perhatiannya sangat besar pada ilmu pengetahuan. Ia dengan tekun belajar hadith, bahasa, dan pentadbiran. Ia banyak menimba ilmu dari sejumlah ulama dan para fuqaha besar, antara lain Abu Yusuf (seorang hakim dan murid Abu Hanifah) dan Hisyam bin Basyir bin Abi Kasim (ulama hadith di Baghdad). Ia juga berguru kepada Imam Syafi’i, dan mengikutinya sampai ke Baghdad. Suatu ketika seseorang menegurnya, ”Anda telah sampai ke tingkat mujtahid dan layak menjadi imam. Mengapa masih menuntut ilmu?Apakah Anda akan membawa tinta ke kuburan?” Imam Hanbali pun menjawab, ”Saya akan menuntut ilmu sampai saya masuk ke liang kubur.

Disamping itu beliau juga menaruh perhatian besar kepada hadith-hadith Nabi SAW. Kerana minat nya yang mendalam, banyak ulama, seperti Ibnu Nadim, Ibnu Abd al-Bar, at-Tabari, dan Ibnu Qutaibah, menggolongkan Imam Hanbali ke dalam golongan ahli hadith, bukan golongan mujtahid. Namun inilah sebenarnya ciri ciri Mazhab Hanbali. Mazhab itu selalu berpandukan pada teks-teks hadith dan meminimakan ruang penggunaan qias dan akal.

Dalam mendalami Ilmu Hadith, beliau pergi melawat ke berbagai kota untuk mendapatkannya, antara lain ia pernah ke Hijaz, Kufah, dan Basra. Atas usahanya itu, akhirnya ia dapat menghimpun ribuan hadith yang dimuat dalam karyanya Musnad Ahmad ibnu Hanbal. Beliau menyusun kitabnya yang terkenal itu dalam jangkamasa sekitar 60 tahun.

Kitab ini menghimpun 40.000 hadith yang disaring dari sekitar 700.000 hadis yang dihafalnya. Namun Imam Abdul Aziz al-Khuli (seorang ulama yang menulis banyak biografi tokoh-tokoh sahabat dan tabi'in) berpendapat bahawa ada 10.000 hadith yang berulang dalam kitab itu. Jadi menurutnya, kitab itu hanya mengandung 30.000 hadis. Sebahagian besar ulama menganggap hadis dalam kitab ini sahih, tetapi ada juga ulama yang menyatakan beberapa hadis dalam kitab itu lemah.

Disamping Musnad Ahmad Ibn Hanbal, Imam Hanbali juga menyusun kitab Tafsir Alquran dan kitab an-Nasikh wa al-Mansukh (kitab mengenai ayat-ayat yang menghapuskan dan dihapuskan hukumnya). Beliau juga menyusun kitab al-Manasik ash-Shagir dan al-Kabir, kitab az-Zuhud, kitab ar-Radd ‘ala al-Jahmiyah wa az-Zindiqah (bantahan kepada Jahmiyah dan Zindiqah), kitab as-Shalah, kitab as-Sunnah, kitab al-Wara ‘ wa al-Iman, kitab al-‘Ilal wa ar-Rijal, kitab al-Asyribah, satu juz tentang Ushul as-Sittah, Fadha’il ash-Shahabah.

Tidak hanya tinggi ilmunya, Imam Hanbali dikenal tekun beribadah dan dermawan. Imam Ibrahim bin Hani, salah seorang ulama terkenal yang jadi sahabatnya menjadi saksi akan kezuhudan Imam Hanbali. ”Hampir setiap hari ia berpuasa dan tidurnya pun amat sedikit sekali di waktu malam. Ia lebih banyak solat malam dan witir hingga Subuh tiba,” katanya.

Mengenai kedermawanannya, Imam Yahya bin Hilal, salah seorang ulama ahli fikih, berkata, ”Aku pernah datang kepada Imam Hanbali, lalu aku diberinya wang sebanyak empat dirham sambil berkata, ”Ini adalah rezeki yang kuperoleh hari ini dan semuanya kuberikan kepadamu.”

Pujian dan Penghormatan

Imam Syafi‘i pernah mengusulkan kepada Khalifah Harun ar-Rasyid, pada hari-hari akhir hidup khalifah tersebut, agar mengangkat Imam Hanbali menjadi qadhi di Yaman, tetapi Imam Hanbali menolaknya dan berkata kepada Imam Syafi‘i, ”Saya datang kepada Anda untuk mengambil ilmu dari Anda, tetapi Anda malah menyuruh saya menjadi qadhi untuk mereka.” Setelah itu pada tahun 195 H, Imam Syafi‘i mengusulkan hal yang sama kepada Khalifah al-Amin, tetapi sekali lagi Imam Hanbali menolaknya.

Suatu hari, Imam Syafi‘i masuk menemui Imam Ahmad dan berkata, ”Engkau lebih tahu tentang hadith dan perawi-perawinya. Jika ada hadith sahih (yang engkau tahu), maka beri tahulah kepadaku. Insya Allah, jika (perawinya) dari Kufah atau Syam, aku akan pergi mendatanginya jika memang sahih.” Imam Syafi‘i juga berkata, ”Aku keluar (meninggalkan) Baghdad, sementara itu tidak aku tinggalkan di kota tersebut orang yang lebih wara’, lebih faqih, dan lebih bertakwa daripada Ahmad bin Hanbal.”

Abdul Wahhab al-Warraq berkata, ”Aku tidak pernah melihat orang yang seperti Ahmad bin Hanbal”. Orang-orang bertanya kepadanya, “Dalam hal apakah dari ilmu dan keutamaannya yang engkau pandang dia melebihi yang lain?” Al-Warraq menjawab, ”Dia seorang yang jika ditanya tentang 60 ribu masalah, dia akan menjawabnya dengan berkata, ‘Telah dikhabarkan kepada kami,’ atau, ‘Telah disampaikan hadith kepada kami’.”

Sementara Ahmad bin Syaiban berkata, ”Aku tidak pernah melihat Yazid bin Harun memberi penghormatan kepada seseorang yang lebih besar daripada kepada Ahmad bin Hanbal. Dia akan mendudukkan beliau di sisinya jika menyampaikan hadith kepada kami. Dia sangat menghormati beliau, tidak bergurau dengannya.” Padahal seperti diketahui bahwa Yazid bin Harun adalah salah seorang guru beliau.

Perlawanan Terhadap Muktazilah

Imam Hanbali juga dikenal teguh memegang pendirian. Mazhab yang didirikan oleh Imam Hanbali dan muncul paling akhir adalah Mazhab Hanbali. Mazhab itu berpegang kepada hadith Nabi SAW dan tradisi para sahabat. Para pemerhatit menganggap mazhab itu merupakan kristalisasi paling nyata dari mazhab para sahabat kerana Imam Hanbali menaruh perhatian besar terhadap fatwa para sahabat.

Kemunculan Mazhab Hanbali merupakan reaksi terhadap sikap yang berlebihan dari beberapa aliran Islam, seperti Syiah, Khawarij, Muktazilah, Qadariah, dan Murji’ah. Aliran Muktazilah, misalnya, yang di masa hidup Imam Hanbali sangat berpengaruh. Ini adalah disebabkan dukungan Khalifah Al Ma’mun dari Dinasti Abbasiyah yang menjadikan aliran ini sebagai mazhab rasmi negara. Salah satu ajaran yang diyakini penganut Muktazilah adalah bahwa Al-Quran merupakan makhluk atau ciptaan Allah. Banyak umat Islam yang menolak pandangan itu.

Imam Hanbali termasuk yang menentang fahaman tersebut. Akibatnya, ia dipenjara dan diseksa oleh Khalifah al-Mu’tasim, putra Al Ma’mun. Seksaan ini berlangsung hingga kepemimpinan Dinasti Abbasiyah dipegang oleh al-Wasiq yang menggantikan ayahnya, al-Mu’tasim. Namun seksaan tersebut makin meneguhkan sikap Hanbali menentang fahaman Muktazilah. Sikapnya itu membuat umat Islam makin bersimpati kepadanya sehingga pengikutnya semakin bertambah biarpun beliau terkurung dalam penjara.

Sepeninggalan Khalifah al-Wasiq, Imam Hanbali kembali menghirup udara kebebasan. Khalifah al-Mutawakkil, penerus dinasti, membebaskan Imam Hanbali dan memuliakannya. Namanya pun makin terkenal dan banyaklah ulama dari berbagai pelosok belajar kepadanya. Diantara para ulama yang belajar darinya adalah Imam Hasan bin Musa, Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Abu Zur’ah Ad Dimasyqi, Imam Abu Zuhrah, Imam Ibnu Abi, dan Imam Abu Bakar Al Asram.

Pada awalnya mazhab Hanbali hanya berkembang di wilayah Iraq. Hanya pada abad ke-6 H, mazhab ini berkembang hingga ke Mesir. Perkembangan pesat terjadi pada abad ke-11 dan ke-12 H, berkat usaha Ibnu Taimiyyah (wafat 728 H) dan Ibnu Qayyim (wafat 751 H). Kedua tokoh inilah yang membuka mata banyak orang untuk memberikan perhatian pada fiqih Imam Hanbali, khususnya dalam bidang muamalah. Kini, mazhab tersebut banyak dianut umat Islam di kawasan Timur Tengah.

Sebagaimana ketiga Imam lainnya, Syafi’i, Hanafi dan Maliki, oleh para muridnya, ajaran-ajaran Imam Hanbali dijadikan ikutan dalam praktik keagamaan, khususnya dalam masalah fiqih. Sebagai pendiri mazhab tersebut, Imam Hanbali memberikan perhatian khusus pada masalah ritual keagamaan, terutama yang bersumber pada sunah Nabi SAW.

Menurut Ibnu Qayyim, ada lima landasan pokok yang dijadikan dasar penetapan hukum dan fatwa mazhab Hanbali. 
Pertama, Alquran dan Hadith. Jika pada keduanya tidak ditemukan jawaban, ia melakukan langkah kedua, iaitu merujuk kepada fatwa sahabat yang diketahui tidak ada yang menentangnya. Adapun yang ketiga adalah menggunakan pendapat sahabat yang lebih sesuai dengan Alquran dan Sunah Nabi SAW. Jika tidak ditemukan juga jawabannya, ia melakukan langkah keempat, yaitu menggunakan hadis mursal (hadis yang tidak menyebutkan nama sahabat yang meriwayatkannya) dan dha'if (lemah).

Terakhir, apabila ia tidak menemukan penjelasan pada kedua hadis itu, ia menggunakan cara  kias. Namun langkah ini hanya dilakukan dalam keadaan darurat. 

Menjelang wafatnya, beliau jatuh sakit selama sembilan hari. Mendengar sakitnya, ramai orang yang datang untuk menziarahinya. Mereka berasak asak di depan pintu rumah beliau, sehinggakan khalifah  menempatkan orang untuk berjaga di depan pintu. Akhirnya, pada awal hari Jumaat tanggal 12 Rabi‘ul Awwal tahun 241H, beliau kembali ke rahmatullah  telah ditentukan untuknya. Kaum muslimin bersedih dengan pemergian beliau. Tak sedikit mereka yang turut menghantar jenazah beliau sampai ratusan ribu orang. Ada yang mengatakan 700 ribu orang, ada pula yang mengatakan 800 ribu orang, bahkan ada yang mengatakan lebih satu juta  orang yang menghadirinya. Semuanya menunjukkan bahawa sangat banyaknya mereka yang hadir pada saat itu demi menunjukkan penghormatan dan kecintaan mereka kepada beliau. Beliau pernah berkata ketika masih sihat, “Katakan kepada ahli bid‘ah bahwa perbezaan antara kami dan kalian adalah (tampak pada) hari kematian kami”.

Wallahua'lam 

Biografi Imam Malik

0 comments

Al Muwattha'

Pengenalan

Nama lengkap beliau adalah Abu Abdillah Malik bin Anas bin Malik bin Anas bin Al Harits bin Ghaiman bin Khutsail bin Amr bin Al Harits Al Ashbahiy Al Humairiy. Nasabnya berakhir pada Ya'rib bin Yasyjub bin Qathan. Datuknya yg juga bernama Malik bin Anas termasuk seorang tabi'in besar dan salah satu yg turut memikul jenazah Khalifah Usman ke kuburnya. Datuk kepada datuknya, Anas, adalah seorang sahabat agung, yg selalu mengikuti Rasulullah SAW dalam semua peperangan kecuali perang Badar. Ibunya bernama Al Aliyah binti Syariek Al Asadiyah. Namun, ada juga yg mengatakan ibunya adalah Thulaihah, bekas hamba Ubaidullah bin Ma'mar.

Biodata 

Imam Malik bin Anas lahir di Madinah pada tahun 93H/711M (Ada pendapat yang mengatakan 95H). Beliau dilahirkan di dalam sebuah kota yang merupakan tempat tumbuhnya Islam dan berkumpulnya generasi yang dididik oleh para sahabat Rasulullah SAW. Sejarah keluarganya juga ada hubung-kait dengan ilmu Islam dengan datuknya sendiri seorang perawi dan penghafal hadis yang terkemuka. Pakciknya, Abu Suhail Nafi’ adalah seorang tokoh hadis kota Madinah pada ketika itu dan dengan beliaulah Malik bin Anas mula mendalami ilmu-ilmu agama, khususnya hadith. Abu Suhail Nafi’ ialah seorang tabi‘in yang sempat menghafal hadis daripada Abdullah ibn Umar, A'isyah binti Abu Bakar, Umm Salamah, Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri RA. 

Selain Abu Suhail Nafi’, Malik bin Anas juga duduk berguru dengan Ja'afar al-Siddiq, cucu kepada al-Hasan, (cucu kepada Rasulullah SAW). Malik juga belajar di Masjid Nabawi berguru dengan Muhammad Yahya al-Ansari, Abu Hazim Salmah al-Dinar, Yahya bin Sa'ad dan Hisham bin ‘Urwah. Mereka ini semua ialah anak murid kepada sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Suasana kehidupan Malik bin Anas di Madinah yang ketika itu dipenuhi dengan para tabi‘in amatlah menguntungkannya. Para tabi‘in ini adalah mereka yang sempat hidup bersama sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Mereka sempat belajar, mendengar hadis dan mengamalkan perbuatan para sahabat secara terus. Inilah antara sebab kenapa Malik bin Anas tidak pernah meninggalkan Madinah kecuali apabila pergi menunaikan ibadat hajinya. 

Malik bin Anas kemudiannya mengambil alih sebagai tokoh agama di Masjid Nabawi. Ajarannya menarik sejumlah orang ramai daripada pelbagai daerah dunia Islam. Beliau juga bertindak sebagai mufti Madinah pada ketika itu. Malik juga ialah antara tokoh yang terawal dalam mengumpul dan membukukan hadith-hadith Rasulullah SAW di dalam kitabnya Al Muwattha'[Gambar] Kitabnya ini menjadi hafalan dan rujukan orang ramai. 

Bidang Ilmu

Beliau meriwayatkan hadith dari sejumlah besar Tabi'in dan Tabi'ut Tabi'in, diantaranya : Nafi', Ibn Syihab Az Zuhri, Abu Az Zanad, Abdurrahman bin Al Qasim, Ayyub As Sakhtiyani, Yahya bin Sa'id Al Anshari, Aisyah binti Sa'ad bin Abi Waqqash, Zaid bin Aslam, Humaid Ath Thawiel, dan Hisyam bin Urwah.

Sebaliknya, tidak sedikit guru gurunya yg meriwayatkan pula hadith dari beliau sesudah itu, seperti Az Zuhri dan Yahya bin Sa'id Al Anshari. Cukup banyak perawi yg meriwayatkan hadith dari beliau. Al Hafidh Abu Bakar Al Khatib Al Baghdadi menulis sebuah kitab tentang para perawi yg meriwayatkan dari Imam Malik. Dalam kitab tersebut, Al Baghdadi menyebutkan hampir 1000 orang perawi. Diantara tokoh tokoh yg meriwayatkan hadith dari beliau ialah Sufyan Ats Tsauri, Abdullah bin Al Mubarak, Abdurrahman Al Auza'i, Abu Hanifah, Asy Syafi'i, dan banyak nama besar yang lain.

Beberapa ulasan ulama lain tentang Imam Malik

  • Asy Syafi'i : Apabila ulama disebut, maka Imam Malik adalah bintangnya.
  • Ibn Mu'in : Imam Malik termasuk hujjah Allah atas makhluk Nya.
  • Yahya bin Sa'id Al Qathan : Imam Malik adalah amirul mukminin dalam bidang hadith.
  • Ibn Hibban : Imam Malik adalah orang pertama yang memilih para tokoh ahli fiqh di Madinah, menghindari orang yang tidak terpercaya (tsiqah), tidak meriwayatkan kecuali yg sahih, dan hanya menceritakan dari orang yg terpercaya.
  • Beliau termasuk bahagian dari sanad-sanad utama hadith-hadith Imam Bukhary selain Imam Nafi'.

Ada sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Tirmidzi, yang bermaksud: 
"Nyaris orang-orang memukul perut unta untuk mencari ilmu, tapi ternyata mereka tidak menemukan seorang pun yg lebih alim dari orang alim Madinah" (hadis ini hasan menurut Tirmidzi)
Ibn Unayah menukilkan orang alim Madinah tersebut adalah Imam Malik.


Al-Muwatta’ bermaksud; ‘yang disepakati’ atau ‘tunjang’ atau ‘panduan’ tentang ilmu dan hukum-hukum fiqh. Ia mengandungi hadith-hadith hukum yang dikumpulkan oleh Imam Malik . Semua hadith di dalam al-Muwatta’  adalah sahih kerana Imam Malik terkenal dengan sifatnya yang tegas dalam penerimaan hadith tertentu. Beliau sangat berhati-hati ketika menapis, mengasingkan dan membahas serta menolak riwayat yang meragukan. Daripada 100,000 buah hadis yang dihafal beliau, hanya 10,000 sahaja diakui sah dan daripada 10,000 hadis itu, hanya 5,000 sahaja yang disahkan sahih oleh beliau setelah disiasat dan dipadankan dengan al-Quran. 

Menurut satu riwayat, al-Imam Malik telah menghabiskan 40 tahun untuk mengumpul dan menapis hadis-hadis yang diterima daripada guru-gurunya. Muridnya, al-Imam al-Syafie pernah berkata, “Tiada sebuah kitab di muka bumi ini yang lebih banyak mengandungi kebenaran selain daripada kitab al-Muwatta’ karangan al-Imam Malik.”

Nota : Al Muwattha' memuat 6000 hadith musnad (sanad bersambung sampai ke Nabi SAW/ Marfu'), 222 hadis mursal (sanad hanya sampai sahabat), 613 hadis mauquf (sanad hanya sampai tabi'in), dan 285 makalah Tabi'in. (pent.)

Fatwa Dan Untaian Kata Imam Malik

  1. " Aku hanyalah seorang manusia, terkadang salah terkadang benar. Oleh kerana itu, telitilah pendapatku. Bila sesuai dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah maka ambillah, dan bila tidak sesuai dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah, maka tinggalkanlah."
  2. " Siapapun boleh diambil dan ditolak perkataannya, kecuali Nabi SAW."
  3. Ketika ditanya tentang Allah bersemayam di 'arasy beliau menjelaskan "Al-Istiwau makluumun, wakaifiyahu majhuulun, wal imanu bihi waajibun, wa sualu 'anhu bid'atun."  (Al-Istiwa adalah sudah dimaklumi maknanya. Adapun kaifiyahnya tidak dikenali. Mengimaninya adalah wajib dan mempertanyakannya adalah bid'ah).
  4. Beliau Imam Malik ra. memberikan nasihat"
    Rasulullah SAW telah wafat dan sesungguhnya urusan (agama) ini telah selesai dan sempurna.. Maka sayugialah bahawa kamu mengikuti akan atsar-atsar Rasulullah SAW dan janganlah kamu mengikuti fikiran orang, kerana sesungguhnya bila fikiran (pendapat) orang diikuti , datang orang lain yang lebih kuat fikirannya daripada kamu, lalu kamu mengikuti fikirannya, maka tiap-tiap kali datang seseorang yang mengalahkan kamu, kamu mengikuti kepadanya. Aku memandang demikian ini tidaklah sempurna"
  5. Bila tidak mendapatkan kejelasannya, barulah kita bertanya pada ahlinya
  6. Kemudian fatwa beliau yang lain yang merupakan pukulan bagi para pembuat dan pelaku bid'ah dalam urusan agama adalah "Barangsiapa mengada-adakan satu bid'ah di dalam islam, yang ia memandang bid'ah itu baik/hasanah, maka sesungguhnya ia telah menyangka bahwa Muhammad telah berkhianat akan risalah Allah, kerana sesungguhnya Allah telah berfirman " Pada hari ini Aku telah menyempurnakan bagi kamu agama kamu" Maka apa-apa yang tidak jadi agama pada hari itu, tidaklah menjadi agama pada hari ini"

Sebagaimana tahun kelahirannya, ada beberapa versi tentang waktu meninggalnya Imam Malik. Ada yang berpendapat tanggal 11, 12, 13, 14 bulan Rejab 179 H dan ada yang berpendapat 12 Rabi’ul Awwal 179 H. Di antara pandangan yang paling banyak diikuti adalah pendapat Qadi Abu Fadl Iyad yang menyatakan bahwa Imam Malik meninggal pada hari Ahad 12 Rabi’ul Awwal 179 H dalam usia 87 tahun, setelah satu bulan menderita sakit. Beliau dikebumikan di kuburan Baqi’.  Beliau berwasiat untuk dikafani dengan pakaianya yang putih dan disolatkan di tempat meninggalnya. Dengan perginya Imam Malik, berkurang satu tokoh dan ulama besar Madinah.

Wallahua'lam

Biografi Imam Abu Hanifah

0 comments

Makam Imam Hanafi Di Baghdad 
Pengenalan

Imam Hanafi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah bertepatan tahun 699 Masehi di sebuah kota bernama Kufah. Nama yang sebenarnya ialah Nu'man bin Tsabit bin Zautha bin Maha. Kemudian masyhur dengan gelaran Imam Hanafi.

Kemasyhuran nama tersebut menurut para ahli sejarah mempunyai  beberapa sebab antaranya :
  1. Kerana ia mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama Hanifah, maka ia diberi julukan dengan Abu Hanifah.
  2. Kerana semenjak kecilnya sangat tekun belajar dan menghayati setiap yang dipelajarinya, maka ia dianggap seorang yang hanif (kecenderungan/condong) pada agama. Itulah sebabnya ia masyhur dengan gelaran Abu Hanifah.
  3. Menurut bahasa Parsi, Hanifah bererti tinta. Imam Hanafi sangat rajin menulis hadith-hadith, ke mana, ia pergi selalu membawa tinta. Kerana itu ia dinamakan Abu Hanifah.
Biodata 

Di lahirkan di sebuah perkampungan bernama Anbar di sekitar bandar Kufah, Iraq. Waktu ia dilahirkan, pemerintahan Islam berada di tangan Abdul Malik bin Marwan, dari keturunan Bani Umaiyyah kelima.Sejak kecil lagi beliau telah menunjukkan kecerdasan akal fikiran yang sungguh mengkagumkan. Nu'man kemudiannya dikenali dengan panggilan Abu Hanifah kerana ketekunannya beribadah. Imam Abu Hanifah dikatakan banyak belajar pelbagai Ilmu Fiqih, Tafsir, Hadist, Ilmu Kalam dan Tauhid dari para ulama yang alim. Di samping itu beliau juga pandai dalam Ilmu Kesusasteraan dan Hikmah. Diantara Ulama yang menjadi gurunya selain daripada Imam Hammad ialah Umar bin Zar, Atha bin Abi Rabih, Imam Nafi bin Umar dan Muhammad Al Baqir. Beliau juga berkesempatan menimba ilmu dari beberapa orang sahabat Nabi SAW yang masih hidup, seperti Abdullah bin Mas'ud, Abdullah bin Abi Aufa dan Sahal bin Saad.

Imam Abu Hanifah sangat dikenali dengan sifatnya yang sangat mengasihi guru-gurunya. Beliau pernah berkata bahawa beliau tidak akan pernah lupa untuk mendoakan guru-guru dalam setiap doa yang dipohonkan kepada Allah AWT.

Para ulama besar yang menjadi gurunya tidak kurang daripada 200 orang. Bila salah seorang daripada mereka itu meninggal dunia, Imam Abu Hanifah dilantik untuk mengantikannya. Banyak majlis ilmu yang dipimpin oleh beliau. Sejak itulah nama dan peranan beliau semakin dikenali sehingalah beliau menjadi ulama besar. Beliau juga dihormati dan dikasihi oleh orang ramai kerana kewibawaannya, kewarakan dan ketaqwaannya.

Peribadi Beliau 

Imam Hanafi adalah seorang hamba Allah yang bertakwa dan soleh, seluruh waktunya lebih banyak diisi dengan amal ibadah. Jika beliau berdoa matanya bercucuran air mata demi mengharapkan keredhaan Allah SWT. Walaupun demikian orang-orang yang berjiwa jahat selalu berusaha untuk menganiaya beliau.

Sifat sejati beliau adalah berani menegakkan dan mempertahankan kebenaran. Untuk itu beliau tidak pernah takut sengsara atau tidak gentar pada bahaya yang akan diterimanya. Dengan sikapnya itu beliau selalu mencegah orang-orang yang melakukan perbuatan mungkar, kerana menurut Imam Hanafi kalau kemungkaran itu tidak dicegah, bukan orang yang berbuat kejahatan itu saja yang akan merasakan akibatnya, melainkan semuanya, termasuk orang-orang yang baik yang ada di tempat tersebut

Sebahagian dilukiskan dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bahawa bumi ini diumpamakan sebuah bahtera yang didiami oleh dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah terdiri orang-orang yang baik-baik sementara kumpulan kedua terdiri dari yang jahat-jahat. Kalau kumpulan jahat ini mahu merosak bahtera dan kumpulan baik itu tidak mahu mencegahnya, maka seluruh penghuni bahtera itu akan binasa. Tetapi sebaliknya jika kumpulan yang baik itu mahu mencegah perbuatan orang-orang yang mahu membuat kerosakan di atas bahtera itu, maka semuanya akan selamat.

Penolakan Beliau Terhadap Pangkat Dan Kedudukan 

Imam Hanafi sentiasa menolak kedudukan tinggi, pangkat, kuasa dan wang. Akibat dari penolakannya itu ia ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Di dalam penjara ia diseksa, dipukul dan sebagainya.

Gabenor di Iraq pada waktu itu berada di tangan Yazid bin Hurairah Al-Fazzari. Selaku pemimpin ia tentu dapat mengangkat dan memberhentikan pegawai yang berada di bawah kekuasaannya. Pernah pada suatu ketika Imam Hanafi akan diangkat menjadi ketua urusan perbendaharan negara (Baitul mal), tetapi pengangkatan itu ditolaknya. Ia tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut. Sampai berulang kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya, namun tetap ditolaknya.

Pada waktu yang lain Gabenor Yazid menawarkan pangkat Kadi (hakim) tetapi juga ditolaknya. Rupanya Yazid tidak senang melihat sikap Imam Hanafi tersebut. Seolah-olah Imam Hanafi memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya. Oleh kerana itu ia diselidiki dan diancam akan dihukum dengan hukum dera. Ketika Imam Hanafi mendengar kata ancaman hukum dera itu Imam Hanafi menjawab : "Demi Allah, aku tidak akan mengerjakan jabatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan." Demikian beraninya Imam Hanafi dalam menegakkan pendirian hidupnya.

Pada suatu hari Yazid memanggil para alim ulama ahli fiqih yang terkemuka di Iraq, dikumpulkan di muka istananya. Di antara mereka yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi Laila. Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan lain-lain. Kepada mereka, masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh Gabenor.Ketika itu gabenor menetapkan Imam Hanafi menjadi Pengetua jawatan Sekretari gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab terhadap keluar masuk wang negara. Gabenor dalam memutuskan jabatan itu disertai dengan sumpah, "Jika Abu Hanifah tidak menerima pangkat itu nescaya ia akan dihukum dengan pukulan". Walaupun dengan ancaman seperti itu, Imam Hanafi tetap menolak jawatan itu, bahkan ia tetap tegas, bahawa ia tidak mahu menjadi pegawai kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam urusan negara.

Kerana sikapnya itu, akhirnya beliau diarah tangkap oleh gabenor. Kemudian dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu, sehabis tempoh itu beliau dipukul sebanyak 14 kali , setelah itu baru dibebaskan. Beberapa hari sesudah itu gabenor sekali lagi menawarkan jawatan kadi, juga ditolaknya. Beliau ditangkap lagi dan dijatuhi hukuman dera sebanyak 110 kali. Setiap hari didera sebanyak 10 pukulan. Namun demikian Imam Hanafi tetap dengan pendiriannya. Sampai ia dilepaskan kembali setelah cukup 11 hari. 

Akibat dari pukulan itu muka dan seluruh badannya menjadi bengkak-bengkak. Hukuman cambuk itu sengaja untuk menghina Imam Hanafi. Walaupun demikian ketika Imam Hanafi diseksa ia sempat berkata. "Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat nanti." Ketika ia berusia lebih dari 50 tahun, ketua negara ketika itu berada di tangan Marwan bin Muhammad. Imam Hanafi juga menerima ujian yang sama. Kemudian pada tahun 132 H sesudah dua tahun dari hukuman tadi terjadilah pergantian pimpinan negara, dari keturunan Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya bernama Abu Abbas as Saffah.

Pada tahun 132 H sesudah Abu Abbas meninggal dunia diganti dengan ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar Al-Mansur, saudara muda dari Abul Abbas as Saffah. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama besar yang disegani. Ahli fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.

Suatu hari Imam Hanafi mendapat panggilan dari baginda Al-Mansur di Baghdad, supaya ia datang mengadap ke istana. Sesampainya beliau di istana, baginda telah menawarkan jawatan kadi (hakim) kerajaan Baghdad. Dengan tawaran tersebut, salah seorang pegawai negara bertanya: "Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?" Dijawab oleh Imam Hanafi "Amirul mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar sumpah saya."

Kerana ia masih tetap menolak, maka diperintahkan kepada pengawal untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad. Pada saat itu para ulama yang terkemuka di Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya ialah Imam Ibnu Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as Saffah telah menjadi mufti kerajaan untuk kota Kufah. Kerana sikap Imam Hanafi itu, Imam Abi Laila pun dilarang memberi fatwa.

Pada suatu hari Imam Hanafi dikeluarkan dari penjara kerana mendapat panggilan dari Al-Mansur, tetapi ia tetap menolak. Baginda bertanya, "Apakah engkau lebih suka dalam keadaan seperti ini?" Dijawab oleh Imam Hanafi: "Wahai Amirul Mukminin semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin. Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah bersekutu dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada Allah. Demi Allah saya bukanlah orang yang boleh dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana saya akan dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak sepatutnya diberi jawatan itu."

Baginda berkata lagi: "Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai memegang jawatan itu." Dijawab oleh Imam Hanafi: "Amirul Mukminin, sungguh baginda telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya telah menyatakan bahawa saya tidak patut memegang jawatan itu. Jika saya berdusta, maka bagaimana baginda akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah oleh bangsa Arab. Bangsa Arab tidak akan rela diadili seorang golongan hakim seperti saya."

Pernah juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats Tsauri dan Imam Syarik an Nakhaei. Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan, masing-masing diberi surat pelantikan tersebut. Imam Sufyan ats Tsauri diangkat menjadi kadi di Kota Basrah, lmam Syarik diangkat menjadi kadi di ibu kota. Adapun Imam Hanafi tidak mahu menerima pelantikaan itu di manapun ia diletakkan. Pengangkatan itu disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu akan didera sebanyak l00 kali deraan.

Imam Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak mahu menerimanya, kemudian ia melarikan diri ke Yaman. Imam Abu Hanifah juga tidak mahu menerimanya dan tidak pula berusaha melarikan diri. Oleh sebab itu Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam dipukul dengan cambuk sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat. Suatu hari Imam Hanafi dipanggil baginda untuk mengadapnya. Setelah tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Ia dipaksa meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu Imam Hanafi kembali dipenjarakan kembali. Imam Hanafi menutup usianya dalam tahanan dengan keadaan menderita diseksa.

Imam Hanafi tidak ingin kepada jawatan dan pangkat yang diberikan oleh kerajaan daulah Umaiyyah dan Abbasiyah adalah kerana beliau tidak sesuai dengan corak pemerintahan yang mereka kendalikan. Oleh sebab itu mereka berusaha mengajak Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka dan membenarkan corak pemerintahan yang dilaksanakan, namun semuanya ditolak Imam Hanafi dan akhirnya beliau diseksa hingga membawa ke penamat hayatnya .

Penutup 

Imam Abu Hanifah wafat dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah (767 Masihi) dalam usia 70 tahun iaitu semasa pemerintahan Khalifah Abu Jaafar Al Mansur, Khalifah Abbasiyah yang kedua. Jenazah ulama agung ini dimaqamkan dengan penuh penghormatan oleh puluhan ribu umat Islam di tanah perkuburan Al Khaizaran di kota Baghdad.

Seutas kata Ulama 

Sufian As Tsauri pernah ditanya kenapa dia sangat menghormati dan memuliakan Imam Abu Hanifah. Beliau menjawab :" Orang itu sangat alim, dalam ilmu agama.Selain menghormati ilmu agamanya, saya menghormati umurnya.Selain menghormati umurnya, saya menghormati ilmu fiqihnya yang amat luas dan juga sifat warak dan taqwanya" Imam Abu Hanifah adalah seorang imam Mazhab yang besar dalam dunia Islam. Dalam empat mazhab yang terkenal tersebut hanya Imam Hanafi yang bukan orang Arab. Beliau keturunan Parsi atau disebut juga dengan bangsa Ajam. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang lain, iaitu sama-sama menegakkan Al-Quran dan sunnah Nabi SAW.

Wallahua'lam .

Thursday, November 4, 2010

Biografi Imam Syafi'ie

0 comments

Pengenalan


Namanya ialah Muhammad bin Idris bin Al-Abbas bin Utsman bin Syaafi’ bin As-Saai’b bin ‘Ubaid bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Al-Muthalib bin Abdu Manaf bin Qushay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ai. Bertemu dengan nasab Rasulullah SAW pada Abdu Manaf, dan Al-Muthalib adalah saudara kepada Hasyim ( bapa kepada Abdul Muthalib ). Beliau mempunyai nama qunyah yang bergelar Abu Abdillah . 


Beliau dilahirkan di Gaza dan dibawa berhijrah ke  ‘Asqalan pada tahun 150 H. Bapanya telah kembali kerahmatullah semasa beliau masih lagi dalam kandungan ibunya. Setelah ia mencapai usia 2 tahun, ibu dan bapa saudara beliau telah membawanya berpindah ke Mekah Al Mukarramah .

Di waktu kecilnya beliau tergolong dalam kumpulan kanak kanak yang cerdas dan sering menjadi juara dalam permainan memanah . Begitu juga kemampuannya menguasai tatabahasa arab dan syair sangat mengagumkan sehingga beliau sangat arif dalam kedua dua cabang ilmu tersebut. Ketekunannya dalam bidang pengajian telah membibitkan rasa cinta kepada bidang tersebut sehingga beliau dapat menguasai banyak cabang ilmu dalam masa yang masih muda . Beliau mampu  menghafaz Al-Quran pada usia seawal 7 tahun dan hafal pula kitab Al Muawatha' karya Imam Malik pada usia 10 tahun, sehingga kebanyakan ulama yang sezamannya mengatakan tiada manusia yang secerdik Imam Syafi'ie pada ketika itu .  

Pada awalnya beliau menuntut ilmu dari ulama ulama yang berada disekitar Mekah, diantaranya Muslim bin Khalid Az-Zanji (mufti Mekah), Muhammad bin Syafi’  (Bapa Saudaranya), Abbas (Abangnya), Sufyan bin Uyainah, Fudhail bin Iyadh, serta beberapa ulama yang lain. 

Seterusnya beliau berguru pula dengan ulama ulama dari Madinah seperti Malik bin AnasIbrahim bin Abu Yahya Al Aslami Al Madani, Abdul Aziz Ad-Darawardi, Athaf bin Khalid, Ismail bin Ja’far,  Ibrahim bin Sa’ad serta para ulama yang berada pada tingkatannya.

Setelah itu beliau berusaha menambahkan ilmu dengan berguru pula dengan ulama ulama dari Yaman dan Baghdad seperti Mutharrif bin Mazin, Hisyam bin Yusuf Al Qadhi, Muhammad bin Al Hasan  (ulama Iraq, beliau bermulazamah bersama ulama tersebut, dan mengambil darinya ilmu yang banyak ) Ismail bin Ulayah, Abdulwahab Ats-Tsaqafy, serta sejumlah ulama yang lainnya.

Beliau pernah mengatakan, “Menuntut ilmu lebih afdhal dari solat sunnah.” Dan yang beliau dahulukan dalam belajar setelah hafal Al-Qur’an adalah membaca hadith. Beliau juga mengatakan, “Membaca hadith lebih baik dari pada solat sunnah.” Dengan itu, setelah hafal Al-Qur’an beliau belajar kitab hadith karya Imam Malik bin Anas secara terus dengan ulama tersebut pada usia yang masih belia.

Setelah itu, beliau mengajarkan pula ilmu kepada generasi yang berikutnya. Ilmu beliau banyak diriwayatkan oleh para murid-muridnya dan tersimpan rapi dalam berbagai disiplin ilmu. Beliau juga merupakan pelopor penulisan dalam bidang ilmu Ushul Fiqh, dengan karyanya yang sangat tersohor - Ar Risalah. Dalam bidang Feqah, beliau menulis kitab Al-Umm (Kitab Induk yang menjadi sumber kepada Mazhab As Syafi'ie) . Selain itu beliau turut menulis kitab Jima’ul Ilmi.

Daripada beliau juga lahirnya banyak ulama ulama yang mempunyai nama besar dan menjadi tokoh ikutan antaranya , Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali - Ahli Hadits dan sekaligus juga Ahli Fiqih dan Imam Ahlus Sunnah dengan kesepakatan kaum muslimin), Al-Hasan bin Muhammad Az-Za’farani, Ishaq bin Rahawaih, Harmalah bin Yahya, Sulaiman bin Daud Al Hasyimi Abu Tsaur Ibrahim bin Khalid Al Kalbi dan sejumlah besar lagi lain lainnya.

Beliau kembali kerahmatullah pada hari Khamis di awal bulan Sya’ban tahun 204 H ketika umur beliau sekitar 54 tahun. Biarpun usianya tidak begitu panjang, keberkatan dan manfaat dari ilmunya dapat dirasakan kaum muslimin di segenap belahan dunia, hingga para ulama mengatakan, “Imam Asy-Syafi`ie diberi umur pendek, namun Allah menggabungkan kecerdasannya dengan umurnya yang pendek.”

Nota Ringkas :

Kata kata ulama muktabar tentang ketokohan beliau ;

Imam Ahmad bin Hambal berkata, “Sesungguhnya Allah telah mentakdirkan pada setiap seratus tahun ada seseorang yang akan mengajarkan Sunnah dan akan menyingkirkan para pendusta terhadap Rasulullah SAW. Kami berpendapat pada seratus tahun yang pertama Allah mentakdirkan Umar bin Abdul Aziz dan pada seratus tahun berikutnya Allah menakdirkan Imam Asy-Syafi`ie”.

Qutaibah bin Sa`id berkata: “Asy-Syafi`ie adalah seorang Imam.” Beliau juga berkata, “Imam Ats-Tsauri wafat maka hilanglah wara’, Imam Asy-Syafi`ie wafat maka matilah Sunnah dan apa bila Imam Ahmad bin Hambal wafat maka nampaklah kebid`ahan.”

Imam Ahmad bin Hanbal berkata, “Asy-Syafi`ie adalah manusia yang paling fasih di zamannya.”

Ishaq bin Rahawaih berkata, “Tidak ada seorangpun yang berbicara dengan pendapatnya -kemudian beliau menyebutkan Ats-Tsauri, Al-Auzai, Malik, dan Abu Hanifah,- melainkan Imam Asy-Syafi`ie adalah yang paling besar ittiba`nya kepada Nabi SAW, dan paling sedikit kesalahannya.”

Abu Daud As-Sajistani berkata, “Aku tidak mengetahui pada Asy-Syafi`ie satu ucapanpun yang salah.”

Ibrahim bin Abdul Thalib Al-Hafidz berkata, “Aku bertanya kepada Abu Qudamah As-Zarkhasi tentang Asy-Syafi`ie, Ahmad, Abu Ubaid, dan Ibnu Ruhawaih. Maka ia berkata, “Asy-Syafi`ie adalah yang paling faqih di antara mereka.”

Mutiara Kata Imam Syafi'ie ;

  • “Aku di Baghdad digelar sebagai Nashirus Sunnah (pembela Sunnah Rasulullah).”
  • “Al-Qur’an adalah kalamulah, barangsiapa mengatakan bahawa Al-Qur’an adalah makhluk maka dia telah kafir.”
  • “Semua perkataanku yang menyelisihi hadith yang sahih maka ambillah hadith yang sahih dan janganlah taqlid kepadaku.”
  • “Semua hadith yang sahih dari Nabi SAW maka itu adalah pendapatku meskipun kalian tidak mendengarnya dariku.”
  • “Jika kalian dapati dalam kitabku sesuatu yang menyelisihi Sunnah Rasulullah SAW maka ucapkanlah sunnah Rasulullah dan tinggalkan ucapanku.”
  • “Ikutilah Ahli Hadith oleh kalian, karena mereka orang yang paling banyak benarnya.”

Kata kata Hikmah beliau : “Kebaikan ada pada lima hal: kekayaan jiwa, menahan dari menyakiti orang lain, mencari rezeki yang halal, taqwa dan tsiqah kepada Allah. Redha manusia adalah tujuan yang tidak mungkin dicapai, tidak ada jalan untuk selamat dari ( perkataan ) manusia, wajib bagimu untuk terus menerus dengan hal-hal yang bermanfaat bagimu”.

* Moga beliau sentiasa dalam Rahmah Allah .. :) .. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud  “Barangsiapa yang mencari redha Allah meski dengan dibenci manusia, maka Allah akan redha dan akhirnya manusia juga akan redha kepadanya.” (HR. At-Tirmidzi 2419 dan disahihkan oleh Syeikh Al Albani dalam Sahihul Jami’ 6097).

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |