Showing posts with label Pendidikan Islam. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan Islam. Show all posts

Sunday, November 21, 2010

Targhib Dan Tarhib - Unsur Penting Dalam Dakwah

1 comments


ALLAH s.w.t. berfirman di dalam surah saba' ayat ke 25 bermaksud, Dan Kami tidak mengutuskan engkau melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, diulang-ulang beberapa kali di dalam al-Quran dalam beberapa ayat yang lain, iaitu ayat 119 surah al-Baqarah, ayat 23 surah Fatir dan ayat 4 surah Fussilat. Pengulangan ini menunjukkan penegasan tentang peranan Rasulullah SAW

Peranan Rasulullah s.a.w. sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan mewarnai hampir keseluruhan dakwah baginda SAW. Dalam setiap amal kebaikan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, kerap kali ada balasan baik yang dijanjikan. Begitu juga dengan amal kejahatan selalu ada peringatan terhadap balasan buruk yang akan disediakan. Sebesar-besar janji baik adalah Syurga dan seburuk-buruk ancaman adalah neraka Allah s.w.t.

Menyampaikan berita gembira yang membangkitkan semangat untuk beribadah diistilahkan sebagai at-targhib. Manakala memberikan ancaman-ancaman agar merasa gerun untuk melakukan dosa dan maksiat, diistilahkan sebagai at-tarhib. Kedua-duanya merupakan intisari dakwah Rasulullah SAW yang penting. Walau bagaimanapun, kedua-duanya merupakan janji yang tidak dapat dilihat segera di dunia ini. 

Ia bergantung kepada tahap keimanan seseorang terhadap Allah dan Rasul-Nya. Allah berfirman dalam ayat 7 surah al-Hasyr yang bermaksud : "Apa yang diberikan rasul kepadamu maka terimalah, dan apa yang dilarang bagimu maka tinggalkanlah". Ayat ini menyeru agar menerima apa sahaja yang dibawa oleh Rasulullah SAW, termasuk segala janji baik dan buruk yang dibawa oleh baginda SAW.

At-targhib dan at-tarhib ini jarang diperhatikan di dalam perbincangan-perbincangan tentang dakwah. Sedangkan ia merupakan inti dakwah yang mampu memberikan kesan terhadap hati dan perasaan manusia yang berakal. Perasaan mahu kepada yang baik dan bernilai serta takut kepada sesuatu yang menyusahkan dan menyakitkan adalah fitrah semua manusia. Perasaan manusia boleh tergugat dengan kedua-duanya. 

Walau bagaimanapun, at-targhib dan at-tarhib ini hendaklah didasarkan kepada nas-nas al-Quran dan hadith-hadith yang sahih mahupun dha'if. Para ulama hadith telah sepakat membenarkan penggunaan hadis-hadis dha'if yang tidak keterlaluan dha'ifnya dalam masalah at-targhib dan at-tarhib. 

Namun demikian terdapat juga sesetengah pengkaji hadith yang tetap tidak bersetuju penggunaan hadith-hadith dha'if, walaupun di dalam kedua-dua perkara ini. Menjawab persoalan ini, penulis membawakan komentar Dr. Sayyid Muhammad ibn `Alawi al-Maliki al-Hasani yang berkata : ``Wahai pengkaji dan pengkritik hadis, janganlah kamu tergamak mengeluarkan sesuatu hadis kepada kedudukan bukan hadith''.

Unsur-unsur at-targhib dan at-tarhib seharusnya mendapat perhatian penting di dalam sebarang pertemuan yang diadakan di atas nama usaha dakwah. Termasuk juga sebarang penulisan dakwah. Dakwah adalah usaha mendidik bukan memperkenalkan tentang dakwah secara luaran. Tidak ada salahnya membicarakan tentang metodologi dakwah, kerana ia juga merupakan suatu bidang ilmu yang mengajar bagaimana berdakwah. 

Hambar

Namun apabila hanya mahir tentang metodologinya tanpa bahan dakwah yang hendak disampaikan, dakwah akan menjadi hambar dan kosong. Apatah lagi jika apa yang dikatakan dakwah tersebut hanyalah membicarakan hal ehwal yang berkaitan dengan politik, walaupun ia merupakan salah satu wasilah dakwah. 

Rasulullah SAW tidak mendidik manusia dengan pemikiran politik, walaupun unsur tersebut tidak ditinggalkan. Ketakutan kepada Allah dan segala ancaman-ancaman buruk yang dijanjikan Rasulullah SAW tidak akan timbul dalam halaqah yang hanya membicarakan hal ehwal semasa dan politik. 

Begitu jugalah dengan harapan terhadap segala janji-janji baik. Keinginan untuk mendidik manusia dan berdakwah hanya akan lahir apabila aspek at-targhib dan at-tarhib ini sentiasa mengiringi isi-isi dakwah yang lain. 

Syah Waliyullah ad-Dahlawi di dalam bukunya, Qaul al-Jamil telah mengutarakan empat rukun dalam memberi peringatan atau berdakwah iaitu : 

  1. At-targhib iaitu memberi galakan dan perangsang supaya melakukan kebajikan.
  2. At-tarhib iaitu menakut-nakutkan atau menimbulkan rasa gerun terhadap dosa yang akan diterima apabila melakukan maksiat.
  3. At-tamsil iaitu memberi contoh dan perbandingan dengan misal-misal yang jelas dan juga cerita-cerita yang boleh melembutkan hati dan jenaka-jenaka yang berfaedah.
  4. Al-masalah iaitu hal-hal yang berkaitan dengan masalah hukum halal dan haram atau masalah-masalah yang termasuk dalam pengertian adab ahli-ahli dan peraturan berdoa. Begitu juga perkara-perkara yang berkaitan dengan iktikad di dalam Islam. Ringkasnya di sana ada dibicarakan tentang masalah tertentu dan ada usaha untuk memahamkan. 

Hal-hal yang telah disebutkan oleh Syah Waliyullah ad-Dahlawi tadi merupakan isi dakwah yang paling asas dan tidak boleh ditinggalkan, di samping membicarakan masalah dakwah yang lain. Seperti mana yang telah ditegaskan, dakwah merupakan usaha mendidik dan bukan hanya memperkenalkan wasilah dakwah, metodologinya, masalah-masalahnya, cabaran-cabaran dan halangan-halangannya.

Dakwah sebagai usaha mendidik manusia boleh dicapai melalui unsur-unsur at-targhib dan at-tarhib yang telah disebutkan. Dakwah adalah sesuatu yang hanya dapat dipelajari melalui usaha dakwah yang bersifat mendidik dan bukan hanya memperkenalkan. 

Manhaj

Menekankan masalah manhaj dakwah negara mana yang sepatutnya diikuti, adalah tidak bijak lantaran manhaj dakwah Rasulullah adalah bersifat umum dan sesuai pada asasnya untuk digunakan dalam segenap lapisan bangsa manusia, walau di mana mereka berada. Walaupun demikian, beringatlah terhadap sabda Rasulullah s.a.w. agar menyampaikan dakwah mengikut ukuran akal orang yang didakwahkan.

Akhirnya ditegaskan di sini bahawa unsur-unsur at-targhib dan at-tarhib merupakan antara inti dakwah yang penting agar dakwah yang dilakukan benar-benar berfungsi mendidik. 

Setiap langkah mengislah dakwah dalam kelompok manapun adalah langkah yang terpuji. 

Setiap kelompok yang mendirikan usaha dakwah adalah lahir dari hati yang mengalir padanya manisan iman. 

Dengan harapan ini pendakwah-pendakwah akan bersedia menerima perubahan-perubahan yang baik.

Sumber : UtusanOnline

Sunday, November 14, 2010

Pelan Pelaksanaan Penerapan Aqidah

0 comments


Realitinya, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan tumpuan secara tegas supaya segala usaha yang dilakukan kearah penerapan aqidah dalam pendidikan akan menghasilkan natijah yang sewajarnya , antaranya :

Kekuatan Ibu Bapa - Faktor terpenting kerana ibu bapa yang memiliki kekuatan ilmu, kemantapan iman dan kesungguhan dalam beramal akan dapat membantu si anak dalam memantapkan kekuatan imandan aqidah, sekaligus ibu bapa akan menjadi contoh dan model yang terawal dan terbaik kepada anak anak.

Kesedaran Ibu Bapa - Kepekaan dan kesedaran tentang betapa pentingnya penanaman aqidah akan dapat menggerakkan segala usaha dan langkah ke arah mendidik dan membentuk anak anak dengan didikan agama yang sewajarnya.

Kefahaman Masyarakat - Kefahaman yang tidak seimbang dikalangan masyarakat terhadap kepentingan penghayatan aqidah dan penerapannya kepada anak anak juga penyebab kepada gagalnya pendidikan Islam. Terdapat dikalangan masyarakat yang melihat dan menilai kepentingan asas asas aqidah dan agama sebagai perkara remeh sahaja dan bukan faktor penentu atau kata putus dalam pembinaan dan pendidikan generasi

Kelemahan Sistem Pendidikan - Sistem yang ada sekarang ini rata ratanya menunjukkan kelemahan yang ketara kerana kejayaan anak anak dinilai melalui kecemerlangan dalam peperiksaan semata mata. Hakikatnya, kecemerlangan itu perlu diperluaskan persepsinya, ia juga mesti meliputi kecemerlangan akhlak, cara hidup dan amal ibadat seseorang disamping kejayaan dalam peperiksaan.

Pandangan Negatif Tentang Pentingnya Ilmu Agama - Perkara yang dilihat sebagai pengancam kepada kejayaan usaha penerapan aqidah dalam pendidikan anak anak. Sewajarnya ilmu agama dianggap sebagai pemangkin kepada keutuhan peribadi anak anak walau dalam bidang apa sekalipun yang diceburinya. Ini adalah kerana Ilmu itu merupakan satu ibadah.

Pengaruh Budaya Keilmuan Barat - Penyebab kepada timbulnya penyakit kepada sebahagian umat Islam semasa. Budaya Keilmuan barat menyelusup masuk melalui kaedah pengajian, silibus dan sebagainya

Berlaku Gejala Songsang Tanpa Penerapan Aqidah - Faktor berlakunya isu isu keruntuhan akhlak dan moral seperti murtad, seks bebas, dadah, penipuan, rompakan dan sebagainya adalah bermula dari lemahnya aqidah dan iman dan lesunya penghayatan agama dalam diri individu terbabit. Disamping itu, tidak dinafikan wujudnya serangan pemikiran dan budaya sonsang dari barat yang menjadi penyumbang kepada berlakunya gejala buruk di kalangan generasi anak anak orang Islam, namun begitu, kelemahan dalaman diri umat Islam adaah punca segala galanya.

Artikel Berkaitan Topik Ini


Didikan Anak - Pengenalan
Beberapa Aspek Pendidikan Yang Diperlukan 
Aqidah Islamiah Asas Pendidikan Dan Pembentukan
Penerapan Aqidah Islamiah Dan Kepentingannya
Pendidikan Menurut Al Quran Dan Sunnah

Pendidikan Menurut AlQuran Dan Sunnah

0 comments


Asas pendidikan aqidah adalah untuk membina keperibadian muslim dan mukmin yang benar benar berwibawa. Dalam Al Quran dan Hadith, terdapat banyak sekali panduan yang memberikan penekanan terhadap hal ini . Bertolak dari apa yang sarankan dalam kitab dan sunnah secara umumnya boleh dirumuskan kepada beberapa inti penting dalam pendidikan dan wajar dikemukakan untuk dipraktikkan oleh anak anak kita. 

Secara ringkasnya, anak anak wajib ditanamkan pendirian BERIMAN dan YAKIN BAHAWA :


  • Pencipta alam sejagat ialah Allah SWT yang Maha Bijaksana.  Kesemuanya dapat dilihat dari kerapian dan aturan yang Allah ciptakan sebagaimana firmanNya, “Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah kedua-duanya itu rosak binasa.” (Surah al-Anbiya: 22)
  • Allah SWT tidak menciptakan alam ini tanpa tujuan atau dengan sia sia, semuanya mempunyai tujuan dan matlamat tertentu . FirmanNya, "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?. Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai "Arasy yang mulia" (Surah Al Mukminun : 115-116)
  • Allah SWT menurunkan para Nabi dan Rasul bertujuan untuk mengajar manusia mengenai  Allah SWT . Firman Allah, "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taaghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah pertunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya." (Surah An Nahl : 36)
  • Allah Swt menjadikan manusia dengan bertujuan untuk mengenali Allah sebagaimana sifat sifat Nya, juga betujuan untuk mentaati seta mengabdikan hidupnya semata mata kerana Allah. 
  • Syurga adalah balasan ganjaran bagi mukmin yang taat dan patuh kepada Allah sementara neraka pula adalah ganjaran bagi orang orang yang kufur dan ingkar . 
  • Manusia boleh mencapai kebaikan dan kejahatan melalui daya usaha, ikhtiar dan kehendaknya, Tetapi hakikatnya, sesuatu kebaikan tidak dapat dicapai kecuali dengan keizinan dan ketentuan Allah SWT, begitu juga seseorang akan terselamat dari terjerumus ke lembah kejahatan kecuali dengan kehendak Allah SWT.
  • Kemuliaan nama nama Allah (Asma Al Husna) dan berusaha untuk menghayatinya. Dari Abu Hurairah, Rasululllah telah bersabda yang bermaksud "Allah mempunyai 99 nama, seratus kurang satu, tidak ada seorang pun yang menghafalnya melainkan beliau akan masuk syurga, Allah itu witr (ganjil) tidak genap dan menyukai perkara perkara yang witr"
  • Persyariatan undang undang adalah hak mutlak Allah SWT, ianya tidak boleh dilanggari dan dilewati batas batasnya. Satu satunya yang harus bagi orang muslim ialah melakukan ijtihad untuk mengeluarkan hukum hukum dari nas nas syariat Allah SWT dalam batas dan lingkungan yang dibenarkan syariat itu sendiri.
  • Dengan cara memerhati dan menghayati tentang segala makhluk ciptaan Allah SWT, bukannya berfikir tentang Zat Allah. Dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud "Berfikirlah tentang kejadian ciptaan Allah dan jangan kamu berfikir tentang zat Allah kerana kamu tidak dapat menentukan zat Allah sebenarnya"
  • Ibadah hanyalah kepada Allah semata mata, tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, kerana itulah intipati ajaran dan dakwah para Nabi dan Rasul A.S
  • Perasaan takut hanyalah kepada Allah semata mata dan tidak takut kepada selain dari Allah. Ketakutan tersebut akan mendorong mukmin untuk menjauhkan diri dari perkara perkara yang dilarang dan ditegah oleh Allah SWT.

Seterusnya dengan menjuruskan anak anak dengan AMALAN :

  • Sentiasa berzikir dan mengingatiNya. Berzikir adalah ubat yang paling mujarab bagi jiwa dan hati seseorang mukmin.
  • Bertawakkal kepadaNya dalam semua urusan, ianya akan membangkitkan dalam diri mukmin kekuatan dan kesedaran roh sehingga merasakan perkara perkara berat menjadi ringan .
  • Berasa syukur diatas nikmat dan kurniaanNya yang tidak terhingga banyaknya
  • Sentiasa melakukan amalan taubat dan bermohon keampunan dari Nya
  • Sentiasa bermuraqabah terhadapat Allah SWT samada dalam keadaan terang atau tersembunyi, hakikatnya Allah SWT Maha Melihat dan Maha Mengetahui.

Selain dari itu ibu bapa mempunyai peranan untuk ;

  • Mengenalkan kepada anak anak hukum halal dan haram . Rasulullah mengaskan perkara ini melalui riwayat Ibnu Abbas "Hendaklah kamu taat kepada Allah dan takutlah dari melakukan kemaksiatan kepadaNya, dan perintahkanlah anak anak kamu supaya menunaikan perintah Allah, menjauhi laranganNya, yang demikian itu menyelamatkan kamu dan mereka juga dari neraka Allah"
  • Menerangkan tentang kewajipan solat bermula ketika berusia 7 tahun. Abdullah Ibni Amru Al As telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud "Perintahkanlah anak kamu besolat ketika usianya 7 tahun, dan pukullah mereka dalam usia 10 tahun (jika mereka enggan) dan pisahkanlah anak lelaki dan perempuan dari tempat tidur masing masing"
  • Memupuk adab cintakan Rasulullah SAW, sayang kepada ahli keluarganya (ahlul bait) dan cintakan Al Quran. Dari Ali bin Abi Talib Karamallah Wajhah telah menyatakan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Ajarkan anak kamu dengan 3 adab penting iaitu cintakan Nabi kamu, sayang kepada keluarganya dan membaca Al Quran, maka sesungguhnya orang orang yang bersama Al Quran, mereka akan berada dibawah naungan arash Allah pada hari kiamat bersama para nabi dan orang orang yang dicintainya.

Apa yang dipaparkan di atas adalah sekadar beberapa contoh keutamaan penerapan aqidah dalam pendidikan dan pembentukan anak anak dan ianya masih perlu diberikan penjelasan yang lebih lanjut dan komprehensif

Artikel Berkaitan Topik Ini


Didikan Anak - Pengenalan
Beberapa Aspek Pendidikan Yang Diperlukan 
Aqidah Islamiah Asas Pendidikan Dan Pembentukan
Penerapan Aqidah Islamiah Dan Kepentingannya
Pelan Pelaksanaan Penerapan Aqidah 

Penerapan Aqidah Islamiah Dan Kepentingannya

0 comments


Sebenarnya isu penerapan aqidah dan aplikasinya dalam konteks pendidikan Islam di Malaysia bukanlah sesuatu yang baru. Di negara ini, ianya sudah mula dipraktikkan beberapa ketika yang lalu terutama setelah munculnya kesedaran yang agak menyeluruh dalam masyarakatumat Islam betapa perlunya Islam dan ajaran ajarannya dijadikan panduan dan landasan hidup semi untuk mencapai kehidupan yang sejahtera dan diredhai Allah SWT. Sedikit sebanyak kesan kesan negatif yang timbul dari penjajahan keatas umat Islam di negara ini dalam tempoh hampir 446 tahun memberi impak yang amat mendalam kepada masyarakat, dimana telah timbul kesedaran betapa perlunya sistem pengajian, silibus dan manhaj pendidikan Islam diberikan nafas baru dan keutamaan yang sewajarnya. Apatahlagi dengan munculnya institusi institusi pengajian agama samada diperingkat tadika. rendah dan menengah bahkan diperingkat institusi pengajian tinggi secara besar besaran diseluruh negara terutama di awal dan pertengahan 80an, dimana ianya menunjukkan bahawa isu pendidikan Islam mula bertapak secara serius bermula dari saat itu. Justeru, isu penerapan aqidah dalam sistem dan silibus pengajian mula menampakkan sinarannya dan ianya terus berlangsung dan berkembang sehingga ke hari ini.

Namun begitu, dalam kerangka memantapkan aqidah dalam sistem pendidikan, persoalan yang dihadapi ialah cabaran semasa yang berlaku dalam masyarakat dan bagaimana pula caranya untuk membina kekuatan penerapan aqidah dan menghadapi cabaran cabaran tersebut. Antara cabarannya ialah :

  • Isu gejala sosial semasa
  • Isu kelemahan sistem pendidikan
  • Isu kefahaman masyarakat tentang Islam

Berasakan cabaran semasa tersebut, beberapa langkah perlu dilaksanakan, antaranya ialah melalui sistem penerapan aqidah dalam proses pendidikan dan pembentukan anak anak. Sehubungan dengan itu, dapat dirumuskan beberapa kepentingan dari pendidikan dan penerapan aqidah kepada generasi anak anak , antaranya :

  • Dapat menjadikan anak anak dibimbing melalui asal fitrah kejadian mereka
  • Aqidah dapat menjelaskan tentang erti dan maksud hidup yang sebenar sebagai khalifah di muka bumi
  • Melalui didikan aqidah, anak anak akan dapat dicernakan wataknya, cara hiduonya dan ibadatnya menurut ketentuan penciptanya.
  • Aqidah yang mantap akan menjadi benteng utama dalam realiti hidup yang akan ditempuhi oleh anak anak pada masa yang akan datang
  • Melalui didikan aqidah, anak anak akan terselamat dari sebarang penyelewengan dan kebejatan akhlak dan moral 
Artikel Berkaitan Topik Ini 

Aqidah Islamiah Asas Pendidikan Dan Pembentukan

0 comments


Aqidah menurut bahasa berasal dari perkataan al aqd (ikatan) yang bererti at tawthiq (pengukuhan), al ihkam (pemantapan) dan ar rabt bu quwwah (simpulan atau ikatan yang mantap dan kukuh). Penertian aqidah secara istilah pula ialan keimanan yang teguh dan tidak dihinggapi keraguan bagi pemiliknya. Akidah Islamiah pula boleh diertikan sebagai keimanan yang teguh kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala tuntutan tauhid dan kewajipan taat kepadaNya, seterusnya keimanan kepada para MalaikatNya, para RasulNya, yakin kepada hari akhirat dan percaya kepada qada' qadar Allah SWT. Termasuklah didalamya keimanan terhadap segala perkara ghaib serta kepada riwayat dan usul yang thabit dalam bentuk ilmiah dan amaliah.

Dalam konteks pendidikan Islam, asas aqidah perlu menjadi paksi yang paling awal dalam proses pertarbiahan anak anak . Sebagai contoh, amalan azan dan lafaz iqamah ditelinga kanan dan kiri anak yang baru lahir adalah penanda aras yang penting betapa kalimah pertama yang patut diperdengarkan dan diperkenalkan kepada anak ialah kalimah mengAgungkan dan mengEsakan Allah SWT iaitu Lailaha illa Llah. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud "Mulakanlah kepada anak anak kamu dengan seawal awal perkataan iaitu Lailaha illa Llah" (Riwayat Ibnu Abbas). Kalimah sebegitu perlu diperdengarkan supaya asas kehidupan anak tersebut akan terus berpandukan ajaran Islam dan sentiasa berada dalam keadaan istiqamah dengan seluruh ajaran Islam. Justeru, sewajarnya seluruh proses pendidikan anak anak bergerak di atas paksi kalimah tersebut, ianya melibatkan hal ibadah, adab pergaulan dan akhlak, cara berpakaian, adab bermuamalah atau berkomunikasi dan sebagainya.

Namun begitu, persoalan yang timbul ialah, apakah terdapat kesinambungan antara realiti yang berlaku pada masa itu (masa lahir) dengan apa yang berlaku pada masa akan datang? Inilah asas dan titik tolak perbincangan tentang hal hal pendidikan Islam yang berlaku dalam masyarakat dewasa ini terutama dalam situasi timbulnya pelbagai masalah dan penyakit sosial dan moral yang menular dikalangan anak anak orang Islam.

Kemanatapan pembangunan akidah perlu dipandang serius terutama dalam membina manhaj atau kurikulum pengajian dan pendidikan untuk anak anak pada masa ini. Apa yang sewajarnyaberlaku ialah roh pengajian dan silibus yang dibina hendaklah berasaskan kepada isu isu aqidah Islamiah dan bagaimana cara penerapannya supaya ilmu yang di ajar benar benar berpaksi di atas asas asas ketuhanan dan keagungan Allah SWT.

Topik Berkaitan Tajuk Ini


Didikan Anak - Pengenalan
Beberapa Aspek Pendidikan Yang Diperlukan 
Penerapan Aqidah Islamiah Dan Kepentingannya
Pendidikan Menurut Al Quran Dan Sunnah
Pelan Pelaksanaan Penerapan Aqidah


Beberapa Aspek Pendidikan Yang Diperlukan

0 comments

Dalam konteks mendidik anak anak, beberapa aspek pendidikan perlu diutamakan, antaranya :

  • Pendidikan Keagamaan (At Tarbiyyah Ad Diniyyah)
  • Pendidikan Kesihatan ( At Tarbiyyah As Sihhiyyah)
  • Pendidikan Kemasyarakatan (At Tarbiyyah Al Ijtima'iyyah)
  • Pendidikan Jasmani (At Tarbiyyah Al Riyadiyyah)
Aspek aspek tersebut perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh ibu bapa. Keperluan terhadap aspek aspek tersebut amat berkaitan, kerana kesempurnaan dalam pendidikan akan berlaku melalui tindakan yang bersifat syumul atau menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek yang diperlukan

Pendidikan Keagamaan amat diperlukan agar ikatan anak dengan agama bermula sejak dari kecil dan berterusan dari tahap ke tahap umur. Pendidikan ini bermula dari asas asas keimanan dan melazimkannya sehingga si anak dapat memahami rukun rukun Islam yang terdiri dari solat, puasa, zakat dan ibadat haji serta beberapa hukum hakam agama yang lain termasuklah juga adab adab dan akhlak yang sewajrnya mereka amalkan.

Pendidikan Kesihatan juga amat penting untuk diketengahkan dalam bab pendidikan anak anak. Memberi makan kepada anak anak secara berdisiplin serta mengambil berat tentang persoalan pemilihan makanan serta menerangkan peri mustahaknya makanan berzat adalah merupakan tanggungjawab ibubapa. Dengan bentuk pengawalan yang sebegitu, ianya akan menjamin bahawa pembesaran anak anak melalui pemakanan adalah terkawal. Sekaligus ianya akan dapat menjauhkan anak anak daripada mengambil makanan yang tidak sewajarnya. Dalam Islam, persoalan makanan amat berkait rapar dengan soal kehidupan ibadah, watak, akhlak seseorang dan sebagainya.

Pendidikan Kemasyarakatan pula amat besar peranannya dalam bab untuk menjadikan si anak sebagai insan dan warga yang mukmin dan berakhlak mulia didalam masyarakat. Ibu bapa hendaklah membiasakan anak anak dengan adat dan adab kemasyarakatan yang utama yang bersumberkan dari ajaran Islam serta pengajaran pengajaran agama yang baik.

Pendidikan Jasmani pula perlu diberikan keutamaan kerana Islam tidak pernah menolak aspek fizikal serta keupayaan badan sebagai satu perkara perlu dititikberatkan. Bahkan Rasulullah SAW sentiasa berpesan kepada umatnya supaya menjaga kesihatan fizikal melalui amalam bersenam atau bersukan. Umpamanya Rasululllah bersabda melalui hadith yang bernaksud "Ajarlah anak anak kamu memanah, berenang dan menunggang kuda", begitu juga dalam hadith riwayat Muslim, Baginda bersabda yang bermaksud "Mukmin yang gagah dan kuat lebih baik dan dicintai Allah dari mukmin yang lemah...". Oleh itu aspek pembangunan keupayaan fizikal perlu dijadikan ajaran penting kepada anak anak, apatahlagi dalam perkembangan dunia moden hari ini, terdapat banyak ruang dan medan yang dapat digunakan untuk tujuan pendidikan kejasmanian.

Hakikatnya, aspek aspek pendidikan yang dinyatakan di atas adalah sesuatu yang perlu dilihat secara serius oleh pasangan ibu bapa demi untuk mendidik dan membangun anak anak supaya mempunyai kekuatan jatidiri dan kekentalan iman sebagai anak anak yang soleh, berjaya dan cemerlang.

Topik Berkaitan Tajuk Ini .


Didikan Anak - Pengenalan
Aqidah Islamiah Asas Pendidikan Dan Pembentukan
Penerapan Aqidah Islamiah Dan Kepentingannya
Pendidikan Menurut Al Quran Dan Sunnah
Pelan Pelaksanaan Penerapan Aqidah

Didikan Anak - Pengenalan

0 comments


Sesungguhnya persoalan anak anak dan kaitannya dengan isu pendidikan adalah antara perkara yang amat relevan disepanjang zaman, apatahlagi dalam konteks keadaan semasa kini yang penuh dengan jerebu sosial dan akhlak. Penegasan tentang betapa perlunya aqidah menjadi asas dan dasar utama dalam pendidikan dan pembentukan anak anak perlu diketengahkan dan diperbincangkan dari masa ke semasa. Islam sebagai Ad Deen yang bersifat komprehensif atau syumul sememangnya meletakkan asas asas yang kukuh dalam hal pendidikan anak anak. Persoalan tarbiyyah `aqidiyyah dilihat sebagai matlamat terpenting dalam menjaga dan membina zuriat keturunan bahkan dalam konteks pembinaan generasi ummah secara keseluruhan. Justeru, pemantapan aqidah adalah perkara yang paling utama dan dasar terpenting dalam isu pembinaan dan pembangunan manusia. Dengan memiliki aqidah yang mantap dan kukuh, maka akan lahirlah peribadi yang mulia, sesuai dengan matlamat ajaran Islam yang sentiasa menyeru kearah menjadi insan yang benar benar bertaqwa. Oleh itu, kekuatan aqidah mestilah diserap dan diresap dengan cara yang sebaik mungkin dalam suasana mendidik generasi anak anak yang bertaqwa dan seterusnya diredhai Allah SWT.

Pandangan Islam Tentang Anak 

Menurut Islam, anak dilahirkan dalam keadaan suci dan fitrah. Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadith riwayat Abu Hurairah yang bermaksud "Setiap anak yang lahir itu, ianya dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibubapanya akan mencorakkan anak tersebut menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi" (Hadith Riwayat Bukhari). Perkataan fitrah di dalam hadith tersebut menurut para ulama ialah merujuk kepada Islam, berada dalam kesucian iman dan bersih dari segala noda dan dosa.

Anak juga dilihat sebagai saham dan pusaka yang abadi bagi pasangan ibu bapa. Saham tersebut akan berterusan dalam kebaikan jika anak yang ditinggalkan itu adalah anak yang soleh. Rasullulah pernah bersabda yang bermaksud "Apabila anak Adam meninggal dunia, akan terputuslah darinya semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu, sedekah jariah yang dilakukannya (amal kebaikan), ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa untuknya" (Hadith Riwayat Muslim)

Islam juga menuntut supaya anak anak dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin, melalui pengisian ilmu, iman dan amal. Bahkan para ibubapa diberikan amaran oleh Allah SWT tentang isu penjagaan dan pendidikan anak anak. Firman Allah SWT yang bermaksud "Wahai orang orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamudari bakaran api neraka dimana bahan bakarannya nanti ialah manusia dan batu bata" (Surah At Tahrim:6)

Justeru, anak mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia disisi Islam. Anak adalah rezeki yang bersifat amanah yang dibebankan diatas ibu bapa. Amanah tersebut mesti dipikul demi untuk tujuan penerusan zuriat keturunan yang benar benar diredhai Allah SWT.

Sesungguhnya usaha mendidik dan membina generasi anak anak adalah satu amanah yang besar dan tugas yang berat tetapi ianya perlu dianggap sebagai satu keutamaan dalam konteks pembangunan ummah. Penerapan aqidah adalah asas dan dasar paling utama dalam membangunkan generasi anak anak yang bertaqwa dan memiliki keperibadian yang cemerlang. Proses penerapan aqidah sewajarnya berlaku secara menyeluruh samada dari ibubapa sendiri sehinggalah kepada kepimpinan masyarakat. Kegagalan membina generasi anak anak yang beriman akan menyebabkan berlaku keruntuhan peradaban Islam dan umat Islam sejagat. Hakikatnya, para ibubapa dan semua pihak adalah memikul amanah tersebut, dan amanah itu perlulah dilaksanakan dengan sewajarnya. Kebangkitan generasi rabbani hanya akan terealisasi melalui cetusan dari manhaj yang telah digariskan oleh Allah SWT .

Thursday, November 11, 2010

Manfaat Silaturrahim

1 comments

Silaturrahim

♪♫ Aku sendirian di sini
Terbujur berdiri
Di tengah kota

Ramai manusia di sisi
Sombong dan tidak
Bertegur sapa

Bagaimana harus aku buktikan
Silaturrahim suruhan tuhan
Sampai bila
Begini...

Jika kita hidup di perbatasan
Peluru tidak kenal kasihan
Sampai bila
Begini... ♪♫
( Silaturrahim - BumiPutera Rockers)

Menjalinkan silaturrahim memang dituntut dalam kehidupan kita seharian . Dengan adanya perhubungan antara manusia baru timbul satu kelompok yang dipanggil masyarakat (apsal skema je ayat wa ni). Gini le, suka atau tidak, kita memang perlu kepada tali persaudaraan. Tak kira samada adik beradik, saudara mara, sahabat handai, rakan taulan, kenalan niaga, pen-pal maupun ahli mesyuarat tingkap .. takde kalu .. memang tak cukup korum ah . Susah wo .. hidup sensorang, jadi kera sumbang .. tak campur masyarakat. Nanti bila sakit, takde sape nak hantar ke hospital .. sape susah ? .. luorang jugakkk !!

So, kat sini .. wa nak share skit pasal manfaat menjalinkan silaturrahim. Perkara ni memang mudah dan sememangnya berlaku dalam kehidupan kita seharian .. soalnya.. antara sedar ngan idak je .. period.

1.Rezeki Bertambah Dan Umur Panjang

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud "Siapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan akhir usianya (dipanjangkan umurnya) hendaklah ia menyambung silaturrahim". (Hadis Riwayat Bukhari)

Rezeki bukan setakat wang dan harta benda . Ia dalam konteks yang lebih luas, udara yg kita sedut ni pun rezeki yang tak boleh dijual beli .. cuba kalo kita terperangkap dalam asap tebal dan takleh bernafas .. azab woo .. selain dari tu, anak anak, isteri, tubuh badan yang sihat, anggota tubuh yang berfunsi, akal yang waras, hidup yang tenang , tu semua merupakan rezeki yang jarang kita amik perhatian. 

2. Dapat Menyuburkan Harta 

Dalam hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Hanbali, At Tirmidzi & Al Hakim dari Abu Hurairah bahawa telah bersabda Rasulullah SAW yang membawa maksud : "Belajarlah tentang nasab nasab kalian sehingga kalian dapat menyambung silaturrahim. Kerana sesungguhnya silaturrahim adalah (sebab adanya) cinta terhadad keluarga (kerabat), banyaknya harta dan bertambah usia".

Kalo kita ikut teori ekonomi pun, makin banyak permintaan .. makin banyak le keuntungan. Sebab tu le kita kena ada pengiklanan supaya orang kenal ngan produk kita . Gitu gak le ngan ada persaudaraan yang ramai .. lagi ramai lagi baguih dok ada .. time mereka susah, kita rerajin le tanya khabar dan membantu setakat yg termampu , time kita susah .. ramai pulak yang boleh turut membantu . 

3. Menumbuhkan Rasa Cinta 

Dalam dunia moden ni, kita memang semakin hari semakin tak banyak masa utk saling ziarah menziarahi .. then, hubungan keluarga semakin renggang apatahlagi saudara jauh . Last sekali, anak kita dah tak kenal mana sepupu sepapat . Bila dah gitu .. takde laa rasa kasih sayang sebab dah takde kemesraan . So kita disarankan untuk tetap menjaga perhubungan.. saling bertanya khabar .. supaya hubungan sentiasa erat .. malah pepatah melayu pun ada mengatakan "tak kenal maka tak cinta" .. bila dah saling mengenal baru le keharmonian dapat dibentuk .. 

4. Kesudahan Hidup Yang Baik 

Dari sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Abdullah Bin Ahmad, Al Bazzar Dan At Thabrani, dari Ali bin Abi Thalib, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa suka untuk dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya serta dihindarkan dari kematian yang buruk maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dan menyambung silaturrahim".

Cemana silaturrahim boleh menyebabkan kematian yang baik ? Ini adalah sebab, berkasih sayang antara orang Islam itu dapat menghapuskan dosa antara sesama. Semakin banyak usaha yang kita lakukan dalam mempereratkan silaturrahim, semakin banyak dosa kita yg terhapus. Satu lagi, mungkin ada kesilapan yang tanpa disedari kita lakukan kepada orang lain .. maka dengan menjalin kemesraan dengan sendirinya, orang itu dapat melupakan dan memaafkan kesalahan kita .. kan elok gitu .

5. Dapat Imbuhan Di Akhirat 

Anas R.A berkata "Tiga orang yang akan berada dibawah naungan Allah SWT pada hari kiamat iaitu :

  • Orang yang menyambung hubungan kekeluargaan, diberkati umurnya, dan dilapangkan kuburnya juga rezekinya
  • Wanita yang ditinggal mati oleh suaminya dan kemudian memelihara anak yatim sehingga mereka peroleh kesenangan dan mati 
  • Orang yang membuat makanan lalu mengundang anak anak yatim dan orang orang miskin.".
Gitu le lebih kurang yang wa nak kongsikan ngan luorang ..mungkin terlalu ringkas .. almaklum la .. ni tazkirah utk diri sendiri .. kalo lurang baca dan faham Alhamdulillah .. kalo idak .. cecepat gi cari uztaz .. jangan biarkan hidup anda diselubungi ... kera sumbang ~!! .. hihihi 

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |