Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Sunday, March 6, 2011

Penyakit Tiroid Pada Wanita

0 comments


TIROID adalah satu kelenjar yang terletak di bahagian hadapan leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan. Penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir kesemua bahagian-bahagian badan dan juga merbahaya untuk kesihatan.

Penyakit tiroid lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Penyakit ini juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Rawatan untuk penyakit ini bagaimanapun selamat serta mudah.

* Kelenjar Tiroid

Secara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua, seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan juga triiodotiroksin (T3). Hormon-hormon ini mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi-fungsi badan yang dipanggil metabolisma.

Meningkatnya hormon-hormon ini bermakna metabolisma badan meningkat dan begitulah sebaliknya akan berlaku jika hormon terbabit dikurangkan. Dengan metabolisma yang tinggi, anda mungkin berasa panas dan begitulah sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan anda berjalan pada kadar yang selamat dan berkesan.

Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid. Apabila hormon tiroid banyak, penyakit hipertiroidisma berlaku dan sekiranya hormonnya sedikit, penyakit hipotiroidisma pula berlaku. Penyakit kencing manis juga boleh menganggu pengeluaran hormon tiroid.

* Diagnosis Penyakit Tiroid

Terdapat ujian, pemeriksaan dan juga rungutan tertentu yang boleh digunakan untuk diagnosis penyakit tiroid. Anda juga mungkin akan menghidap penyakit-penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.

Leher perlu diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan menelan. Jika dipegang, boleh dirasai bentuk kelenjar dan juga pergerakannya dengan menelan. Kulit dan mata juga boleh diperiksa di samping suhu badan serta berat badan boleh diamati untuk memastikan masalah kelenjar tiroid.

* Penyakit Hipotiroidisma

Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid anda tidak berfungsi secara optimum sehinggakan hormon-hormon tidak dikeluarkan secukupnya. Ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisma. Lazimnya, penyakit hipotiroidisma ini disebabkan oleh keradangan pada kelenjar tersebut, dipanggil tiroiditis.

Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto. Penyakit autoimun ini merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid. Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid berkerja dengan lebih kuat. Akibatnya, kelenjar tersebut membesar dan dipanggil sebagai goiter. Lama kelamaan, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.

Cara pemakanan yang tidak betul juga boleh menyebabkan hipotiroidisma (rujuk pada intisari makanan yang mempunyai kandungan iodin).

Simptom hipotiroid dengan perlahan-lahan akan dirungutkan dan sebab itu juga anda mungkin tidak mempunyai rungutan berbulan-bulan dan juga mungkin bertahun-tahun lamanya walaupun menghidap penyakit hipotiroidisma.

Ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan yang anda sememangnya menghidapi hipotiroidisma. Sekiranya paras hormon adalah normal, mungkin anda mempunyai penyakit-penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan. Hormon tiroid akan diberikan kepada anda supaya paras hormon tiroid badan kembali normal dan terdapat kemungkinan anda terpaksa mengambil hormon ini selama-lamanya.

Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala dan ujian darah mungkin dilakukan.

* Hipertiroidisma

Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid anda mengeluarkan hormon secara berlebihan. Ini menyebabkan metabolisma badan meningkat. Penyakit ini lazimnya berlaku pada wanita sekitar umur 20 hingga 40 tahun.

Penyakit Grave adalah penyebab utama peningkatan aktiviti kelenjar ini. Biasanya mata mereka yang menghidapi penyakit ini akan kelihatan seperti mata ikan emas! Selain itu, ubat yang diambil untuk penyakit hipotiroid juga mungkin menyebabkan hipertiroid, jadi pengawasan doktor amatlah penting.

Penyakit hipertiroid ini boleh juga menyebabkan ‘ribut tiroid’ terutamanya apabila anda mengalami masalah kesihatan lain yang akut. Ribut tiroid ini menyebabkan anda mendapat demam, peningkatan degupan jantung, dan juga perubahan fungsi otak seperti kekusutan pemikiran, sawan, cemas keterlaluan dan mungkin juga menyebabkan koma.

Rawatan yang diberikan akan mengurangkan pengeluaran hormon tiroid. Ubat untuk mengurangkan degupan jantung juga mungkin perlu diberikan. Sekiranya rawatan yang diberikan gagal, mungkin rawatan menggunakan iodin beradioaktif diberikan dengan niat untuk memusnahkan sebahagian kelenjar tiroid anda. Pembedahan juga salah satu daripada kaedah rawatan yang boleh membantu.

Sekiranya anda mendapati adanya bengkak kecil iaitu nodular pada kelenjar tiroid, pemeriksaan perlu dilakukan untuk mengetahui sama ada ianya kanser ataupun masalah nodular biasa.

Pemeriksaan ultrasound dan juga biopsi ataupun aspirasi menggunakan jarum perlu dilakukan. Rawatan lanjut akan dibincangkan doktor dengan anda semasa lawatan kesihatan susulan.

* Penyakit Tiroid Semasa Mengandung

Penyakit tiroid memberikan risiko pada anda dan juga kandungan. Sebab itulah pentingnya anda menjalani pemeriksaan kesihatan semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung. Dengan rawatan, anda boleh mengandung secara normal dan selamat. Rawatan anda juga mungkin diubah dos ubatnya secara berkala di samping ujian darah dan juga ujian-ujian lain yang difikirkan perlu.

Rawatan iodin beradioaktif tidak akan diberikan pada pesakit-pesakit semasa mengandung. Ada juga sesetengah ibu mengalami masalah tiroid selepas bersalin. Ini dipanggil sebagai postpartum tiroiditis. Lazimnya paras hormon tiroid ibu terbabit kembali ke paras normal dengan pantas. Namun, ada segelintir daripada ibu terbabit yang mungkin akan mengalami hipotiroidisma pada masa hadapan.

Perlu ditegaskan di sini bahawa ujian pengesanan ataupun ujian darah hormon-hormon tiroid bukan merupakan pemeriksaan rutin semasa pemeriksaan antenatal.

Wednesday, December 15, 2010

Sindrom Mata Merah

0 comments

MATA merah atau kemerahan merupakan antara masalah yang sering kali berlaku sehingga menjejaskan keselesaan mata dan ketajaman penglihatan. Selalunya kita akan mula risau apabila mata mula mengalami masalah sama ada kerap berair, menjadi kabur atau sakit. Sebenarnya gejala-gejala sedemikian dapat memberi amaran terdapat masalah atau sesuatu yang tidak kena pada mata, dan kita harus mengambil tindakan sewajarnya.

Oleh itu, penting bagi seseorang mengetahui serba sedikit bila mereka menghadapi situasi sebegini. Kita perlu tahu sama ada terdapat keperluan untuk mengambil tindakan segera atau masih boleh menunggu beberapa hari sebelum mendapatkan nasihat dan rawatan doktor mata.Mata kita membabitkan kelopak mata dan biji mata. Jika sesuatu berlaku pada kelopak mata, ia biasanya tidak menyebabkan kebutaan.

Penyebab kemerahan mata yang paling biasa berlaku ialah penyakit alahan, di mana pesakit mengalami gejala seperti berasa gatal pada mata dan mata sering berair. Bagaimanapun, penglihatan tidak terganggu dan ia dapat dirawat dengan ubat titis. Bagi kanak-kanak, selain berdepan masalah mata, mereka juga sering mengalami alahan dan penyakit lelah. Penyakit kelopak mata yang boleh menyebabkan mata merah pada kanak-kanak adalah ketumbit. Satu lagi penyebab penyakit mata yang sering berlaku ialah konjuntivitis.

Gejala yang dialami pesakit juga sangat jelas, iaitu mata menjadi merah, berair, merasa silau dan ada banyak tahi mata. Penyakit membabitkan biji mata mungkin mengganggu penglihatan apabila berlaku perubahan pada struktur mata. Tahap penyakit ini bagaimanapun hanya dapat dikesan pakar mata.

Masalah biasa

Banyak faktor yang boleh menyebabkan mata seseorang menjadi merah. Faktor ini boleh dibahagikan kepada penyebab yang berbahaya atau yang tidak membahayakan.

Penyebab yang tidak bahaya ialah konjuntivitis, iaitu keradangan pada lapisan konjuntiva tetapi tidak membabitkan struktur penting mata seperti kornea. Lapisan konjuntiva merangkumi mukus lembut yang menutup bahagian depan mata dan bahagian dalam kelopak mata.

Penyebab yang berbahaya pula melibatkan glaukoma, uveitis dan jangkitan kuman pada kornea yang dipanggil ulser kornea. Glaukoma akut berlaku kerana peningkatan tekanan dalam mata secara mendadak sehingga menyebabkan kemerahan mata dan kesakitan yang amat sangat. Pesakit memerlukan rawatan segera kerana jika tidak, akan berlaku kerosakan saraf optik yang boleh menyebabkan kebutaan. Jika lewat menerima rawatan untuk glaukoma akut, besar kemungkinan akan menyebabkan kerosakan pada struktur di dalam mata dan saraf mata yang akhirnya akan membawa kepada kebutaan.

Untuk ulser kornea pula, penggunaan kanta lekap menjadi antara punca utamanya. Risiko ulser ini meningkat lebih tinggi jika pemakai tidak mengamalkan penjagaan dan kebersihan kanta dan bekas simpanannya seperti yang disarankan. Ulser kornea juga boleh disebabkan jangkitan kuman pada mata seorang pemakai kanta lekap yang masih terus memakai kanta lekap, walaupun selepas matanya menjadi merah.

Rawatan ulser kornea melibatkan pengambilan ubat titis antibiotik yang diberi doktor mata dan harus digunakan setiap satu hingga dua jam. Pesakit yang mengalami gejala teruk harus mendapatkan rawatan di dalam wad untuk pemantauan rapi. Terdapat juga pesakit dengan ulser kornea yang teruk kerana lambat mendapat rawatan dan hanya menggunakan ubat mata yang dibeli sendiri dari kedai. Pesakit sebegini mungkin hanya berjumpa doktor apabila mengalami sakit yang amat sangat.

Pesakit dengan uveitis akut biasanya mengalami rembesan bahan radang pada mata yang seterusnya menimbulkan kesakitan pada mata. Penyakit tibi juga boleh menyerang mata dan selalunya menjadi lebih teruk jika tidak dikesan dan diberi rawatan awal.

Gejala dan rawatan

Dua gejala penting harus diberi perhatian, iaitu:
  • Gangguan penglihatan
  • Kesakitan pada mata


Jika dua gejala ini berlaku, pesakit harus segera berjumpa doktor mata. Seorang pesakit yang mengalami masalah mata merah turut berasa sakit dan juga kekaburan penglihatan. Selepas dirujuk kepada pakar mata, pesakit tersebut didapati menghidap skleritis atau radang pada lapisan luar mata (sklera). Kesakitan itu dapat disembuhkan dengan rawatan yang bersesuaian. Doktor kebiasaannya akan memeriksa ketajaman penglihatan dan memeriksa keadaan mata pesakit sebelum menentukan penyebab mata merah.

Para doktor harus bertanya dua soalan kepada pesakit yang mengalami mata merah iaitu:
  • Adakah mata pesakit berasa sakit?
  • Adakah penglihatan mereka terganggu?

Jika pesakit menjawab ya bagi kedua-dua soalan, dia perlu dirujuk kepada pakar mata dengan segera. Jika tidak, besar kemungkinan pesakit menjadi buta jika masalah mata merah berpunca daripada penyebab berbahaya seperti jangkitan kuman. Jangkitan kuman pada mata bukan sahaja menyebabkan mata pesakit menjadi merah, malahan berasa sangat sakit dan mungkin juga muntah.

Pengguna kanta lekap mungkin mengalami masalah mata merah akibat daripada jangkitan kuman pada lapisan kornea mata (ulser kornea). Justeru, mata akan menjadi merah dan sakit. Jika tidak dirawat segera, pesakit berkemungkinan akan menjadi buta. Ulser kornea akibat jangkitan kuman mudah berlaku jika seorang pemakai kanta lekap tidak menjaga kebersihan mata dan kanta lekap, serta tidur tanpa menanggalkannya.

Perkara pertama dan paling penting jika pemakai kanta lekap mengalami mata merah ialah untuk tidak memakai kanta lekap berkenaan. Sebaliknya, bawa kanta tersebut bersama bekas simpanannya terus kepada doktor mata. Doktor akan memeriksa bekas kanta lekap itu untuk memastikan sama ada ia mengandungi kuman.

Rawatan segera untuk masalah mata merah dapat mengenalpasti tahap bahaya terhadap penglihatan pesakit, seterusnya mencegah kebutaan.

Wednesday, December 1, 2010

Jangkitan Kuman Paru Paru

0 comments

SISTEM pernafasan manusia terbahagi kepada bahagian atas dan bahagian bawah. Bahagian bawah terletak di dalam dada dan terdiri daripada saluran pernafasan dan pundi-pundi udara (air sacs). Jangkitan kuman di paru-paru boleh melibatkan saluran pernafasan (bronchitis) dan pundi-pundi udara (pneumonia).


Secara amnya, jangkitan kuman di tisu paru-paru dikenali sebagai pneumonia. Ia adalah jangkitan kuman yang biasa di kalangan kanak-kanak kecil dan orang-orang tua. Ia disebabkan oleh virus atau bakteria. Kadangkala ia juga disebabkan oleh jangkitan awal pada sistem pernafasan di bahagian atas (batuk dan selsema) yang merebak ke bahagian bawah sistem pernafasan. Jangkitan kuman ini boleh melibatkan keadaan yang tidak serius hinggalah kepada keadaan yang membahayakan nyawa.

Tanda-tanda dan gejala

Ini bergantung kepada sebab, umur dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan seseorang kanak-kanak itu. Secara amnya, kanak-kanak akan mengalami :
  • Demam panas
  • Batuk dengan atau tanpa kahak
  • Sakit dada
  • Tiada selera makan, tidak mahu makan
  • Rasa tidak sihat, sering merengek
  • Pernafasan laju atau susah bernafas
  • Muntah atau cirit-birit

Adakah jangkitan kuman paru-paru ini serius?

Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil. Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen.

Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital:
  • Pernafasan laju
  • Sukar untuk bernafas
  • Bibir menjadi biru
  • Batuk berdarah
  • Tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing

Apakah rawatan untuk jangkitan di paru-paru?

Jenis rawatan bergantung kepada tahap jangkitan. Kebanyakannya adalah tidak serius dan disebabkan oleh virus, oleh itu sistem pertahanan badan memainkan peranan utama untuk melawan penyakit ini. Apabila jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor. Untuk jangkitan yang tidak serius, ubat boleh diberi dalam bentuk pil.

Anda Boleh mencuba rawatan ini di rumah:
  • Paracetamol
  • Rehat yang secukupnya
  • Minum air yang banyak
  • Sekiranya jangkitan menjadi lebih serius ubat akan diberikan melalui suntikan.
  • Jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan kuman ini ?

»» Mengekalkan amalan cara hidup sihat. Amalan kebersihan diri dan persekitaran yang baik. Teruskan penyusuan susu ibu.

»»  Mengambil imunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru. Contohnya:
  • Vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles) - wajib untuk semua kanak-kanak di bawah Program Immunisasi Kanak-Kanak Negara.
  • Vaksin influenza (untuk kanak-kanak tertentu yang berisiko tinggi contohnya masalah pernafasan yang kronik, penyakit jantung dan masalah kurang pertahanan badan)
  • Vaksin pneumococcal (juga untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi contohnya kanak-kanak yang tiada limpa, sakit buah pinggang yang kronik dan kanak-kanak yang menerima rawatan yang melemahkan sistem pertahanan badan).

Tuesday, November 30, 2010

Amalan Pemakanan Yang Tidak Sihat

0 comments

KEBULURAN atau kekurangan makanan sememangnya tidak menjadi isu lagi selepas lebih 50 tahun negara ini mencapai kemerdekaan. Terbukti Malaysia telah menangani isu ini dengan jayanya sehinggakan kalau dulu orang mati tidak makan tetapi kini istilahnya berbeza pula mati kerana terlebih makan.

Walaupun cukup makan bukan bermakna semua rakyat negara ini mengamalkan corak pemakanan yang betul. Ini kerana mengikuti laporan kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga yang diadakan pada tahun 2006, terdapat bilangan kanak-kanak di negara ini yang mengalami masalah kekurangan berat badan dan berlebihan berat badan yang membimbangkan.

Bendahari Kehormat Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin berkata, status pemakanan kanak-kanak di Malaysia telah menjadi suatu masalah yang membimbangkan di negara ini.
"Yang lebih membimbangkan lagi, kebanyakan daripada kanak-kanak ini ialah kanak-kanak yang berumur di antara satu hingga enam tahun,'' katanya 

Dr. Musa turut mengingatkan masyarakat Malaysia supaya memberi perhatian terhadap perkembangan yang membimbangkan ini dan mula mengambil isu pemakanan sebagai isu serius. Ini kerana katanya, pemakanan membawa manfaat yang tinggi kepada kanak-kanak sama ada dari segi perkembangan fizikal mahupun mental.

Ibu bapa perlu mendalami isu-isu kesihatan berkaitan pemakanan kanak-kanak serta berkongsi cara penyelesaian. Antara yang perlu ditekankan adalah pengetahuan dalam kepentingan nutrisi awal untuk tumbesaran si manja, implikasi tabiat pemakanan terhadap kesihatan dan memberi tip untuk mengatasi masalah cerewet makan dan masalah pemakanan yang lain.

Thursday, November 18, 2010

10 Polisi Penyusuan Ibu Oleh WHO-UNICEF

0 comments


10 langkah telah dibentangkan pada 1989 sebagai kenyataan bersama WHO/UNICEF dalam usaha Perlindungan, Promosi dan Sokongan Penyusuan Ibu - Suatu peranan istimewa dalam Perkhidmatan Perbidanan. Deklarasi Innocenti pada 1990 itu menyeru dunia untuk melaksanakan 10 Langkah ini secara menyeluruh di semua agensi perbidanan menjelang 1995. Dua dekad kemudian, lebih 152 negara telah mempunyai Rakan Bayi. Mereka telah melaksanakan 10 Langkah dan dengan penambahan beberapa bahagian berkenaan dari Kod Tataetika Pemasaran Gantian Susu Ibu Antarabangsa, telah membantu untuk menghalang promosi susu formula kepada pengamal penjagaan kesihatan dan orang awam.

Setiap kemudahan yang menyediakan perkhidmatan perbidanan dan penjagaan bayi baru lahir perlu :


  1. Mempunyai polisi penyusuan ibu secara bertulis yang disampaikan kepada semua kakitangan kesihatan secara berkala.
  2. Melatih semua kakitangan kesihatan dalam kemahiran yang perlu untuk melaksanakan polisi ini.
  3. Memberitahu semua ibu mengandung tentang kebaikan dan pengurusan penyusuan ibu.
  4. Membantu para ibu memulakan penyusuan badan dalam masa setangah jam selepas kelahiran.
  5. Menunjukkan para ibu cara menyusukan dan mengekalkan penghasilan susu walaupun mereka terpaksa dipisahkan daripada anak anak mereka.
  6. Tidak memberikan bayi-bayi yang baru lahir makanan atau minuman selain susu ibu kecuali atas sebab sebab perubatan.
  7. Mengamalkan penyusuan disisi ibu (rooming in) - membenarkan ibu dan anak bersama sama selama 24jam sehari.
  8. Menggalakkan penyusuan ibu mengikut kehendak bayi.
  9. Tidak memberikan puting tiruan atau puting kepada bayi bayi yang menyusu susu ibu.
  10. Menggalakkan penubuhan kumpulan sokongan penyusuan ibu dan merujuk para golongan ibu kepada mereka selepas keluar dari hospital atau klinik 


Sumber : Harian Metro Klassifieds

Monday, November 8, 2010

Info Kanser Part 2

0 comments

Sejak bertahun dipercayai bahawa keturunan (genetik) merupakan faktor utama yang menyumbang kepada risiko seseorang akan mengidap kanser. Kajian terbaru mendapati bahawa kira-kira 90% dari pengidap kanser  tidak mempunyai sejarah kanser dalam keluarga mereka. Kajian tersebut juga mendapati bahawa penyumbang terbesar kepada risiko kanser adalah faktor persekitaran seperti merokok, permakanan, infeksi, arak, dadah, bahan kimia, tekanan dan radiasi.

Berikut disenaraikan maklumat tambahan yang anda perlu tahu mengenai 
kemoterapi dan radiasi:

  1. Rawatan awal kemoterapi dan radiasi biasanya dapat mengecilkan saiz tumor. Namun begitu penggunaan kemoterapi dan radiasi yang berpanjangan tidak menjamin lebih kemusnahan tumor.
  2. Kemoterapi dan radiasi meninggalkan banyak toksid yang boleh menjejaskan atau memusnahkan sistem imun, jesteru pesakit akan terdedah kepada pelbagai jangkitan dan masalah kesihatan.
  3. Kemoterapi dan radiasi juga boleh menyebabkan sel kanser membina  sistem pertahanan sendiri yang membuat ia lebih susah dimusnahkan

Kita teruskan dengan langkah yang boleh diambil untuk mencegah dan mengatasi masalah kanser:

Sistem imun yang sihat merupakan pelindung utama dari penyakit kanser. Sistem imun mempunyai sel dinamakan "Sel NK (pembunuh semulajadi)", yang bertanggungjawab untuk memerangi sel kanser. Setiap saat dalam hidup kita, sel NK bekerja keras untuk membunuh sel kanser.  Apabila sel NK gagal melaksana tugasnya, kita mendapat penyakit kanser. Kesihatan sel NK terjejas oleh faktor persekitaran yang dinyatakan di atas.

Perubahan diet boleh membantu anda memelihara kesihatan sistem imun dan 
seterusnya mencegah kanser. Diet yang terdiri dari 80% sayuran, buah-buahan dan jus segar, bijirin dan kacang dapat membantu tubuh berada dalam persekitaran alkali, atau persekitaran yang tidak baik untuk pertumbuhan sel kanser. Untuk memperolehi enzim bagi membina sel yang sihat, anda boleh meminum jus sayuran segar 2 atau 3 kali sehari. Enzim dari sayuran segar akan rosak pada suhu 104 darjah F (40 darjah S). Buah atau jus hendaklah diambil sekurang-kurangnya 15 minit sebelum mengambil makanan ruji.

Beberapa makanan tambahan (Transfer Factor, IP6, Plant Polysaccharide, Echinacea, cendawan Shiitake, Cordyceps dll. ) telah dibuktikan (melalui ujian makmal) dapat memulihkan kesihatan sel NK. Untuk lebih berkesan ia perlu diambil bersama antioksidan dan coenzyme Q10.

Ingin  memerangi kanser? Jika ya, mula makan sihat dan  hidup sihat sekarang!!!

Info Kanser Part 1

0 comments

Setiap orang dari kita mempunyai sel kanser di dalam tubuh masing- masing. Sel kanser ini tidak dapat dikesan melalui ujian biasa sehingga ianya membiak ke jumlah beberapa ribu juta. Sel kanser hanya akan dikesan apabila ia telah membesar ke satu saiz yang mampu dikesan.

  1. Seseorang akan mendapat sel kanser sebanyak 6 hingga 10 kali di dalam hayatnya.
  2. Sistem imun yang sihat akan memusnah dan menghalang sel kanser dari membiak dan membentuk tumor.
  3. Kanser mungkin disebabkan oleh kekurangan zat makanan, alam sekitar, gaya hidup, makanan dan genetik.
  4. Perubahan diet dan pengambilan makanan tambahan yang sesuai boleh mengekalkan kesihatan sistem imun.
  5. Rawatan kemoterapi memusnahkan sel kanser, tetapi dalam masa yang sama ia turut memusnahkan sel tubuh yang sihat. Begitu juga dengan rawatan radiasi.
  6. Untuk membiak, sel kanser memerlukan makanan yang diperolehi melalui
  • Pengambilan gula; dengan mengurangkan pengambilan gula, ianya dapat memutuskan bekalan makanan kepada sel kanser. Pemanis tiruan bukan pengganti yang baik. Pengganti yang lebih baik ialah madu asli.
  • Garam halus; bahan kimia digunakan untuk membuat ia kelihatan putih, baik untuk sel kanser. Bertukar kepada garam laut atau garam bukit.
  • Susu membuat tubuh menghasilkan mukus/lendir terutamanya di trek usus perut. Sel kanser memakan mukus. Bertukarlah kepada susu soya tanpa gula.

Sel kanser subur dalam persekitaran berasid. Makanan berasaskan daging adalah berasid. Lebih baik untuk memakan ikan atau sedikit ayam. Daging juga mengandungi antibiotik, hormon pembiakan dan parasit yang membahayakan terutamanya kepada pesakit kanser.

Kanser Payudara - Pengenalan

0 comments

B R E A S T  C A N C E R

Apa Itu Kanser Payudara?

Kanser payudara terjadi apabila sel normal payudara bertukar struktur dan merebak. Ia menjangkiti tisu dan bahagian lain yang berdekatan seperti kelenjar atau lobul, pembuluh darah, salur limfa dan nodus limfa. Kebiasaannya tumor terbentuk kerana pengumpulan sel abnormal. Kesemua jenis tisu di dalam payudara boleh membentuk kanser tetapi biasanya ia bermula di dalam kelenjar atau duktus.

Kanser payudara meyumbangkan peratus yang tertinggi bagi penyakit kanser di kalangan wanita. Kanser payudara berada di tangga kelima bagi kadar kematian akibat kanser dan merupakan penyumbang utama kematian akibat kanser di kalangan wanita. Di sepanjang hidupnya seseorang wanita mempunyai risiko mengidap kanser payudara sebanyak 1 dalam 8 dan kemungkinan meninggal dunia akibatnya adalah 1 dalam 28. 

Pengelasan Kanser Payudara

Kanser payudara dikelaskan mengikut beberapa faktor seperti kanser lain. Faktor yang biasa diambilkira ialah tisu punca, lokasi tumor atau tisu punca, jenis tisu atau histologi, gred tumor, peringkat tumor, kemunculan dan aktiviti tumor, status nodus dan perebakan. Mula-mula sel bertukar struktur tetapi berada di lokasi asal di dalam duktus atau membran basemen lobul. Kemudian berlaku mitosis (penduan sel) dan metastasis (perebakan) melalui membran basemen dan bergerak ke kawasan terpencil di dalam badan.

Tanda dan Gejala Kanser Payudara

Pembentukan gumpulan merupakan tanda biasa yang kekal untuk jangka masa yang panjang. Kemungkinan nodul asimptomatik akan muncul sebelum tanda atau gejala lain timbul. Sakit payudara atau mastodinia atau sakit pada gumpulan merupakan satu lagi gejala kanser payudara di peringkat awal. Kemudian tanda-tanda radang seperti sakit, panas, kemerahan atau bengkak akan berlaku jika salur limfa kecil di dalam kulit dan pembuluh limfatik diserang oleh tisu abnormal. Kulit akan mempunyai tekstur kupasan oren yang juga dirujuk sebagai “peau d’orange”. 

Gumpulan mungkin terjadi di payudara atau di ketiak. Rupa payudara juga akan bertukar melalui penebalan atau pertambahan saiz dan bentuk. Kulit payudara mungkin kelihatan seperti lekuk atau membentuk rabung. Puting mungkin terpusing ke dalam, menjadi merah atau bersisik atau mempunyai lelehan yang abnormal. Apabila ia merebak ke kawasan lain, akan menjelma tanda seperti demam, seram sejuk, sakit tulang dan sendi, sakit kuning, gejala neurologi dan curahan (efusi) pleura. Kelemahan adalah tanda atau gejala awal kanser payudara mungkin tidak kelihatan, justeru kaum wanita perlu mengambil inisiatif membuat diagnosis dengan memeriksa sendiri payudara dan juga menjalani ujian payudara setiap tahun.

Peringkat Kanser Payudara

Untuk mendiagnosis kanser payudara, pemerhatian dibuat melalui mamografi atau MRI payudara. Peringkat kanser payudara ditentukan mengikut sifat sel atau tahap pembiakan (proliferasi).

Peringkat 0 atau tumor kanser di tempat asalnya (karsinoma in situ) dikira sebagai risiko kanser payudara tanpa kehadiran penyakit itu sendiri. Karsinoma lobular in situ atau LCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam kelenjar payudara. Karsinoma duktal in situ atau DCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam duktus payudara.

Peringkat I merujuk kepada kanser payudara pada peringkat awal di mana ukuran melintang tumor kurang dari 2 sentimeter dan belum lagi merebak. Peringkat II juga merujuk kepada kanser payudara pada peringkat di mana ukuran tumor adalah antara 2 hingga 5 sentimeter; atau lebih dari 5 sentimeter tetapi belum merebak; atau kurang dari 2 sentimeter tetapi telah merebak ke nodus limfa ketiak. 

Peringkat III ialah di mana ukuran melintang tumor telah meningkat ke 5 sentimeter dan telah merebak ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak dengan banyaknya ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak ke nodus limfa terpencil di dalam tulang selangka atau tulang dada.

Peringkat IV merujuk kepada situasi di mana kanser payudara telah merebak ke kawasan di luar kawasan dada.

Kaedah Rawatan

Rawatan bergantung kepada ciri-ciri atau kelas kanser payudara. Terdapat beberapa jenis rawatan seperti kemoterapi, pembedahan dan homoeopathy (dan lain-lain rawatan alternatif). Prognosis (ramalan) kanser payudara pada peringkat awal selalunya adalah baik, tetapi di peringkat akhir, seperti juga dengan kanser lain adalah berita yang tidak ingin kita ketahui .

Benarkah Kolesterol Punca Sakit Jantung ?

0 comments

Ini bukan jantung pisang
Saban hari kita diingatkan mengenai bahaya kolesterol, antaranya ia merupakan punca penyakit jantung. Statistik menunjukkan bahawa penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di Malaysia. Bilangan kematian akibat penyakit jantung di hospital Kerajaan pada tahun 2005 adalah 5,247 orang. 

Kita semua tahu yang kolesterol HDL adalah baik dan kolesterol LDL tidak baik. Kita juga tahu bahawa kolesterol LDL akan terkumpul di dinding arteri dan menyebabkan penyempitan pembuluh darah. Kolesterol HDL datang untuk membersihkan dinding arteri dari kolesterol LDL. Kita juga diberitahu semakin rendah nisbah antara jumlah kolesterol berbanding kolesterol HDL, semakin rendah risiko kita mendapat penyakit jantung. 

Tahukah anda bahawa kolesterol LDL sebenarnya bukan tidak baik. Kolesterol LDL dalam keadaan asal adalah baik. Badan kita memerlukannya untuk membina membran sel, bahagian sel yang lain dan berbagai-bagai hormon. Sekiranya kita tidak mendapat cukup kolesterol LDL dari makanan, badan kita sendiri akan membuat kolesterol tersebut. Yang menjadi masalah adalah kehadiran radikal bebas, yang menukar bentuk (mengoksida) kolesterol LDL dan menjadikannya tidak baik. Bekalan anti-oksidan yang cukup akan menyelesaikan masalah tersebut. Anda tidak memerlukan ubat yang mahal untuk menurunkan paras kolesterol LDL dalam tubuh anda.

Kita mungkin terkejut atau tidak percaya jika dikatakan kolesterol bukan penyebab penyakit jantung seperti yang selalu digambarkan oleh media. Mengikut kajian, penyebab sebenar penyakit jantung adalah radang pembuluh darah. Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine keluaran 23 Mac 2000, menunjukkan lebih separuh dari mereka yang mendapat serangan jantung mempunyai paras kolesterol yang normal. Penemuan ini merupakan satu revolusi dalam rawatan dan pencegahan serangan jantung. Daripada berusaha untuk menurunkan paras kolesterol anda sepatutnya mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan punca yang menyebabkan radang pembuluh darah. Cara ini boleh memberi kesan besar dalam pencegahan dan pemulihan penyakit jantung.

Kolesterol LDL bukan satu-satunya penyebab masalah radang pembuluh darah. Penyebab utama radang pembuluh darah adalah sesuatu yang dipanggil homosistein dan radikal bebas. Masalah hanya akan timbul apabila kolesterol LDL dioksida oleh radikal bebas. Tanpa radikal bebas, kolesterol LDL tidak akan bertukar menjadi tidak baik. Pernahkah anda mendengar tentang homosistein? Homosistein adalah bahan yang terhasil ketika tubuh kita menghadam makanan, sama seperti radikal bebas. Masalah akan timbul apabila jumlah homosistein yang dihasilkan adalah berlebihan. Dianggarkan lebih kurang 15% dari semua serangan jantung dan strok di seluruh dunia hari ini disebabkan oleh paras homosistein dalam darah yang tinggi. 

Pada tahun 1990, kajian oleh Profesor Dr. Stampfer dari Harvard Public Health School mendapati bahawa sedikit sahaja peningkatan dalam paras homosistein boleh menyebabkan peningkatan risiko mendapat penyakit jantung sebanyak tiga kali ganda. Dalam New England Journal of Medicine keluaran Februari 1995 pula, Dr. Jacob Selhub, Ph.D., melaporkan bahawa paras homosistein dalam darah yang tinggi akan meningkatkan risiko penyempitan dua arteri yang membekalkan darah ke otak (yang akan menyebabkan strok). Selain dari itu Dr. Selhub juga melaporkan bahawa pesakit yang mempunyai paras homosistein yang tinggi juga mempunyai paras asid folik, vitamin B12 dan vitamin B6 yang rendah dalam tubuh mereka.

Kalau dulu dipercayai bahawa punca penyakit jantung dan strok adalah kolesterol, kajian-kajian dijalankan di abad ke 21 telah membuktikan bahawa homosistein merupakan puncanya. Namun begitu kita tidak perlu bersusah hati kerana masalah tersebut dapat diatasi dengan mengambil bekalan anti-oksidan, asid folik, vitamin B12 dan vitamin B6 yang cukup.

Sunday, November 7, 2010

Insulin

0 comments

Definisi

Insulin adalah hormon yang dihasilkan oleh sel beta pankreas yang membolehkan glukosa untuk memasuki sel dan membantu tubuh menggunakan glukosa untuk tenaga. Insulin mengawal jumlah glukosa dalam darah.

Orang yang menghidap Diabetes Jenis 1 perlu menggunakan insulin yang dihasilkan dari makmal, biasanya dalam bentuk suntikan, untuk menggantikan insulin semulajadi yang tidak lagi dihasilkan oleh tubuh mereka.

Orang dengan Diabetis Jenis 2 kadang-kadang perlu juga menggunakan insulin ketika sel-sel mereka terus menolak insulin yang mereka hasilkan secara semulajadi sementara ubat yang dimakan tidak lagi berkesan .

Contoh:
Jika anda menghidap Diabetes Jenis 2  anda mungkin perlukan insulin untuk menjaga kadar gula darah anda dalam kadar yang boleh diterima.

Diabetis Jenis 1

0 comments

Memahami Diabetes Jenis 1 

Diabetes Jenis 1 ialah proses sepanjang hayat bagaimana ia mempengaruhi badan kita memproses makanan dan menukarkannya ke dalam bentuk tenaga. Bila kita makan, makanan tersebut akan hadam dan terbahagi antaranya menjadi gula ringkas yang dipanggil glukos. Glukos adalah bahan penting dalam setiap tindakan tubuh kita termasuk lah berfikir. Tetapi apabila kita menghidap diabetis Jenis 1 ini, pankreas kita akan terhenti dalam menghasilkan insulin - hormon yang membenarkan badan kita untuk mengambil glukos untuk ditukarkan menjadi tenaga. Maka, asalnya glukos dari makanan yang kita ambil untuk tenaga, berterusan beredar dalam darah.

Disebabkan glukos tidak dapat masuk ke dalam sel badan kita, malah bertambah pula dalam aliran darah, ia mengheret badan kita ke dalam krisis. Simptom yang selalunya menunjukkan kita mengalami Diabetis Jenis 1 ialah :

  • Keletihan yang melampau
  • Kencing dengan kerap
  • Selalu dahaga walaupun kerap mengambil minuman 
  • Keinginan makan yang meningkat 
  • Hilang berat badan 

Simptom Simptom Jenis  1

Adalah mudah memahami simptom ini untuk kita sedar yang badan kita sedang menginginkan glukos.  Kelaparan, hilang berat badan dan keletihan melampau adalah tanda bahawa badan kita tidak berupaya untuk menggunakan glukos untuk tenaga. Kencing yang kerap dan rasa dahaga adalah disebabkan badan kita sedang berusaha sedaya upaya untuk menyisihkan lebihan glukos dengan memaksa nya ke pundi kencing.

Diagnosis Jenis 1 

Siapa yang berisiko untuk Jenis 1 ?

Walaupun sesiapa sahaja berpotensi untuknya, kanak kanak dan remaja adalah yang lebih kerap didiagnos berada pada tahap ini. Dianggarkan lebih kurang 15,000 kanak kanak dan remaja di U.S menghidap diabetis tahap 1 setiap tahun. Kanak kanak dari golongan kulit putih non-Hispanic, Afrika Amerika, dan etnik Hispanik lebih berpotensi untuk tahap 1 manakala kanak kanak dari etnik pribumi Amerika, Asian dan Kepulauan Pasifik juga berpotensi untuk Jenis 1, tapi lebih berisiko untuk mendapat diabetis Jenis 2.

Apakah yang menyebabkan Jenis 1 ?

Diabetis Jenis 1 terjadi apabila sistem pertahanan bertindak sendiri dan memusnahkan sel sel dalam pankreas, organ yang bertanggungjawab untuk memproses insulin. Mengapa ini terjadi masih menimbulkan tanda tanya tapi terdapat 3 kemungkinan yang kuat 

  • Keturunan - Sejarah keluarga yang memang menghidapi diabetis 
  • Virus - Ada beberapa bukti bahawa virus tertentu boleh mencetuskan tindakbalas didalam sistem imunisasi tubuh yang mirip seperti misi cari dan musnahkan, menghalang pengeluaran insulin di pankreas
  • Persekitaran - Beberapa penyelidik mengesyaki bahawa pengaruh persekitaran, bila digabungkan dengan faktor genetik, boleh meningkatkan risiko diabetes Jenis 1

Walaupun penyebab yang pasti masih belum diketahui, jelasnya diabetis bukanlah disebabkan kerana memakan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Punca Penyebab Jenis  1 

Apakah perbezaan diantara Jenis 1 dan Jenis 2 ? 

Perbezaan yang ketara ialah dalam pengeluaran insulin.  Jenis 1,  pengeluaran insulin terhenti . Jenis 2 pula, pankreas masih mengeluarkan insulin tetapi tidak cukup untuk memastikan keseimbangan glukos atau mungkin juga pankreas menyediakan insulin yang cukup tetapi tubuh kurang menggunakannya (dikenali sebagai penolakan insulin), seringkali kerana berat badan yang berlebihan. Sejumlah besar mereka yang didiagnosis untuk diabetis menghidapi Jenis 2  

Adakah Penawar Untuknya ?

Buat masa ini, tidak ada ubat untuk diabetis. Cara yang terbaik untuk mengubat diabetis Jenis 1 ialah dengan melakukan transplan pankreas. Proses ini sangat berisiko dan penerima transplan pankreas ini perlu mengambil ubat berterusan sepanjang hayat untuk memastikan tubuh mereka tidak menolak organ baru tersebut. Disamping risiko yang dinyatakan, terdapat juga masalah kekurangan penderma sedia ada untuk memenuhi permintaan 

  • Perubatan Jenis 1
  • Tetap Aktif Dengan Jenis 1
  • Mengawal Kadar Gula - Tinggi Dan Rendah Dalam Darah 
  • Hidup Dengan Jenis 1

Sehingga ubat yang lebih baik dan selamat dijumpai, matlamatnya sekarang adalah untuk menguruskan diabetis dengan lebih terkawal. Kajian klinikal telah menunjukkan bahawa diabetes yang dikendalikan dengan baik dapat menunda atau bahkan mencegah banyak komplikasi kesihatan yang boleh timbul. Pengurusan yang baik adalah meliputi 

  • Perancangan pemakanan yang seimbang dan corak pemakanan yang sihat 
  • Senaman yang teratur dan jadikannya sebagai aktiviti harian 
  • Mengambil insulin dan ubatan lain sebagai mana yang disyorkan oleh pakar perubatan 
  • Menjadi ahli yang proaktif dalam perkumpulan kesihatan . 

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |