Pencapaian Lain Oleh Tamaddun Mesir Purba
Bidang Tekstil
Contoh kain linen dari peradaban mesir Purba |
Serpihan kain linen yang wujud sejak 2,500 SM menunjukkan bahawa masyarakat Mesir purba telah menghasilkan fabrik berkualiti tinggi dari segi bahan dan tenunan. Walau bagaimanapun, perkara yang paling penting adalah perincian tenunan pada kain tersebut. Masyarakat Mesir purba pada waktu itu telah menghasilkan gentian halus seperti mana hari ini yang dihasilkan dengan bantuan mesin dan teknologi maju, dan linen pada waktu itu telah digunakan untuk membungkus mumia. Tenunan halus pada fabrik-fabrik berkenaan sangat mengagumkan para ahli kaji Mesir purba.(i) Spesimen-spesimen tersebut teramat halus hinggakan seseorang memerlukan kanta untuk membezakannya daripada sutera, dan fabrik-fabriknya setanding dengan hasil kerja mesin tenun hari ini.(ii) Sehingga kini, fabrik tersebut mahsyur dek kerana kualitinya, dan linen yang dihasilkan oleh masyarakat Mesir pada hari ini terhutang budi pada tukang tenun yang hidup pada 2,000 SM dahulu.
Pencapaian Matematik Yang Lebih Unggul
The Rhind Papyrus |
Nombor telah digunakan oleh masyarakat Mesir purba sejak dari awal lagi. Banyak papirus dari tahun 2,000 SM yang menerangkan masalah matematik telah ditemui. Empat daripadanya yang sering menjadi rujukan dikenali sebagai serpihan Kahun, dan papirus Berlin, Moscow dan Rhind. Dokumen-dokumen berkenaan menyatakan beserta contoh tentang asas-asas pengiraan. Mereka tahu bahawa segitiga dengan sisi berukuran 3:4:5 adalah segitiga tepat, dan menggunakan pengetahuan ini (kini dikenali sebagai Teorem Pitagoras) dalam pengiraan pembinaan mereka.(iii)
Tambahan pula, mereka tahu perbezaan antara planet dengan bintang. Mereka memasukkan beberapa bintang yang sukar dilihat dengan mata kasar ke dalam senarai kajian astronomi mereka.
Dek kerana hidup mereka bergantung kepada Sungai Nil, mereka perlu memeriksa parasnya semasa banjir tahunan berlaku. Meraka mencipta 'Nilometer' untuk mengukur aras ketinggian air sungai, serta melantik beberapa pegawai untuk tugas itu.(iv)
Teknologi Pembinaan Yang Penuh Misteri
Struktur paling penting yang telah dibina oleh masyarakat Mesir purba, yang mana ramai pelawat masih terpegun hari ini, adalah piramid. Piramid Giza adalah yang paling istimewa dan dianggap sebagai binaan batu yang paling besar di dunia sehingga ke hari ini. Sejak zaman Herodotus, ramai ahli sejarah dan arkeologi telah mengemukakan pelbagai teori tentang pembinaan piramid. Sebahagian berpendapat bahawa hamba abdi telah digunakan dalam pembinaannya dan mengandaikan beberapa teknik berbeza, daripada teknik tanjakan sehingga kepada piramid berteres. Gambaran lengkap yang wujud hasil daripada teknik andaian ini adalah seperti berikut:
Piramid dibina oleh hamba abdi, dengan jumlah mereka yang amat ramai, dalam lingkungan 240,000 orang.
Tanjakan digunakan dalam pembinaan piramid, kemudian mengambil masa lebih kurang lapan tahun untuk meleraikan tanjakan tersebut selepas pembinaannya.
Menurut seorang jurutera sivil Denmark, Garde-Hanson, teori tersebut adalah karut, ini kerana apabila tanjakan telah dileraikan, saki-baki blok batuan gergasi akan ditinggalkan. Tetapi tiada bukti dapat dilihat di mana-mana.(v)
Sambil menyatakan bahawa Garde-Hanson telah mengambil kira pelbagai aspek yang telah diabaikan oleh ahli teori yang lain, Moustafa Gadalla dalam bukunya yang berjudul Historical Deception: The Untold Story of Ancient Egypt telah berkata:
Cuba bayangkan statistik yang menghairankan sewaktu melawat piramid: 4,000 pekerja kuari menghasilkan 330 blok batuan setiap hari tanpa henti. Setiap hari pada musim banjir, 4,000 blok dibawa ke Sungai Nil, dibawa menyeberang, diheret di atas tanjakan ke dataran Giza, dan diletakkan di bahagian teras - 6.67 blok setiap minit! Bayangkan 6.67 blok dalam setiap 60 saat!(vi)
Tambahan pula, harus diingat bahawa kawasan permukaan setiap piramid adalah lebih kurang 5.5 ekar. Maka 115,000 batu lapisan diperlukan untuk setiap permukaan. Batuan ini telah diletakkan dengan cermat di tempat sepatutnya yang mana ruang di antara mereka terlalu kecil untuk memuatkan walaupun sekeping kertas.(vii)
Ini hanyalah sebahagian sanggahan yang membuktikan bahawa misteri pembinaan piramid belum dapat diselesaikan oleh sains dan technologi abad ke-21.
Nota :
(i). Ibid.
(ii). James Henry Breasted, Ancient Times or A History of the Early World, 1916, p. 64.
(iii). Moustafa Gadalla, Egyptian Harmony: The Visual Music, NC: Tehuti Research Foundation, 2000, p. 64.
(iv). http://www.waterhistory.org/histories/cairo/
(v). Gadalla, Historical Deception, p. 115
(vi). Ibid.,
(vii). Ibid.
0 comments: