TIROID adalah satu kelenjar yang terletak di bahagian hadapan leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan. Penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir kesemua bahagian-bahagian badan dan juga merbahaya untuk kesihatan.
Penyakit tiroid lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Penyakit ini juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Rawatan untuk penyakit ini bagaimanapun selamat serta mudah.
* Kelenjar Tiroid
Secara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua, seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan juga triiodotiroksin (T3). Hormon-hormon ini mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi-fungsi badan yang dipanggil metabolisma.
Meningkatnya hormon-hormon ini bermakna metabolisma badan meningkat dan begitulah sebaliknya akan berlaku jika hormon terbabit dikurangkan. Dengan metabolisma yang tinggi, anda mungkin berasa panas dan begitulah sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan anda berjalan pada kadar yang selamat dan berkesan.
Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid. Apabila hormon tiroid banyak, penyakit hipertiroidisma berlaku dan sekiranya hormonnya sedikit, penyakit hipotiroidisma pula berlaku. Penyakit kencing manis juga boleh menganggu pengeluaran hormon tiroid.
* Diagnosis Penyakit Tiroid
Terdapat ujian, pemeriksaan dan juga rungutan tertentu yang boleh digunakan untuk diagnosis penyakit tiroid. Anda juga mungkin akan menghidap penyakit-penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.
Leher perlu diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan menelan. Jika dipegang, boleh dirasai bentuk kelenjar dan juga pergerakannya dengan menelan. Kulit dan mata juga boleh diperiksa di samping suhu badan serta berat badan boleh diamati untuk memastikan masalah kelenjar tiroid.
* Penyakit Hipotiroidisma
Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid anda tidak berfungsi secara optimum sehinggakan hormon-hormon tidak dikeluarkan secukupnya. Ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisma. Lazimnya, penyakit hipotiroidisma ini disebabkan oleh keradangan pada kelenjar tersebut, dipanggil tiroiditis.
Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto. Penyakit autoimun ini merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid. Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid berkerja dengan lebih kuat. Akibatnya, kelenjar tersebut membesar dan dipanggil sebagai goiter. Lama kelamaan, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.
Cara pemakanan yang tidak betul juga boleh menyebabkan hipotiroidisma (rujuk pada intisari makanan yang mempunyai kandungan iodin).
Simptom hipotiroid dengan perlahan-lahan akan dirungutkan dan sebab itu juga anda mungkin tidak mempunyai rungutan berbulan-bulan dan juga mungkin bertahun-tahun lamanya walaupun menghidap penyakit hipotiroidisma.
Ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan yang anda sememangnya menghidapi hipotiroidisma. Sekiranya paras hormon adalah normal, mungkin anda mempunyai penyakit-penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan. Hormon tiroid akan diberikan kepada anda supaya paras hormon tiroid badan kembali normal dan terdapat kemungkinan anda terpaksa mengambil hormon ini selama-lamanya.
Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala dan ujian darah mungkin dilakukan.
* Hipertiroidisma
Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid anda mengeluarkan hormon secara berlebihan. Ini menyebabkan metabolisma badan meningkat. Penyakit ini lazimnya berlaku pada wanita sekitar umur 20 hingga 40 tahun.
Penyakit Grave adalah penyebab utama peningkatan aktiviti kelenjar ini. Biasanya mata mereka yang menghidapi penyakit ini akan kelihatan seperti mata ikan emas! Selain itu, ubat yang diambil untuk penyakit hipotiroid juga mungkin menyebabkan hipertiroid, jadi pengawasan doktor amatlah penting.
Penyakit hipertiroid ini boleh juga menyebabkan ‘ribut tiroid’ terutamanya apabila anda mengalami masalah kesihatan lain yang akut. Ribut tiroid ini menyebabkan anda mendapat demam, peningkatan degupan jantung, dan juga perubahan fungsi otak seperti kekusutan pemikiran, sawan, cemas keterlaluan dan mungkin juga menyebabkan koma.
Rawatan yang diberikan akan mengurangkan pengeluaran hormon tiroid. Ubat untuk mengurangkan degupan jantung juga mungkin perlu diberikan. Sekiranya rawatan yang diberikan gagal, mungkin rawatan menggunakan iodin beradioaktif diberikan dengan niat untuk memusnahkan sebahagian kelenjar tiroid anda. Pembedahan juga salah satu daripada kaedah rawatan yang boleh membantu.
Sekiranya anda mendapati adanya bengkak kecil iaitu nodular pada kelenjar tiroid, pemeriksaan perlu dilakukan untuk mengetahui sama ada ianya kanser ataupun masalah nodular biasa.
Pemeriksaan ultrasound dan juga biopsi ataupun aspirasi menggunakan jarum perlu dilakukan. Rawatan lanjut akan dibincangkan doktor dengan anda semasa lawatan kesihatan susulan.
* Penyakit Tiroid Semasa Mengandung
Penyakit tiroid memberikan risiko pada anda dan juga kandungan. Sebab itulah pentingnya anda menjalani pemeriksaan kesihatan semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung. Dengan rawatan, anda boleh mengandung secara normal dan selamat. Rawatan anda juga mungkin diubah dos ubatnya secara berkala di samping ujian darah dan juga ujian-ujian lain yang difikirkan perlu.
Rawatan iodin beradioaktif tidak akan diberikan pada pesakit-pesakit semasa mengandung. Ada juga sesetengah ibu mengalami masalah tiroid selepas bersalin. Ini dipanggil sebagai postpartum tiroiditis. Lazimnya paras hormon tiroid ibu terbabit kembali ke paras normal dengan pantas. Namun, ada segelintir daripada ibu terbabit yang mungkin akan mengalami hipotiroidisma pada masa hadapan.
Perlu ditegaskan di sini bahawa ujian pengesanan ataupun ujian darah hormon-hormon tiroid bukan merupakan pemeriksaan rutin semasa pemeriksaan antenatal.
0 comments: