Saturday, November 20, 2010

Bahagian Dan Martabat Hadith


Berbeza dengan Al Quran yang bersifat mutawatir dan qath'ie, Hadith (kecuali Hadith Mutawatir) hanyalah bersifat dzanni belaka. Ia berbeza beza dari segi martabat dan tidak sama cara penerimaan dan pengamalannya. Ada yang wajib diterima dan diamalkan manakala sebaliknya ada pula hadith yang wajib DITOLAK dan TIDAK HALAL digunakan dalam semua perkara.

Untuk menerima dan menolak sebuah hadith hendaklah dilihat pada sanadnya (jalan hadith) dan pada matannya (kandungan hadith). Jika sanad dan matannya sahih, maka ianya diterima dan diamalkan, tetapi jika sanadnya tidak sahih, atau matannya tidak sahih, atau kedua duanya sekali tidak sahih maka hadith itu tertolak dan tidak boleh diamalkan. 

Berdasarkan kuantiti sanadnya, maka sekalian hadith itu dibahagikan kepada 2 kategori iaitu 
  1. Hadith Mutawatir 
  2. Hadith Aahad. 
Hadith Aahad itu pula terbahagi kepada 3 iaitu
  • Masyhur/Mustafidh
  • 'Aziz
  • Gharib
Dan selanjutnya ketiga tiga jenis Hadith Aaahad ini iaitu Masyhur,'Aziz dan Gharib dibahagikan kepada Sahih, Hasan dan Dha'if dengan melihat kepada kualitinya dengan syarat syarat yang ditentukan.

Hadith Masyhur / Mustafidh


Iaitu hadith yang diriwayatkan dari tiga sanad yang berlainan orang atau hadith yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih kepada tiga orang atau lebih dan begitulah seterusnya hingga dapat sekurang-kurangnya tiga sanad yang berlainan.

Contohnya ialah:

"Orang-orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam dari (bahaya) lidahnya dan tangannya."

Hadis ini diriwayatkan oleh tiga orang Imam hadith dari sanad yang berlainan. Pertama: Imam Bukhari. Kedua: Imam Muslim. Ketiga: Imam Tirmizi.

Sanad Imam Bukhari: ialah Bukhari dari Adam dari Syu'bah dari 'Abdullah B. Abu Safar, dari Al-Sya'bi, dari 'Abdullah Bin 'Amru dari Nabi Sallallahu 'alayhi wa sallam.

Sanad Imam Muslim: ialah Imam Muslim dari Sa'id, dan Yahya, dari Abu Burdah dari Abu Burdah, dari Abu Musa dari Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam.

Sanad Imam Tirmizi: ialah Tirmizi dari Qatadah, dari Al-Laith dari Al-Qa'qa', dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah dari Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam.

Cubalah perhatikan ketiga-tiga sanad tersebut. Di antaranya tidak seorangpun yang sama nama dan orangnya. Abu Burdah dalam sanad Imam Muslim ada dua tetapi orangnya berlainan. Abu Burdah yang pertama itu cucu dari Abu Burdah yang kedua, jadi dengan demikian tidaklah sama.

Hadith Dha'if


Hadith hadith Dha'if itu banyak pula kategorinya, diantaranya ialah Hadith Mursal, Hadith Munqathi', Hadith Mudallas, Hadith Mu'allaq, Hadith Mungkar, Hadith Matruk dan Hadith Maudhu'. Seburuk buruk dan sejelek jelek martabat hadith ialah Hadith Maudhu', Hadith Matruk dan Hadith Mungkar.

Hadith hadith yang wajib diterima dan diamalkan hanyalah Hadith Mutawatir, Hadith Sahih dan Hadith Hasan.

Jumhur ulama' hadith menolak semua Hadith Dha'if walaupun tidak seberapa dha'ifnya kerana Hadith Sahih dan Hadith Hasan lebih dari mencukupi dan dikhuatiri akan terjerumus ke dalam jurang berbohong atas Nabi SAW. Akan tetapi sebahagian kecil ulama' membolehkan penggunaan Hadth Dha'if yang tidak seberapa dha'ifnya untuk menyatakan Targhib dan Tarhib dan menyatakan fadhilat fadhilat amal dengan syarat antara lain jangan diyakini bahawa ianya adalah sabda Rasululllah SAW. dan dinyatakan pula kedha'ifannya. 

Adapun yang dimaksudkan dengan kata kata "Hadith Dha'if itu lebih baik dari Qias" seperti yang diucapkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal dan Imam Abu Daud, adalah merujuk kepada Hadith Hadith Hasan mengikut istilah ulama mutaakhirin, kerana ulama ' mutaqaddimin (sebelum At Tirmizi) membahagikan Hadith Hadith kepada 2 kategori sahaja iaitu Sahih dan Dha'if (ketika itu Hadith Hasan ada sebahagian dari Hadith Dha'if).

* Sumber : Drs Abdul Ghani Azmi Bin Haji Idris (Bab Pengertian Hadith Dan Sunnah) & Buku Mustalah Hadith serta pelbagai sumber lain.

0 comments:

Comment here

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |