Sunday, November 21, 2010

Pengertian Hadith Dha'if


Apabila sesebuah hadith itu tidak dapat memenuhi syarat syarat yang ditetapkan sebagaimana Hadith Sahih dan Hadith Hasan, ia dinamakan Hadith Dha'if. Ianya mempunyai martabat yang berlainan; ada yang terlampau lemah, dan ada yang lemah, menurut keadaan sanad dan matannya ataupun sedikit syarat syarat yang tidak dapat dipenuhi.

Sebab sebab yang menjadikan sesuatu hadith itu sebagai Hadith Dhaif adalah seperti yang berikut :

  • Perawi-perawinya dusta
  • Perawinya tertuduh dusta
  • Perawinya banyak keliru dalam hafalan dan catatannya
  • Perawinya banyak lengah dalam hafalannya
  • Perawinya curang yang membawa kepada fasiq, samada melalui perkataan mahupun perbuatan
  • Perawinya banyak waham dalam hafalannya
  • Perawinya menyalahi riwayat perawi perawi yang terpercaya
  • Perawinya orang yang tidak dikenali (majhul)
  • Perawinya melakukan bid'ah
  • Perawinya kurang baik hafalannya
  • Perawinya bukan orang Islam
  • Perawinya belum 'aqil baligh
Dan lain lain perkara lagi yang dinyatakan secara terperinci dalam ilmu Mustalah Hadith.

Misal Hadith Dha'if ialah:

"Barangsiapa berkata kepada orang miskin, bergembiralah engkau! Maka sesungguhnya wajiblah (tetaplah) syurga baginya." (Riwayat Ibn 'Adi)

Dalam riwayat hadith ini, ada seorang bernama 'Abdul Malik bin Harun yang dituduh pendusta. Kerana ini hadith tersebut dipandang dha'if.

"Menuntut ilmu adalah fardu atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan wanita." (Riwayat al-Baihaqi Ahmad dari Anas)

Imam al-Baihaqi berkata: Hadith ini masyhur di antara manusia tetapi sanadnya lemah dan telah diriwayatkan menerusi jalan yang banyak yang kesemuanya lemah belaka.

Sementara itu Imam Nawawi telah pula berkata: Hadith itu dha'if (lemah) sekalipun maknanya sahih (betul) dan telah diriwayatkan oleh Abu Ya'la al-Musalla dalam Masnadnya dengan sanadnya sekali dari Anas dan Nabi SAW. Dalam sanadnya itu terdapat seorang bernama Hafsin bin Sulayman, ia orang yang lemah.

"Makhluk itu keluarga Allah, dan mereka yang lebih kasih kepada Allah ialah mereka yang lebih bermanfa'at kepada keluarganya."

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Ya'la al-Musalla dari riwayat Yusuf bin 'Atiyyah dari Thabit dari Anas dari Nabi SAW. Yusuf bin 'Atiyyah adalah orang yang lemah, kerana ini hadithnya adalah hadith yang lemah.

Hukum meriwayatkan Hadith Dha'if dan mengamalkannya

Sebahagian Ulama' membolehkan kita meriwayatkan hadith dha'if dengan tidak menerangkan kedha'ifannya dalam perkara yg berhubungan dengan kisah atau cerita, pengajaran atau nasihat dan yg bertalian dengan keutamaan ‘amal (Fadail al-‘amal) itu sahaja, dan tidak dalam perkara yg berhubungan dengan i'tiqad dan dengan hukum halal, haram, makhruh, sunat. Demikian menurut pendapat sebahagian Ulama'.

Seterusnya mereka sepakat menetapkan bahawa tidak boleh sama sekali kita mengamalkan hadith dha'if untuk menetapkan sesuatu hukum halal, haram, hukum jual-beli, hukum perkahwinan, talaq dan lain-lain.

Imam Bukhari, Muslim dan Abu Bakar Ibn al-'Arabi menetapkan bahawa tidak boleh kita mempergunakan hadith dha'if untuk segenap pekerjaan, untuk segala keperluan walaupun untuk menerangkan keutamaan sesuatu ‘amal, supaya tidak ada orang yg mengatakan kepada Rasulullah SAW perkataan yg tidak baginda katakan, dan supaya tidak ada orang yg meng'itiqadkan sunat sesuatu perkara yg tidak disunatkan.

Sementara itu Imam Nawawi berkata: "Bahawa Ulama' hadith, fiqh dan lain-lain telah menetapkan bahawa boleh kita mempergunakan hadith dha'if untuk ‘amal-'amal utama (Fadail ‘amal) dan untuk pengajaran menggemarkan dan menakutkan, selama hadith itu belum sampai ke darjat maudhu' (palsu).

Hadith Dha'if Yang Sangat Jelek

Sebagaimana yang telah diterangkan didalam bab Bahagian & Martabat Hadith, Hadith Dha'if itu terbahagi kepada beberapa jenis namun yang paling buruk dalam kategori ini adalah Hadith Maudhu' kerana ia diriwayatkan oleh pembohong pembohong dan hadith yang diriwayatkan adalah hadith palsu atau diada adakan. Sementara Hadith Matruk ialah hadith yang hanya diriwayatkan oleh perawi yang tertuduh dusta dan Hadith Mungkar ialah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang banyak keliru dalam hafalannya ataupun catatannya ataupun kerana kefasiqannya dan sebagainya. 

* Sumber : Pelbagai

0 comments:

Comment here

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |