Sesungguhnya persoalan anak anak dan kaitannya dengan isu pendidikan adalah antara perkara yang amat relevan disepanjang zaman, apatahlagi dalam konteks keadaan semasa kini yang penuh dengan jerebu sosial dan akhlak. Penegasan tentang betapa perlunya aqidah menjadi asas dan dasar utama dalam pendidikan dan pembentukan anak anak perlu diketengahkan dan diperbincangkan dari masa ke semasa. Islam sebagai Ad Deen yang bersifat komprehensif atau syumul sememangnya meletakkan asas asas yang kukuh dalam hal pendidikan anak anak. Persoalan tarbiyyah `aqidiyyah dilihat sebagai matlamat terpenting dalam menjaga dan membina zuriat keturunan bahkan dalam konteks pembinaan generasi ummah secara keseluruhan. Justeru, pemantapan aqidah adalah perkara yang paling utama dan dasar terpenting dalam isu pembinaan dan pembangunan manusia. Dengan memiliki aqidah yang mantap dan kukuh, maka akan lahirlah peribadi yang mulia, sesuai dengan matlamat ajaran Islam yang sentiasa menyeru kearah menjadi insan yang benar benar bertaqwa. Oleh itu, kekuatan aqidah mestilah diserap dan diresap dengan cara yang sebaik mungkin dalam suasana mendidik generasi anak anak yang bertaqwa dan seterusnya diredhai Allah SWT.
Pandangan Islam Tentang Anak
Menurut Islam, anak dilahirkan dalam keadaan suci dan fitrah. Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadith riwayat Abu Hurairah yang bermaksud "Setiap anak yang lahir itu, ianya dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibubapanya akan mencorakkan anak tersebut menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi" (Hadith Riwayat Bukhari). Perkataan fitrah di dalam hadith tersebut menurut para ulama ialah merujuk kepada Islam, berada dalam kesucian iman dan bersih dari segala noda dan dosa.
Anak juga dilihat sebagai saham dan pusaka yang abadi bagi pasangan ibu bapa. Saham tersebut akan berterusan dalam kebaikan jika anak yang ditinggalkan itu adalah anak yang soleh. Rasullulah pernah bersabda yang bermaksud "Apabila anak Adam meninggal dunia, akan terputuslah darinya semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu, sedekah jariah yang dilakukannya (amal kebaikan), ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa untuknya" (Hadith Riwayat Muslim)
Islam juga menuntut supaya anak anak dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin, melalui pengisian ilmu, iman dan amal. Bahkan para ibubapa diberikan amaran oleh Allah SWT tentang isu penjagaan dan pendidikan anak anak. Firman Allah SWT yang bermaksud "Wahai orang orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamudari bakaran api neraka dimana bahan bakarannya nanti ialah manusia dan batu bata" (Surah At Tahrim:6)
Justeru, anak mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia disisi Islam. Anak adalah rezeki yang bersifat amanah yang dibebankan diatas ibu bapa. Amanah tersebut mesti dipikul demi untuk tujuan penerusan zuriat keturunan yang benar benar diredhai Allah SWT.
Sesungguhnya usaha mendidik dan membina generasi anak anak adalah satu amanah yang besar dan tugas yang berat tetapi ianya perlu dianggap sebagai satu keutamaan dalam konteks pembangunan ummah. Penerapan aqidah adalah asas dan dasar paling utama dalam membangunkan generasi anak anak yang bertaqwa dan memiliki keperibadian yang cemerlang. Proses penerapan aqidah sewajarnya berlaku secara menyeluruh samada dari ibubapa sendiri sehinggalah kepada kepimpinan masyarakat. Kegagalan membina generasi anak anak yang beriman akan menyebabkan berlaku keruntuhan peradaban Islam dan umat Islam sejagat. Hakikatnya, para ibubapa dan semua pihak adalah memikul amanah tersebut, dan amanah itu perlulah dilaksanakan dengan sewajarnya. Kebangkitan generasi rabbani hanya akan terealisasi melalui cetusan dari manhaj yang telah digariskan oleh Allah SWT .
0 comments: