Sunday, November 21, 2010

Pengertian Hadith Mudallas

1 comments

Pengertian Dari Segi Bahasa :
  • Kata nama ganti bagi kata dasar tadlis iaitu menyembunyikan kecacatan barang daripada pembeli.
  • Kata akar tadlis ialah al-dalas iaitu kegelapan atau percampuran dengan kegelapan sebagaimana yang disebutkan oleh kitab al-Qamus al-Muhit.
  • Seolah-olah perawi mudallis menyembunyikan kepada orang yang mahu mengetahui sesebuah hadith bermakna dia telah mengelapkan perkara itu dan jadilah hadith itu mudallas (digelapkan).
Dari Segi Istilah :
  • Menyembunyikan keaiban di dalam sanad
  • Memperelokkan zahirnya
Pembahagian Tadlis
  1. Tadlis al-Isnad
  2. Tadlis al-Syuyukh
Tadlis al-Isnad

Pandangan penulis yang paling sahih dan halus ialah takrif Imam Abu Ahmad bin Amar al-Bazzar dan Abu al-Hassan bin al-Qattan. Takrif tersebut ialah :

“Seorang perawi meriwayatkan hadith-hadith yang tidak pernah didengari daripada perawi yang dia ada mendengar daripadanya tanpa menyebut dengan jelas bahawa dia mendengar daripadanya”

Huraian takrif
  • Tadlis al-Isnad ialah seorang perawi yang telah meriwayatkan beberapa hadith daripada seorang perawi yang dia pernah mendengar daripadanya tetapi hadith yang ditadliskannya itu dia tidak mendengar secara langsung daripada perawi tersebut.
  • Sebenarnya dia meriwayatkannya daripada perawi yang lain daripada yang pertama tadi.
  • Bermaksud, dia telah menggugurkan perawi tersebut lalu meriwayatkan dengan lafaz yang diandaikan dia mendengar sendiri seperti ‘dia telah berkata’ atau ‘daripada’.
  • Bagaimanapun dia tidak menyatakan dengan jelas bahawa dia mendengar hadith itu daripada perawi tersebut.
  • Dengan sebab itu dia tidak berkata, ‘saya mendengar’, ‘telah menceritakan kepada saya’ ,supaya dia tidak menjadi seorang pendusta besar dengan sebab perbuatan itu.
  • Kadang-kadang perawi yang digugurkannya itu lebih daripada seorang.
Perbezaan dengan Hadith al-Irsal al-Khafiy

Al-Irsal al-Khafiy
  • Meriwayatkan daripada perawi hadith yang tidak pernah didengari daripada perawi itu dengan lafaz yang memberi kemungkinan dia mendengar.
  • Perawinya adalah daripada orang yang dia tidak pernah mendengar hadith daripadanya.
  • Ada mendengar juga beberapa hadith lain selain daripada hadis yang ditadliskannya.
  • Langsung tidak pernah mendengar hadith daripada ulama tersebut, baik hadith yang dimursalkannya atau hadith-hadith lain. Cumanya dia hanya hidup sezaman atau pernah bertemu sahaja.
Tadlis Al-Syuyukh

Seorang perawi meriwayatkan satu hadith yang didengarinya daripada ulama' lalu dia menamakannya, memberikan kunyah, menisbahkannya atau menyifatkannya dengan sesuatu yang ulama' itu tidak dikenali dengannya supaya tidak dikenali.

Contohnya :
Abu Bakar bin Mujahid, merupakan salah seorang imam qiraat berkata : Abdullah bin Abi Abdullah menceritakan kepada saya yang mana maksudnya ialah Abu Bakar bin Abu Daud al-Sajistani.

Hukum Tadlis

Hukum Tadlis al-Isnad adalah sangat makruh dan dicela oleh kebanyakan ulama’.Syu’bah adalah seorang ulama’ yang keras mencela tadlis sehingga ada beberapa celaan daripada beliau.Antaranya ialah,tadlis adalah saudara berdusta, katanya.

Manakala hukum Tadlis Taswiyah lebih makruh lagi sehingga al-Iraqi berkata : "Ia mencacatkan orang yang sengaja melakukannya".

Hukum Tadlis al-Syuyukh pula ialah lebih ringan hukum makruhnya daripada tadlis al-Isnad kerana mudallis tidak menggugurkan sesiapa. Ia dihukumkan makruh kerana mengabaikan perawi yang diriwayatkan daripadanya dan menyukarkan pendengar untuk mengetahuinya. Oleh itu dapat dikatakan bahawa keadaan makruh berbeza mengikut tujuan tadlis tersebut

Sebab-sebab yang Menyebabkan tadlis al-Syuyukh :
  • Perawi itu seorang yang dha'if atau tidak thiqah
  • Perawi itu telah lanjut usianya sehingga sekumpulan perawi yang lain juga mendengar hadith daripadanya selain dari perawi yang melakukan tadlis.
  • Perawi itu muda sehingga muridnya itu lebih tua daripadanya.
  • Terlalu banyak periwayatan daripada beliau. Oleh itu, perawi yang melakukan tadlis ini tidak mahu menyebutkan nama gurunya ini dengan satu cara.
Tiga Sebab Mengapa Tercelanya Perawi Tadlis
  • Dia telah mewahamkan bahawa dia mendengar hadis daripada perawi yang tidak didengarinya.
  • Dia meninggalkan cara periwayatan yang nyata dan menggunakan cara yang menimbulkan pelbagai kemungkinan.
  • Dia menyedari sekiranya dia menyebutkan perawi yang ditadliskannya tentu dia tidak akan disenangi.
Hukum Periwayatan Perawi Hadith

Ulama’ berbeza pendapat tentang penerimaan riwayat perawi tadlis. Dua pendapat yang masyhur ialah
1.Riwayatnya ditolak sama sekali walaupun dia menyatakan bahawa dia mendengar kerana tadlis itu sendiri merupakan tarjih. Pendapat ini dipegang oleh ulama’
2. Pendapat yang sahih mengemukakan perincian itu :
  • Jika dia menyatakan “ saya mendengar ” maka riwayatnya diterima iaitu beliau mengatakan saya mendengar atau sebagainya maka hadithnya diterima.
  • Jika dia tidak menjelaskan bahawa dia mendengar maka riwayatnya tidak diterima kerana jika dia mengatakan “ daripada ” dan sebagainya maka hadithnya tidak diterima.
Bagaiamanakah Tadlis Dapat Dikenalpasti?

Tadlis dapat dikesan melalui dua perkara :
  • Pengakuan perawi mudallis sendiri apabila ditanya sebagaimana yang berlaku kepada Ibn ‘Uyainah.
  • Keterangan oleh mana-mana imam dalam bidang ini berdasarkan kepada pengetahuannya yang diperolehi melaui kajian dan penyelidikan.
Kitab-kitab yang Terkenal Tentang Tadlis dan Perawi-perawi Mudallis

Antara kitab –kitab yang paling masyhur ialah :
  1. Tiga buah kitab yang ditulis oleh al-Khatib al-Baghdadi, satu kitab tentang senarai mudallis iaitu al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin dan dua buah lagi tentang bentuk-bentuk tadlis.
  2. Al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin oleh Burhan al-Din bin al-Halabi
  3. Ta’rif Ahl al-Taqdis Bi Maratib al-Mausufin bi al-Tadlis oleh Hafiz Ibn Hajar.
* Sumber dari Buku Mustalah Hadith

Pengertian Hadith Munqathi'

0 comments

Maksud Dari Segi Bahasa :

Ia adalah kata nama pelaku atau isim fa’il bagi kata kerja inqata’a yang membawa maksud terputus.

Maksud Dari Segi Istilah :

Ia adalah hadis yang sanadnya tidak bersambung dari mana sudut sekalipun.

Contohnya :

Setiap sanad yang terputus di mana-mana tempat sanad sama ada di awal sanad atau di akhir sanad atau pertengahan sanad. Dengan itu, ia termasuk dalam ta’rif hadith mursal, hadith mua’llaq dan hadis mu’dal. bagaimanapun, ulama’ mustalah hadith mutaakhirin mengkhususkan munqathi’ dengan hadis yang tidak mempunyai bentuk hadith mursal, mua’llaq atau mu’dal. Begitu juga kebiasaan penggunaan ulama’ mutaqaddimin. Oleh sebab itu, Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa : Munqathi’ itu lebih banyak digunakan untuk riwayat perawi yang berada pada tingkatan selepas tabi’in daripada sahabat seperti Malik daripada Umar.

Munqathi’ mengikut ulama’ hadis mutaakhir

Munqati’ mengikut ulama’ hadith mutaakhir adalah hadith yang tidak bersambung sanadnya yang tidak termasuk di dalam nama mursal, mua’llaq atau mu’dal. Hal ini menunjukkan seolah-olah munqathi’ lebih umum bagi setiap sanad yang terputus selain dari tiga bentuk iaitu gugur di awal sanad’gugur di akhir sanad atau gugur dua perawi berturut-turut di mana-mana tempat. Inilah yang dipilih oleh Hafiz Ibn Hajar di dalam al-Nukhbah dan syaratnya al-Nuzhah. Kadang-kadang sanad terputus di satu bahagian pada sanad dan kadang-kadang ia berlaku pada lebih daripada satu bahagian seperti dua atau tiga bahagian.

Contoh hadith munqathi’ yang diriwayatkan oleh Abd al-Razzaq : “Abd al-Razzaq telah menceritakan kepada kami katanya ats-Tsauri telah menyebutkan daripada Abu Ishak daripada Zaid bin Yuthai’ daripada Huzaifah secara marfu’ : Jika kamu melantik Abu Bakar akan jawatan itu maka beliau adalah seorang yang kuat dan amanah.”

Di pertengahan sanad ini, seorang perawi telah gugur iaitu Syarik antara al-Tsauri dan Abu Ishaq kerana ats-Tsauri tidak pernah mendengar hadith daripada Abu Ishaq secara langsung.Sebenarnya beliau mendengar daripada Syarik dan Syarik mendengar daripada Abu Ishaq.

Hukumnya :

Munqathi’ adalah dha’if dengan persepakatan ulama’ kerana tidak mengetahui kedudukan perawi yang gugur.

* Sumber dari Buku Mustalah Hadith

Pengertian Hadith Mursal

0 comments

Dari Segi Bahasa :

Mursal adalah kata nama perlakuan daripada perkataan irsal iaitu melepaskan.Ia seolah-olah perawi hadith mursal melepaskan sanad tanpa menyambungkannya.Al-Khafi (yang tersembunyi) pula lawan kepada al-Jali (yang terang) kerana bentuk Irsal ini tidak jelas dan hanya diketahui melalui kajian.

Dari Segi Istilah :

Hadis yang diriwayatkan daripada perawi yang ditemuinya atau sezaman dengannya dengan menggunakan lafaz seolah-olah ia mendengar daripadanya seperti ‘telah berkata’.

Contohnya :

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah melalui Tariq Umar bin Abd al-Azizi daripada ‘Uqbah Ibn ‘Amir bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Semoga Allah merahmati ketua sekalian pengawal.”

Umar tidak pernah pernah bertemu dengan ‘Uqbah sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Mizzi di dalam kitabnya,al-Atraf.

Cara mengenal Mursal Khafi

Mursal Khafi dapat dikenali melalui salah satu daripada tiga perkara yang tertera :

  1. Kenyataan oleh sebahagian imam bahawa perawi ini tidak bertemu dengan orang yang dia meriwayatkan daripadanya atau orang yang tidak pernah mendengar sama sekali.
  2. Perawi memberitahu bahawa dia tidak pernah bertemu dengan perawi yang dia meriwayatkan daripadanya atau tidak pernah mendengar daripadanya satu hadis pun.
  3. Hadis itu datang melalui jalan lain yang mempunyai tambahan perawi di antara perawi tersebut dan orang yang meriwayatkan daripadanya.Cara yang ketiga ini terdapat perbezaan dalam kalangan ulama’ kerana kadang-kadang ia termasuk dalam al-Mazid Fi Muttasil al-Asanid.

Hukumnya

Ia adalah hadis dha’if kerana ia salah satu bentuk munqathi’.Apabila jelas terbukti terputusnya sanad itu maka hukumnya adalah munqathi’.

* Sumber dari buku Mustalah Hadith

Saturday, November 20, 2010

Bahagian Dan Martabat Hadith

0 comments

Berbeza dengan Al Quran yang bersifat mutawatir dan qath'ie, Hadith (kecuali Hadith Mutawatir) hanyalah bersifat dzanni belaka. Ia berbeza beza dari segi martabat dan tidak sama cara penerimaan dan pengamalannya. Ada yang wajib diterima dan diamalkan manakala sebaliknya ada pula hadith yang wajib DITOLAK dan TIDAK HALAL digunakan dalam semua perkara.

Untuk menerima dan menolak sebuah hadith hendaklah dilihat pada sanadnya (jalan hadith) dan pada matannya (kandungan hadith). Jika sanad dan matannya sahih, maka ianya diterima dan diamalkan, tetapi jika sanadnya tidak sahih, atau matannya tidak sahih, atau kedua duanya sekali tidak sahih maka hadith itu tertolak dan tidak boleh diamalkan. 

Berdasarkan kuantiti sanadnya, maka sekalian hadith itu dibahagikan kepada 2 kategori iaitu 
  1. Hadith Mutawatir 
  2. Hadith Aahad. 
Hadith Aahad itu pula terbahagi kepada 3 iaitu
  • Masyhur/Mustafidh
  • 'Aziz
  • Gharib
Dan selanjutnya ketiga tiga jenis Hadith Aaahad ini iaitu Masyhur,'Aziz dan Gharib dibahagikan kepada Sahih, Hasan dan Dha'if dengan melihat kepada kualitinya dengan syarat syarat yang ditentukan.

Hadith Masyhur / Mustafidh


Iaitu hadith yang diriwayatkan dari tiga sanad yang berlainan orang atau hadith yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih kepada tiga orang atau lebih dan begitulah seterusnya hingga dapat sekurang-kurangnya tiga sanad yang berlainan.

Contohnya ialah:

"Orang-orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam dari (bahaya) lidahnya dan tangannya."

Hadis ini diriwayatkan oleh tiga orang Imam hadith dari sanad yang berlainan. Pertama: Imam Bukhari. Kedua: Imam Muslim. Ketiga: Imam Tirmizi.

Sanad Imam Bukhari: ialah Bukhari dari Adam dari Syu'bah dari 'Abdullah B. Abu Safar, dari Al-Sya'bi, dari 'Abdullah Bin 'Amru dari Nabi Sallallahu 'alayhi wa sallam.

Sanad Imam Muslim: ialah Imam Muslim dari Sa'id, dan Yahya, dari Abu Burdah dari Abu Burdah, dari Abu Musa dari Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam.

Sanad Imam Tirmizi: ialah Tirmizi dari Qatadah, dari Al-Laith dari Al-Qa'qa', dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah dari Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam.

Cubalah perhatikan ketiga-tiga sanad tersebut. Di antaranya tidak seorangpun yang sama nama dan orangnya. Abu Burdah dalam sanad Imam Muslim ada dua tetapi orangnya berlainan. Abu Burdah yang pertama itu cucu dari Abu Burdah yang kedua, jadi dengan demikian tidaklah sama.

Hadith Dha'if


Hadith hadith Dha'if itu banyak pula kategorinya, diantaranya ialah Hadith Mursal, Hadith Munqathi', Hadith Mudallas, Hadith Mu'allaq, Hadith Mungkar, Hadith Matruk dan Hadith Maudhu'. Seburuk buruk dan sejelek jelek martabat hadith ialah Hadith Maudhu', Hadith Matruk dan Hadith Mungkar.

Hadith hadith yang wajib diterima dan diamalkan hanyalah Hadith Mutawatir, Hadith Sahih dan Hadith Hasan.

Jumhur ulama' hadith menolak semua Hadith Dha'if walaupun tidak seberapa dha'ifnya kerana Hadith Sahih dan Hadith Hasan lebih dari mencukupi dan dikhuatiri akan terjerumus ke dalam jurang berbohong atas Nabi SAW. Akan tetapi sebahagian kecil ulama' membolehkan penggunaan Hadth Dha'if yang tidak seberapa dha'ifnya untuk menyatakan Targhib dan Tarhib dan menyatakan fadhilat fadhilat amal dengan syarat antara lain jangan diyakini bahawa ianya adalah sabda Rasululllah SAW. dan dinyatakan pula kedha'ifannya. 

Adapun yang dimaksudkan dengan kata kata "Hadith Dha'if itu lebih baik dari Qias" seperti yang diucapkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal dan Imam Abu Daud, adalah merujuk kepada Hadith Hadith Hasan mengikut istilah ulama mutaakhirin, kerana ulama ' mutaqaddimin (sebelum At Tirmizi) membahagikan Hadith Hadith kepada 2 kategori sahaja iaitu Sahih dan Dha'if (ketika itu Hadith Hasan ada sebahagian dari Hadith Dha'if).

* Sumber : Drs Abdul Ghani Azmi Bin Haji Idris (Bab Pengertian Hadith Dan Sunnah) & Buku Mustalah Hadith serta pelbagai sumber lain.

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |