Sunday, November 21, 2010

Pengertian Hadith Mudallas


Pengertian Dari Segi Bahasa :
  • Kata nama ganti bagi kata dasar tadlis iaitu menyembunyikan kecacatan barang daripada pembeli.
  • Kata akar tadlis ialah al-dalas iaitu kegelapan atau percampuran dengan kegelapan sebagaimana yang disebutkan oleh kitab al-Qamus al-Muhit.
  • Seolah-olah perawi mudallis menyembunyikan kepada orang yang mahu mengetahui sesebuah hadith bermakna dia telah mengelapkan perkara itu dan jadilah hadith itu mudallas (digelapkan).
Dari Segi Istilah :
  • Menyembunyikan keaiban di dalam sanad
  • Memperelokkan zahirnya
Pembahagian Tadlis
  1. Tadlis al-Isnad
  2. Tadlis al-Syuyukh
Tadlis al-Isnad

Pandangan penulis yang paling sahih dan halus ialah takrif Imam Abu Ahmad bin Amar al-Bazzar dan Abu al-Hassan bin al-Qattan. Takrif tersebut ialah :

“Seorang perawi meriwayatkan hadith-hadith yang tidak pernah didengari daripada perawi yang dia ada mendengar daripadanya tanpa menyebut dengan jelas bahawa dia mendengar daripadanya”

Huraian takrif
  • Tadlis al-Isnad ialah seorang perawi yang telah meriwayatkan beberapa hadith daripada seorang perawi yang dia pernah mendengar daripadanya tetapi hadith yang ditadliskannya itu dia tidak mendengar secara langsung daripada perawi tersebut.
  • Sebenarnya dia meriwayatkannya daripada perawi yang lain daripada yang pertama tadi.
  • Bermaksud, dia telah menggugurkan perawi tersebut lalu meriwayatkan dengan lafaz yang diandaikan dia mendengar sendiri seperti ‘dia telah berkata’ atau ‘daripada’.
  • Bagaimanapun dia tidak menyatakan dengan jelas bahawa dia mendengar hadith itu daripada perawi tersebut.
  • Dengan sebab itu dia tidak berkata, ‘saya mendengar’, ‘telah menceritakan kepada saya’ ,supaya dia tidak menjadi seorang pendusta besar dengan sebab perbuatan itu.
  • Kadang-kadang perawi yang digugurkannya itu lebih daripada seorang.
Perbezaan dengan Hadith al-Irsal al-Khafiy

Al-Irsal al-Khafiy
  • Meriwayatkan daripada perawi hadith yang tidak pernah didengari daripada perawi itu dengan lafaz yang memberi kemungkinan dia mendengar.
  • Perawinya adalah daripada orang yang dia tidak pernah mendengar hadith daripadanya.
  • Ada mendengar juga beberapa hadith lain selain daripada hadis yang ditadliskannya.
  • Langsung tidak pernah mendengar hadith daripada ulama tersebut, baik hadith yang dimursalkannya atau hadith-hadith lain. Cumanya dia hanya hidup sezaman atau pernah bertemu sahaja.
Tadlis Al-Syuyukh

Seorang perawi meriwayatkan satu hadith yang didengarinya daripada ulama' lalu dia menamakannya, memberikan kunyah, menisbahkannya atau menyifatkannya dengan sesuatu yang ulama' itu tidak dikenali dengannya supaya tidak dikenali.

Contohnya :
Abu Bakar bin Mujahid, merupakan salah seorang imam qiraat berkata : Abdullah bin Abi Abdullah menceritakan kepada saya yang mana maksudnya ialah Abu Bakar bin Abu Daud al-Sajistani.

Hukum Tadlis

Hukum Tadlis al-Isnad adalah sangat makruh dan dicela oleh kebanyakan ulama’.Syu’bah adalah seorang ulama’ yang keras mencela tadlis sehingga ada beberapa celaan daripada beliau.Antaranya ialah,tadlis adalah saudara berdusta, katanya.

Manakala hukum Tadlis Taswiyah lebih makruh lagi sehingga al-Iraqi berkata : "Ia mencacatkan orang yang sengaja melakukannya".

Hukum Tadlis al-Syuyukh pula ialah lebih ringan hukum makruhnya daripada tadlis al-Isnad kerana mudallis tidak menggugurkan sesiapa. Ia dihukumkan makruh kerana mengabaikan perawi yang diriwayatkan daripadanya dan menyukarkan pendengar untuk mengetahuinya. Oleh itu dapat dikatakan bahawa keadaan makruh berbeza mengikut tujuan tadlis tersebut

Sebab-sebab yang Menyebabkan tadlis al-Syuyukh :
  • Perawi itu seorang yang dha'if atau tidak thiqah
  • Perawi itu telah lanjut usianya sehingga sekumpulan perawi yang lain juga mendengar hadith daripadanya selain dari perawi yang melakukan tadlis.
  • Perawi itu muda sehingga muridnya itu lebih tua daripadanya.
  • Terlalu banyak periwayatan daripada beliau. Oleh itu, perawi yang melakukan tadlis ini tidak mahu menyebutkan nama gurunya ini dengan satu cara.
Tiga Sebab Mengapa Tercelanya Perawi Tadlis
  • Dia telah mewahamkan bahawa dia mendengar hadis daripada perawi yang tidak didengarinya.
  • Dia meninggalkan cara periwayatan yang nyata dan menggunakan cara yang menimbulkan pelbagai kemungkinan.
  • Dia menyedari sekiranya dia menyebutkan perawi yang ditadliskannya tentu dia tidak akan disenangi.
Hukum Periwayatan Perawi Hadith

Ulama’ berbeza pendapat tentang penerimaan riwayat perawi tadlis. Dua pendapat yang masyhur ialah
1.Riwayatnya ditolak sama sekali walaupun dia menyatakan bahawa dia mendengar kerana tadlis itu sendiri merupakan tarjih. Pendapat ini dipegang oleh ulama’
2. Pendapat yang sahih mengemukakan perincian itu :
  • Jika dia menyatakan “ saya mendengar ” maka riwayatnya diterima iaitu beliau mengatakan saya mendengar atau sebagainya maka hadithnya diterima.
  • Jika dia tidak menjelaskan bahawa dia mendengar maka riwayatnya tidak diterima kerana jika dia mengatakan “ daripada ” dan sebagainya maka hadithnya tidak diterima.
Bagaiamanakah Tadlis Dapat Dikenalpasti?

Tadlis dapat dikesan melalui dua perkara :
  • Pengakuan perawi mudallis sendiri apabila ditanya sebagaimana yang berlaku kepada Ibn ‘Uyainah.
  • Keterangan oleh mana-mana imam dalam bidang ini berdasarkan kepada pengetahuannya yang diperolehi melaui kajian dan penyelidikan.
Kitab-kitab yang Terkenal Tentang Tadlis dan Perawi-perawi Mudallis

Antara kitab –kitab yang paling masyhur ialah :
  1. Tiga buah kitab yang ditulis oleh al-Khatib al-Baghdadi, satu kitab tentang senarai mudallis iaitu al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin dan dua buah lagi tentang bentuk-bentuk tadlis.
  2. Al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin oleh Burhan al-Din bin al-Halabi
  3. Ta’rif Ahl al-Taqdis Bi Maratib al-Mausufin bi al-Tadlis oleh Hafiz Ibn Hajar.
* Sumber dari Buku Mustalah Hadith

1 comments:

Anonymous said...

This is what im looking for .. Thank u !

Comment here

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |