Sunday, March 25, 2012

Sejarah & Konsep Ahlu-Sunnah Wa'l-Jama'ah III




Siapakah yang digolongkan ke dalam firqah Ahlu’s-Sunnah wal-Jama’ah itu?

Antara golongan yang dinyatakan termasuk ke dalam firqah Ahlu’s-Sunnah itu ialah sebagaimana yang dicatatkan oleh al-Baghdadi dalam al-Farq baina ‘l-Firaqnya, mereka itu terdiri daripada lapan golongan iaitu:

Pertama:  Mereka yang mempunyai dan beryakinan tentang bab-bab mengesakan Allah, Nubuwwah, hukum-hukum wa’d (janji memberi balasan baik kepada mereka yang melakukan kebaikan) dan wa’id (iaitu janji memberi balasan jahat kepada mereka yang melakukan kejahatan jika tidak diampunkan), pahala, balasan azab, syarat-syarat ijtihad dan imamah serta mereka menjalani jalan agama yang sedemikian. Mereka ini termasuklah daripada golongan mutakallimin yang bebas daripada tashbih dan ta’til daripada perkara-perkara bid’ah Rawafidh, Khawarij, Jahmiyah, Najjariyah dan lain-lain golongan sesat yang mengikuti hawa nafsu.

Kedua:   Mereka yang terdiri daripada imam-imam dalam ilmu fiqh yang terdiri daripada dua golongan pula, iaitu mereka yang berpegang kepada hadith (tidak begitu berpegang kepada fikiran atau ra’y) dan yang berpegang kepada hadith (selepas daripada berpegang kepada al-Qur’an). Mereka ini terdiri daripada golongan yang beri’tikad tentang dasar-dasar agama (usulu’d-din) mazhab yang percaya kepada sifat-sifat Allah, Zat-Nya dan mereka yang bersih daripada pegangan Qadariyah dan Mu’tazilah. Mereka percaya kepada harusnya memandang wajah Allah di akhirat dengan pandangan mata tanpa tashbih dan ta’til, mempercayai bangkit dari kubur, soalan Munkar dan Nakir, percaya kepada kolam Nabi s.a.w., sirat, syafa’at, keampunan dosa dan mereka tidak mensyirikkan Allah. Mereka percaya kepada kekalnya nikmat syurga kepada ahlinya dan kekalnya azab neraka kepada ahlinya. Na’udzu billahi min dzalik. 

Mereka percaya kepada imamah Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman dan ‘Ali, mereka memuji golongan Salaf as-Salih dengan pujian yang baik dan mereka berpegang kepada wajibnya sembahyang Jumaat di belakang para imam Jumaat yang bersih daripada bid’ah ahli hawa nafsu. Mereka ini juga berpegang kepada wajibnya istinbat hukum-hukum syari’at daripada al-Qur’an dan Sunnah, ijma’ para Sahabat serta mereka memegang kepada ajaran harus menyapu kasut panjang (dalam wudhu’), berlakunya tiga talak, mengharamkan mut’ah dan berpegang kepada wajibnya taat kepada Sultan di dalam perkara yang bukan maksiat terhadap Allah.

Termasuk juga ke dalam golongan ini ialah para pengikut imam-imam Malik, Syafi’i, Auza’i, al-Thauri, Abu Hanifah, Ibn Abi Laila dan juga para pengikut Abi Thaur, Ahmad ibn Hanbal serta ahli zahir dan lain-lain ulama fiqh yang berpegang kepada perkara-perkara yang boleh dicapai dengan akal dan juga berpegang kepada asal usul sifat Allah dengan tidak mencampurkan fiqhnya dengan suatu daripada bid’ah-bid’ah sesat golongan yang mengikut hawa nafsu yang sesat.

Ketiga:   Mereka yang mempunyai ilmu yang cukup tentang jalan-jalan riwayat hadith-hadith Nabi s.a.w. serta Sunnah-sunnah yang datang daripada Baginda serta mereka boleh membezakan antara riwayat-riwayat yang sahih, yang ‘sakit’, tahu tentang sebab-sebab ‘cedera’nya para periwayat atau ‘adil’nya mereka (lalu riwayat mereka boleh diterima) dan mereka tidak mencampuradukkan ilmu mereka itu dengan sesuatu daripada ahli hawa nafsu yang sesat.

Keempat:   Mereka yang mempunyai ilmu mencukupi tentang sastera, nahu dan tasrif serta mereka yang mengikuti perjalanan imam-imam dalam ilmu bahasa seperti al-Khalil, Abu ‘Amru bin al-‘Ala, Sibawaih, al-Farra’, al-Akhfash, al-Asma’i, al-Mazini dan Abi ‘Ubaid. Dan juga mengikuti imam-imam lain dalam ilmu nahu yang terdiri daripada orang-orang Kufah dan Basrah yang tidak mencampuradukkan ilmu mereka dengan bid’ah-bid’ah sesat daripada kaum-kaum sesat seperti kaum Qadariyah, Rafidah dan Khawarij. Sesiapa yang cenderung kepada sesuatu daripada aliran bid’ah sesat kaum sesat tersebut maka mereka tidak termasuk ke dalam golongan Ahlu’s-Sunnah wal-Jama’ah dan pendapat mereka dalam lughat dan nahu tidak menjadi hujah lagi.

Kelima:   Mereka yang mempunyai ilmu yang mencukupi berkenaan dengan segi-segi pembacaan Qur’an (qira’at) dan segi-segi tafsir ayat-ayat al-Qur’an serta ta’wil-ta’wilnya yang sesuai dengan mazhab Ahlu’s-Sunnah wal-Jama’ah di mana bukan ta’wil-ta’wil mengikut ahli aliran-aliran yang sesat itu.

Keenam:  Golongan ahli-ahli zuhud dan sufiyah (al-zuhhad al-sufiyah) yang mempunyai pandangan yang tajam, mengawal diri daripada apa yang tidak sepatutnya, menguji diri dan mendapat pengalaman dalam bidang rohaniah (absaru fa aqsaru wa’khtabaru) di mana mereka mengambil i’tibar sebaiknya dan mereka redha dengan apa yang ditakdirkan oleh Allah. Mereka rasa memadai dengan rezeki yang sedikit (yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka) dan tahu bahawa pendengaran, pandangan dan fu’ad atau hati kesemuanya akan ditanya tentang kebaikan dan kejahatan yang dilakukan. Mereka juga menghisab diri atas amalan yang dilakukan walau sebesar zarrah dan mereka mempersiapkan diri dengan persiapan yang sebaiknya untuk hari penghabisan iaitu Akhirat.

Mereka menghuraikan ilmu mereka dengan menggunakan jalan ‘ibarat dan isyarat mengikut perjalanan ahli-ahli ilmu hadith. Mereka bukan mengikut golongan yang mengeluarkan kata-kata kosong dan tidak melakukan apa yang baik lantaran ria’. Mereka juga tidak meninggalkan apa yang baik itu semata-mata kerana malu kepada sesiapa. Agama golongan sufiyah ini adalah agama tauhid yang menolak tashbih dan mazhab mereka ialah tunduk menyerah diri (tafwid) kepada Allah, bertawakkal kepada-Nya serta tunduk taslim bagi perintah-Nya, merasa memadai dengan apa yang direzekikan oleh-Nya dan berpaling daripada menentang apa yang ditentukan Allah. Mereka ini adalah sebagaimana yang digambarkan dalam al-Qur’an yang bermaksud:

“Itulah pemberian daripada Allah yang dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah mempunyai pemberian yang amat besar”. (al-Hadid : 21)

Ketujuh:   Mereka yang bersiap sedia menjaga kubu-kubu muslimin (di sempadan negeri Islam) dalam menghadapi orang-orang kafir, berjuang melawan seteru muslimin, menjaga kawasan muslimin dan juga memberi perlindungan kepada para wanita muslimin dan rumahtangga mereka serta menzahirkan pada kubu-kubu mereka itu mazhab Ahlu’s-Sunnah wal-Jama’ah. Berkenaan dengan mereka inilah Allah turunkan firman-Nya yang bermaksud:

“Dan mereka yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami”. (al-Ankabut : 69)

Mudah-mudahan Allah kurniakan kepada mereka itu taufik dengan pemberian dan kemurahan-Nya.

Kelapan:   Negeri-negeri yang mendokong mazhab Ahlu’s-Sunnah wal-Jama’ah dan bukannya mendokong tempat-tempat yang merupakan syi’ar-syi’ar bagi golongan-golongan yang sesat dan mengikut hawa nafsu. Apa yang dimaksudkan dengan golongan ini ialah golongan orang ramai di mana-mana sahaja yang beri’tikad tentang benarnya ulama’ Ahlu’s-Sunnah wal-Jama’ah yang berpegang kepada bab-bab keadilan Tuhan, Tauhid-Nya, wa’d, wa’id, dan mereka merujuk kepada ulama’ Ahlu’s-Sunnah dalam bimbingan ajaran-ajaran agama serta mereka mengikuti para ulama’ dalam perkara-perkara furu’ berkenaan dengan halal dan haram. Mereka tidak beri’tikad suatupun daripada perkara yang ada dalam pegangan golongan-golongan ahli kesesatan itu.

Inilah golongan-golongan yang berada dalam kalangan Ahlu’s-Sunnah wal-Jama’ah. Merekalah pemegang agama yang benar dan mereka berada di atas Sirat al-Mustaqim. Semoga Allah tetapkan mereka di atas kalimah yang haq lagi tetap di atas dunia ini dan akhirat. Allahumma amin.

Inilah yang dikatakan golongan Ahlu’s-Sunnah yang dicatatkan daripada huraian ‘Abdul-Qahir al-Baghdadi yang merupakan sesuatu yang sudah jelas selepas perjalanan sejarah Islam selama lebih empat abad lamanya (al-Baghdadi meninggal pada tahun 429 Hijrah/1037 Masehi). Gambarannya adalah sesuatu yang merupakan ‘crystallization’ daripada pegangan insan dan sejarahnya boleh menjadi sebagai indeks bagi kita memahami persoalan ini. Dengan berdasarkan kepada neraca yang diberikan oleh al-Baghdadi ini, kita boleh menentukan kedudukan Ahlu’s-Sunnah wal-Jama’ah dan mereka yang berpegang kepadanya lebih-lebih lagi dalam keadaan menghadapi pelbagai aliran faham Timur dan Barat sama ada yang datang dari dalam masyarakat Islam sendiri ataupun dari luarnya. Walau bagaimanapun ini bukanlah tujuan utama perbincangan ini.

Dalam membela kebenaran Ahlu’s-Sunnah dan keselamatan kedudukan mereka sebagaimana yang dijanjikan dalam hadith-hadith Nabi s.a.w., al-Baghdadi dengan penuh keyakinan menyatakan bahawa: “Kami tidak mendapati sehingga hari ini daripada kalangan firqah-firqah umat ini mereka yang bersepakat dengan perjalanan para Sahabat r.a. melainkan golongan Ahlu’s-Sunnah wal-Jama’ah daripada kalangan para fuqaha’ ummah ini dan para mutakallimin. Mereka itu yang berpegang kepada sifat-sifat Allah lain daripada golongan Rafidah, Qadariyah, Khawarij, Jahmiyah, Najjariyah, Mushabbihah, Ghulat dan Hululiyah”.

Kemudian beliau menyebut satu persatu di mana tidak selamatnya pendirian-pendirian golongan lain seperti golongan Qadariyah, Khawarij dan seterusnya. Selanjutnya beliau menghuraikan dasar-dasar yang disepakati di kalangan Ahlu’s-Sunnah wal-Jama’ah.

Dasar pertamanya ialah tentang mengitsbatkan hakikat-hakikat dan ilmu-ilmu. Menurut beliau, para Ahli’s-Sunnah telah berijma’ tentang tsabitnya ilmu-ilmu sebagai pengertian-pengertian yang ada pada para ulama’. Para Ahlu’s-Sunnah mengatakan tentang peri sesatnya golongan yang menafikan ilmu pengetahuan dan sifat-sifat yang ada pada benda sehingga menganggap jahilnya golongan Sophists yang menafikan ilmu dan hakikat sesuatu semuanya. Dianggapnya golongan itu sebagai mengingkari apa yang mereka sendiri telah mengetahuinya dengan secara dharuri. Demikian juga dengan golongan Sophists (Sufasta’iyah) yang syak tentang wujudnya hakikat-hakikat. Begitulah juga segolongan daripada mereka itu yang berpegang kepada ajaran bahawa hakikat segala sesuatu mengikut anggapan dan menganggapkan sah semua i’tikad-i’tikad sekalipun semuanya saling bercanggahan dan menafikan antara satu sama lain. Semua tiga golongan ini kafir dan engkar serta degil untuk menerima apa yang diwajibkan akal secara dharuri.

Bagi Ahlu’s-Sunnah, ilmu manusia dan ilmu haiwan-haiwan lain terdiri daripada tiga jenis ilmu iaitu:
  1. Ilmu yang badihi iaitu secara tersendiri tanpa difikirkan. 
  2. Ilmu yang bersifat hissi iaitu melalui pengalaman pancaindera. 
  3. Ilmu istidlali iaitu yang datang dengan manusia menerusi pengambilan dalil menggunakan akal.
Mereka menyatakan bahawa sesiapa yang menolak ilmu-ilmu yang badihi ataupun ilmu yang hissiyah yang datang melalui pengalaman pancaindera yang lima adalah orang yang degil. Manakala orang yang tidak menerima ilmu-ilmu yang bersifat nazariah atau yang datang dengan pemikiran menerusi pengambilan dalil maka ia perlu diteliti. Sekiranya ia terdiri daripada orang yang menolak dan mengingkari pemahaman berpandukan akal berkenaan ilmu-ilmu yang boleh difahami dengan akal secara langsung, maka ia adalah kafir mulhid. Hukumnya adalah seperti hukum Dahriyah (atau fahaman yang tidak percaya kepada Tuhan dan mengitsbatkan wujud alam benda sahaja) kerana pegangan mereka bahawa alam ini adalah abadi dengan menafikan Tuhan yang menjadikan. Tambahan lagi pegangan mereka itu membatalkan semua agama-agama.

Bagi seseorang yang berpegang kepada kefahaman akal dalam perkara-perkara yang boleh difahamkan dengan akal, dan ia tidak menerima qiyas dalam masalah furu’ hukum syariat sebagaimana ahli mazhab Zahiriyah, maka ia tidak menjadi kafir dengan ia mengingkari qiyas secara syar’i itu. Golongan Ahlu’s-Sunnah menerima pancaindera sebagai punca-punca pengetahuan yang diakui dan pengesanan pancaindera adalah diterima.

Golongan Ahlu’s-Sunnah juga menyatakan bahawa khabar mutawatir adalah satu jalan ilmu yang dharuri dan sesuatu yang datang melalui punca tersebut adalah sahih, misalnya tentang sahnya ada negeri yang belum dikunjungi oleh seseorang itu, tetapi ia dengar berita mutawatir tentangnya. Itu adalah sebagaimana ilmu kita tentang adanya para anbiya’ dan raja-raja sebelum zaman kita. Manakala tentang benarnya pengakuan para anbiya’ berkenaan pangkat kenabian mereka maka itu diketahui oleh kita berdasarkan hujah-hujah ilmu secara nazariah.

Golongan Ahlu’s-Sunnah menyatakan bahawa hadith yang melazimkan kita beramal dengannya ada tiga jenis iaitu mutawatir, ahad dan mustafid iaitu yang tengah-tengah antara kedua-duanya. Khabar mutawatir yang mustahil ianya direka-rekakan adalah berkedudukan sebagai ilmu yang dharuri, contohnya ialah berita tentang negeri-negeri yang belum kita kunjungi dan ilmu yang kita tahu tentang raja-raja dan nabi-nabi serta generasi-generasi sebelum kita. Dengan sebab itulah seseorang dapat mengetahui kedua-dua ibubapanya dan dengan kedua-duanya ia dinisbahkan.

Khabar ahad pula, apabila sah isnadnya dan matannya bukan mustahil pada akal, maka ianya wajib diamalkan. Ianya berkedudukan sebagai kesaksian seorang yang adil di sisi hakim di mana wajib si hakim memutuskan hukum berdasarkannya pada zahir sekalipun ia tidak mengetahui tentang benarnya iaitu dalam kesaksian. Dan dengan khabar jenis inilah maka para fuqaha’ menthabitkan kebanyakan daripada furu’ hukum-hukum syariah dalam ibadat, mu’amalat dan lain-lain bab halal dan haram. Golongan Ahlu’s-Sunnah menganggapkan sesat mereka yang menggugurkan wajib beramal dengan khabar ahad daripada kalangan Rafidah, Khawarij dan lain-lain golongan sesat.

Khabar mustafid yang duduk di tengah-tengah antara yang mutawatir dan yang ahad, maka ianya seperti mutawatir dalam wajibnya berilmu dan beramal dengannya. Namun ia berlainan pula daripada yang mutawatir kerana ilmu yang datang dari khabar mustafid adalah ilmu yang muktasab yang nazari, sedangkan ilmu yang datang dari yang mutawatir pula adalah dikirakan dharuri tidak muktasab. Dan khabar jenis ini ada bahagian-bahagiannya pula. Termasuk ke dalam jenisnya ialah khabar-khabar tentang para anbiya’. Demikian juga termasuk khabar yang tersebar di kalangan manusia yang tidak sahih mereka itu melakukan. Apabila seseorang di kalangan mereka tidak mengatakan ianya bohong, maka kita ketahui bahawa orang itu berkata benar. Dengan khabar cara inilah kita ketahui tentang mu’jizat-mu’jizat Nabi kita s.a.w., tentang terbelahnya bulan, bertasbihnya anak batu dalam tangannya, menangisnya pelepah tamar dan sebagainya. Demikian juga khabar-khabar mustafidah antara imam-imam hadith dan fiqh yang mereka ijma’ bahawa khabar-khabar tersebut adalah sahih seperti hadith-hadith tentang syafa’at, Hisab, Haud, Sirat, Mizan, azab kubur dan soal Munkar dan Nakir.

Begitu juga khabar mustafidah yang banyak dalam hukum-hukum fiqh seperti nisab zakat, hadd bagi yang minum arak, hadith-hadith tentang menyapu khuf, tentang rejam, dan sebagainya yang diijma’kan oleh fuqaha’. Maka golongan Ahlu’s-Sunnah menganggap sesat mereka yang tidak memahami seperti mereka berkenaan hal-hal tersebut seperti kaum-kaum sesat yang mengikut hawa nafsu mereka. Contohnya ialah kesesatan kaum Khawarij yang menolak rejam, sesatnya kaum Najdiah yang mengingkari hadd kerana meminum arak dan mengingkari harusnya menyapu khuf; dan menjadi kafir mereka yang mengingkari memandang Allah di Akhirat serta yang mengingkari Haud, syafaat dan azab kubur.

Demikian juga Ahlu’s-Sunnah menganggap sesat kaum Khawarij yang memotong tangan pencuri yang mencuri sedikit atau banyak daripada tempat simpanan atau tidak, begitu juga Ahlu’s-Sunnah menyesatkan golongan yang menolak khabar mustafid. Sebagaimana Ahlu’s-Sunnah menganggapkan sesat golongan yang mentsabitkan mansukhnya hukum khabar yang sepakat tentangnya fuqaha’ golongan Ra’y dan Hadith, begitulah juga mereka menganggapkan sesat golongan Rafidah yang mengharuskan kahwin mut’ah sedangkan keharusannya sudah dimansukhkan.

Golongan Ahlu’s-Sunnah bersepakat bahawa Allah Ta’ala mewajibkan ke atas para hamba-Nya supaya mencapai ma’rifat terhadap-Nya dan juga mewajibkan ma’rifat terhadap Rasul-Nya, kitab-Nya dan beramal dengan apa yang ditunjukkan oleh Kitab dan Sunnah.

Juga golongan Ahlu’s-Sunnah menganggapkan kafir sesiapa yang menegaskan – dari kalangan Qadariyah dan Rafidah – bahawa Allah tidak mewajibkan ma’rifat terhadap-Nya sebagaimana yang dipegang oleh Thumamah dan al-Jahiz serta satu golongan daripada Rafidah. Mereka bersepakat bahawa tiap-tiap ilmu kasbi dan nazari harus Allah menjadikan kita mesti mengetahui tentangnya. Dan golongan Ahlu’s-Sunnah menganggapkan kafir sesiapa yang menegaskan, daripada kalangan Mu’tazilah, bahawa ma’rifat terhadap Allah di Akhirat adalah dihasilkan dan muktasabah di mana tidak termesti kepada ma’rifat-Nya.

Golongan Ahlu’s-Sunnah bersepakat bahawa punca-punca hukum-hukum syar’iyah adalah al-Quran, Sunnah dan Ijma’ golongan Salaf. Mereka menganggapkan kafir orang yang menegaskan, daripada kalangan Rafidah, bahawa pada hari ini – pada zaman al-Baghdadi ialah abad kelima Hijrah – tidak ada hujah dalam al-Quran dan Sunnah kerana mereka mendakwa bahawa para sahabat ada mengubahkan sebahagian daripada al-Quran dan melakukan tahrif terhadap sebahagian daripadanya.

Golongan Ahlu’s-Sunnah menganggapkan kafir golongan Khawarij yang menolak seluruh kitab sunan yang diriwayatkan oleh periwayat-periwayat hadith kerana pada pandangan mereka periwayat-periwayat hadith itu kafir.
Golongan Ahlus-Sunnah juga menganggapkan kafir al-Nazzam yang mengingkari hujah ijma’ dan hujah daripada riwayat mutawatir. Mereka menghukum kafir bagi orang yang berpendapat mungkin seluruh umat Islam berijma’ dalam kesesatan (ijtima’ al-ummah ‘ala al-dalalah) dan juga kerana ia berpendapat adalah harus mereka yang terlibat dalam riwayat yang mutawatir itu bermuafakat mereka-rekakan sesuatu yang bohong.

Inilah penerangan tentang apa yang disepakati oleh Ahlu’s-Sunnah berkenaan dengan dasar yang pertama.

Dasar yang kedua ialah pegangan Ahlu’s-Sunnah tentang barunya alam ini. Mereka telah ijma’kan bahawa alam itu adalah segala sesuatu yang selain daripada Allah. Dan mereka ijma’kan bahawa segala yang selain daripada Allah dan sifat-sifatNya yang azali adalah makhluk yang dijadikan serta diciptakan oleh Allah. Mereka juga bersepakat bahawa Tuhan yang menjadikan itu bukanlah makhluk, bukan yang diciptakan, bukan daripada jenis alam ini dan bukan juga sesuatu daripada sejuzuk alam ini.

Mereka bersepakat lagi bahawa bahagian-bahagian daripada alam ini ada dua iaitu jauhar dan ‘arad (pluralnya Jawahir dan a’arad) di mana khilaf pendapat golongan yang menafikan a’arad.

Mereka bersepakat bahawa setiap jauhar adalah juzuk yang tidak boleh berpecah lagi. Dan mereka menganggapkan kafir al-Nazzam dan ahli-ahli falsafah yang menganggap boleh berpecahnya tiap-tiap juzuk daripada juzuk-juzuk benda tanpa berkesudahan dan ini dikirakan berlawanan dengan ayat yang bermaksud:
“Dan Dia (Allah) menghitung segala sesuatu satu persatu.” (al-Jin : 28)
Golongan Ahlu’s-Sunnah juga mengithbatkan para malaikat, jin dan syaitan sebagai makhluk-makhluk yang ada dalam alam ini, dan menganggap kafir golongan yang menafikan sedemikian itu yang terdiri daripada kalangan ahli falsafah dan golongan Batiniyah.

Kemudian kenyataan ini disusuli dengan beberapa kenyataan tentang sesatnya golongan ahli falsafah dan Mu’tazilah dalam hal yang berkaitan dengan alam benda dan konsep alam.

Mereka menganggap kafir Abul-Hudhail yang berpegang kepada pegangan bahawa ni’mat syurga dan azab neraka itu terputus; dan menganggap kafir golongan Jahmiyah yang berpendapat syurga dan neraka itu tidak kekal.

Dasar yang ketiga ialah berkenaan dengan Tuhan yang menciptakan alam serta Sifat-sifat-Nya. Bagi Ahlu’s-Sunnah, segala sesuatu yang baru itu mesti ada yang menjadikannya dan mereka berpegang kepada pegangan bahawa Tuhan yang menjadikan alam ini maka Dia-lah yang menjadikan jisim-jisim dan ‘arad-‘arad. Mereka menganggap kafir Mu’ammar dan para pengikutnya daripada kalangan Qadariyah yang berpendapat bahawa Allah tidak menjadikan sesuatu daripada ‘arad-‘arad sebaliknya Dia hanya menjadikan jisim-jisim.

Disebutkan juga bahawa golongan Ahlu’s-Sunnah bersepakat bahawa Tuhan tidak dikandung oleh tempat dan tidak berlalu atas-Nya masa di mana ini khilaf dengan golongan yang mengatakan Tuhan menyentuh ‘Arsy yang terdiri daripada golongan Syihamiyah dan Karramiyah. Ahlu’s-Sunnah juga berijma’ menafikan adanya kecederaan, kesedihan, kesakitan dan kelazatan daripada Tuhan serta gerak dan diam, ini adalah khilaf dengan pendapat golongan Hisyamiyah daripada golongan Rafidah yang menganggap harus ada gerak pada Tuhan.

Dinyatakan lagi bahawa Ahlu’s-Sunnah berijma’ bahawa Allah Maha Kaya, tidak berkehendakkan kepada makhluk-Nya, Dia tidak mendapat manfaat daripada menjadikan makhluk-Nya itu dan juga Dia tidak menolak kemudaratan daripada diri-Nya dengan menjadikan makhluk-Nya itu. Inilah khilaf pegangan Majusi yang mendakwa bahawa Allah menjadikan para malaikat bagi menolakkan kesakitan pada diri-Nya yang datang daripada syaitan dan penolong-penolongnya.

Ahlu’s-Sunnah juga berijma’ bahawa Tuhan yang menjadikan alam ini adalah tunggal iaitu khilaf dengan pendapat yang mengatakan Tuhan itu adalah dua yang sedia kala, satunya cahaya atau Nur dan satu lagi ialah kegelapan atau Zulmah (golongan Yazdan dan Ahriman di kalangan Majusi). Pegangan tentang keesaan Tuhan ini berlawanan dengan pegangan golongan Ghulat di kalangan Rafidah yang menyatakan bahawa Allah menyerahkan tadbiran alam kepada sayyidina ‘Ali yang merupakan Khaliq yang kedua.

Dasar keempat ialah berkenaan dengan sifat-sifat yang ada pada Zat Allah di mana Ahlu’s-Sunnah berpegang bahawa Ilmu Allah, Qudrat-Nya, Hayat-Nya, Iradat-Nya, Sama’-Nya, Basar-Nya dan Kalam-Nya adalah sifat-sifat-Nya yang azali serta abadi. Golongan Mu’tazilah menyatakan bahawa tidak ada Qudrat, Ilmu atau Hayat bagi Allah Ta’ala dan Dia tidak dapat dilihat di Akhirat.

Ahlu’s-Sunnah berijma’ bahawa Qudrat Allah yang berlaku di atas segala yang ditakdirkan itu, semuanya sebagai satu qudrat yang dengannya ditakdirkan semua yang ditakdirkan-Nya itu. Ini disusuli dengan kesesatan-kesesatan Mu’tazilah dalam hal berkenaan perkara ini.

Ahlu’s-Sunnah juga berijma’ bahawa Ilmu Allah adalah satu di mana dengannya itu Dia mengetahui segala maklumat secara satu persatu. Satu golongan daripada Rafidah mengatakan bahawa Allah tidak mengetahui sesuatu sebelum adanya manakala Zurarah bin A’yun dan para pengikutnya di kalangan Rafidah menyatakan bahawa Ilmu Allah, Qudrat-Nya, Hayat-Nya, dan lain-lain sifat yang baru di mana Dia tidak Hidup, Berkuasa dan Mengetahui melainkan sehingga Dia menjadikan bagi diri-Nya Hayat, Qudrat, Ilmu, Iradat, Sama’ dan Basar.

Golongan Ahlu’s-Sunnah berijma’ bahawa Sifat Sama’ dan Basar Tuhan meliputi segala yang didengar dan segala yang dilihat; dan Tuhan sentiasalah melihat bagi diri-Nya dan Mendengar bagi Kalam diri-Nya. Ini diikuti dengan khilaf Mu’tazilah.

Golongan Ahlu’s-Sunnah berijma’ bahawa Allah boleh dilihat oleh orang-orang yang beriman di Akhirat. Ini adalah berlawanan dengan pendapat Qadariyah dan Jahmiyah yang menganggap bahawa mustahil Allah boleh dilihat di Akhirat.

Antara lain dinyatakan juga bahawa Ahlu’s-Sunnah berijma’ bahawa Iradat Allah adalah Masyi’ah atau kehendak-Nya; dan mereka ijma’kan bahawa kehendak-Nya lulus dalam apa yang dikehendaki-Nya mengikut ilmu-Nya. Ini disusuli dengan golongan yang menyalahinya dan juga kenyataan-kenyataan tentang sifat-sifat lain seperti Hayat, tanpa Roh, Sifat Kalam serta khilaf golongan yang berpendirian berlainan.

Dasar kelima ialah tentang Nama-nama Allah yang diambil daripada al-Qur’an dan Sunnah yang sahih.

Dasar keenam pula ialah tentang keadilan Allah. Dinyatakan pendirian Ahlu’s-Sunnah kemudian diikuti dengan khilaf golongan yang berlainan pegangan daripadanya.

Dasar ketujuh ialah tentang nubuwwah dan risalah, perbezaan antara nabi dan rasul, keramat, kedudukan pada malaikat dengan para anbiya’ dan disusuli dengan khilaf golongan-golongan yang menyalahi pegangan Ahli’s-Sunnah.

Dasar kelapan ialah berkenaan dengan mu’jizat dan keramat, mu’jizat yang dihubungkan dengan nubuwwah, keramat dihubungkan dengan auliya’ dan diikuti dengan khilaf mereka yang menyalahi pegangan Ahlu’s-Sunnah.

Dasar kesembilan ialah berkenaan dengan rukun-rukun Islam daripada syahadah sampailah kepada menunaikan haji. Ini diikuti dengan pegangan golongan-golongan yang berlawanan dengannya.

Dasar kesepuluh ialah berkenaan dengan suruhan dan tegahan serta hukum yang lima iaitu wajib, mahzur, masnun, makruh dan mubah. Dan diikuti dengan pegangan golongan yang menyalahinya.

Dasar kesebelas pula ialah tentang fana’nya sekalian hamba Allah dan hukum terhadap mereka dalam alam abadi, alam barzakh, Haud, Sirat, Mizan dan Syafa’ah.

Dasar kedua belas ialah tentang khilafah dan imamah. Khilafah diwajibkan ke atas umat bagi melakukan tugas-tugas tertentu, kedudukan Khulafa’ al-Rashidin mengikut tertib khilafah mereka dan disusuli dengan khilaf golongan yang berlainan pegangan daripadanya.

Dasar ketiga belas ialah berkenaan dengan iman, Islam, tasdiq dan ma’rifat. Seterusnya diikuti dengan khilaf pegangan-pegangan yang berlainan daripadanya.

Dasar keempat belas ialah berkenaan dengan auliya’, imam-imam, para malaikat dan ajaran tentang ismah. Ini disusuli dengan khilaf kaum-kaum yang berlainan faham daripadanya.

Dasar kelima belas ialah hukum tentang seteru-seteru Islam iaitu mereka yang ada sebelum zahir daulah Islam dan mereka yang zahir dalam daulah Islam.

Kesimpulan & Penutup

Ini adalah antara apa yang boleh dipaparkan berhubung dengan konsep Ahlu’s-Sunnah wal-Jama’ah serta sedikit sebanyak perkembangan yang berlaku dalam sejarah perkembangannya. Walaupun dalam terbentuknya konsep yang akhirnya itu kelihatan termasuk ke dalamnya segi-segi sejarah ummah ini, namun hakikat ajaran dan amalan Ahlu’-Sunnah merupakan hakikat yang telah ada pada zaman awal Islam lagi. Perkembangan kemudiannya itu lebih merupakan sesuatu berbentuk deployment iaitu sesuatu pernyataan dirinya pada masa kemudian. Ianya sama sebagaimana sepohon pokok adalah pernyataan hakikat bagi dirinya yang ada dalam benihnya itu. Dalam konsep Ahlu’s-Sunnah wal-Jama’ah inilah terletaknya neraca penerimaan atau penolakan segala sesuatu yang berhubungan dengan pegangan dan amalan keagamaan. Wallahu a’lam.

0 comments:

Comment here

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |