Tinggalan Purba Menyanggah Evolusi
Hasil penemuan dari tamadun purba telah menyangkal teori 'perkembangan daripada primitif kepada bertamadun'. Jika kita mengkaji perjalanan sejarah, jawapannya ialah manusia telah sentiasa menikmati daya kecerdasan dan kreativiti yang sama. Hasil kerja yang dibuat oleh manusia ratusan ribu tahun dahulu, dan kesan-kesan yang mereka tinggalkan, sebenarnya mempunyai makna yang berbeza dengan dakwaan evolusionis. Sekiranya kita mengkaji jejak-jejak ini, akan didapati bahawa manusia dengan kebijaksanaan dan kebolehan mereka di semua zaman lampau telah membuat penemuan baru, mencapai tahap keperluan mereka dan membina tamadun
Para utusan yang dihantar membantu mereka membangun dan berkembang dengan memulakan perubahan-perubahan baru. Mereka memiliki pengetahuan saintifik yang terperinci hasil inspirasi daripada Ilahi. Misalannya, Nabi Nuh (as) tahu teknologi pembuatan perahu, seperti mana yang kita fahami dari Al-Quran bahawa bahteranya dijana oleh kuasa stim (wallahualam):
(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja. (Surah al-Hud, ayat 40)
Dapur tersebut yang dikenali sebagai tannur, masih lagi digunakan hari ini di pelbagai kawasan. Ia berkaitan dengan ayat yang menyatakan bahawa dapur ini telah melimpahkan air. Maka, bahtera disediakan untuk belayar dengan tenaga janaan stim. Dalam komentarnya, Hamdi Yazir dari Elmali berkata bahawa bahtera tersebut “seakan kapal stim yang dijana oleh sebuah dapur”:
Tannur: Dinyatakan di dalam kamus sebagai dapur atau ketuhar tertutup. Perkataan 'fara' bermaksud mendidih dan menyembur dengan kuasa dan kesungguhan yang kuat. ... Dalam kata lain, ini membayangkan bahawa kapal tersebut tidak menggunakan layar, tetapi kapal api yang menggunakan tenaga janaan sebuah dapur.37
Perkembangan besar dalam bidang sains, seni dan teknologi juga telah dicapai sewaktu zaman Nabi Sulaiman (as). Misalannya, Al-Quran menunjukkan bahawa kenderaan pengangkutan di zamannya juga sepantas kapal terbang: “Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan.” (Surah as-Saba', ayat 12).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa jarak yang jauh mampu dilalui dengan cepat. Ini merujuk kepada kenderaan udara yang menggunakan teknologi sama seperti yang digunakan hari ini (wallahualam). Tambahan pula, Al-Quran mencatatkan bahawa:
Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi dan patung-patung dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur! Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur. (Surah as-Saba', ayat 13)
Dalam erti kata lain, Nabi Sulaiman (as) menyebabkan para pekerjanya menggunakan teknologi pembinaan dan senibina yang amat canggih.
Ayat lain menyatakan bahawa:
Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan; (dia memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing). (Surah as-saad, ayat 37)
Hakikat bahawa Nabi Sulaiman (as) mampu mengawal jin-jin penyelam menandakan lokasi dan pengeluaran sumber-sumber dasar laut. Minyak dasar laut serta proses dan kerja pengekstrakan logam berharga memerlukan teknologi yang amat maju. Ayat-ayat ini menegaskan bahawa teknologi seumpama itu telah wujud dan diguna pakai.
Ayat lain menyatakan "mata air dari tembaga" (Surah as-Saba', ayat 12). Penggunaan cairan tembaga menandakan kewujudan teknologi canggih yang menggunakan elektrik di zaman Nabi Sulaiman (as). Seperti yang kita sedia maklum, tembaga merupakan antara konduktor haba yang terbaik, maka ia dipercayai mewujudkan asas industri elektrik pada masa itu. Ayat "Kami alirkan baginya mata air dari tembaga" dalam segala kemungkinan merujuk kepada sejumlah besar kuantiti elektrik yang dikeluar dan digunakan dalam banyak cabang teknologi (wallahualam).
Beberapa ayat menunjukkan bahawa Nabi Daud (as) memiliki pengetahuan yang baik dalam pertukangan besi dan pembuatan senjata:
(Serta Kami wahyukan kepadanya): Buatlah baju-baju besi yang luas labuh dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan. (Surah as-Saba', ayat 11)
Al-Quran juga mengisahkan tentang tembok di antara dua gunung yang dibina oleh Zulkarnain yang tidak mampu diseberangi dan ditembusi oleh masyarakat zaman itu. Menurut ayat berkaitan, beliau menggunakan potongan-potongan besi dan cairan tembaga:
Bawalah kepadaku ketul-ketul besi; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: Tiuplah dengan alat-alat kamu sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya. (Surah al-Kahfi, ayat 96)
Maklumat ini menunjukkan bahawa Zulkarnain telah menggunakan teknologi reinforced concrete.Besi, antara bahan paling kuat yang digunakan dalam pembinaan, amat penting untuk menambah keteguhan binaan seperti bangunan, jambatan, dan empangan. Ayat ini menyatakan bahawa beliau telah meletakkan besi dari hujung ke hujung dan menghasilkan struktur konkrit yang teguh dengan menuang mortar ke atasnya (wallahualam).
Prasasti dari peradaban purba Amerika Tengah merujuk kepada seorang yang tinggi, berjanggut dan datang dengan memakai jubah putih. Mereka juga melaporkan bahawa dalam jangka waktu yang singkat, kepercayaan terhadap dewa tunggal tersebar dan berlaku perkembangan mendadak dalam seni dan sains.
Ramai nabi seperti Nabi Yaakub (as), Nabi Yusuf (as), Nabi Musa (as), dan Nabi Harun (as) telah diutus ke Mesir purba. Utusan-utusan ini dan golongan yang mempercayai mereka telah membawa pengaruh penting terhadap peningkatan artistik dan saintifik yang pantas oleh masyarakat Mesir pada kebanyakan zaman.
Ramai saintis Muslim yang patuh kepada ajaran Al-Quran dan sunnah nabi telah membuat penemuan penting dalam bidang astronomi, matematik, geometri, perubatan, dan cabang sains yang lain. Semua ini telah membolehkan perubahan besar dan perkembangan mengagumkan dalam sains dan kehidupan sosial. Beberapa saintis Muslim beserta hasil kerja mereka adalah seperti berikut:
Abd al-Latif al-Baghdadi dikenali melalui kerjanya dalam bidang anatomi. Dia membetulkan kesilapan sebelumnya berkaitan banyak tetulang dalam badan seperti rahang bawah dan sternum. Tulisannya bertajuk Al-Ifada wa al-I'tibar telah diterbitkan pada tahun 1788 dan diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Jerman, dan Perancis. Beliau juga mengkaji organ-organ deria rasa dalam kitabnya yang berjudul Makalatun fial-Havas.
Ibn Sina (Avicenna) menerangkan tentang cara-cara rawatan ke atas pelbagai jenis penyakit. Kitab agungnya, Kitab al-Qanun fi at-Tibb, yang ditulis dalam bahasa Arab telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada kurun ke-12. Ia diajar dan dianggap sebagai buku pelajaran asas di universiti-universiti Eropah sehingga abad ke-17. Kebanyakan maklumat perubatannya masih lagi sesuai untuk diaplikasikan pada hari ini.
Zakaria Qazvini meruntuhkan banyak pendapat-pendapat yang salah berkaitan dengan otak dan jantung, yang mana telah dianggap tepat sejak zaman Aristotle lagi. Maklumat yang beliau berikan berkenaan dengan dua organ tersebut sama dengan pengetahuan hari ini.
Zakaria Qazvini, Hamd Allah Mustawfi Qazvini (1281-1350), dan Ibn Nafs, semuanya merupakan pengkaji anatomi serta membentuk asas sains perubatan moden.
Ali ibn Isa telah menulis tiga jilid buku tentang penyakit mata, Tazkirat al-Kahhalin. Jilid pertama tertumpu sepenuhnya pada anatomi mata dan mengandungai banyak informasi berharga. Ia kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan Jerman.
Al-Bairuni membuktikan 600 tahun lebih awal sebelum Galileo bahawa bumi berputar, dan juga telah mengira diameternya 700 tahun sebelum Newton melakukannya.
Ali Kuscu menghasilkan peta pertama untuk bulan, satu bahagian yang dinamakan sempena nama beliau.
Thabit ibn Qurra menemui kalkulus pembezaan berkurun-kurun sebelum Newton.
Al-Battani merupakan manusia pertama yang mengasaskan trigonometri.
Abu'l Vafa bertanggungjawab mewujudkan istilah secant dan cosecant dalam bidang trigonometri.
Al-Khawarizmi merupakan orang pertama yang menulis buku berkenaan algebra.
Al-Maghribi mengasaskan persamaan yang dikenali sebagai segitiga Pascal, 600 tahun sebelum ditemui oleh Pascal sendiri.
Ibn Haitam merupakan pengasas optik. Bacon dan Kepler sekadar menggunakan hasil kerja beliau, sementara Galileo mengunakan penemuan beliau dalam penghasilan teleskop.
Al-Kindi memajukan relativiti dan teori relativiti 1,100 tahun lebih awal daripada Einstein.
Akshamsaddin, yang hidup lebih kurang 400 tahun daripada Pascal, merupakan orang pertama yang menemui kewujudan mikrob.
Ali ibn Abbas adalah orang pertama yang menjalankan pembedahan kanser.
Ibn Jazzar menjelaskan punca-punca dan cara rawatan penyakit kusta.
Saintis-saintis Muslim, yang hanya sebahagian kecil disenaraikan di atas, telah membuat banyak penemuan penting yang membentuk asas sains moden dengan mematuhi ajaran Al-Quran dan sunnah baginda Rasulullah (saw).
Seperti yang telah kita lihat, ramai manusia dahulu kala yang mencapai kemajuan dalam bidang seni, perubatan, teknologi, dan sains menerusi utusan yang dihantar kepada mereka. Dengan mematuhi dan mengambil iktibar daripada cadangan dan galakan para nabi, mereka memiliki ilmu dan mewariskannya kepada generasi kemudian. Tambahan pula, masyarakat yang kadang-kadang lari daripada agama sebenar dan membangun pelbagai kepercayaan karut akhirnya kembali percaya akan Keesaan Allah hasil daripada usaha para nabi.
Apabila penemuan-penemuan zaman lampau dikaji tanpa prejudis, sejarah kemanusiaan dapat difahami dengan jelas dan nyata.
Sebagaimana yang telah dinyatakan, peradaban yang mundur dan maju telah wujud serentak sepanjang sejarah, sepertimana juga hari ini. Kini, kita menikmati teknologi angkasa, sementara mereka di kawasan dunia yang lain hidup serba kekurangan, begitu juga dengan masa lalu di mana Mesir purba mempunyai tamadun gemilang, sementara masyarakat yang lebih terkebelakang juga wujud di kawasan yang lain. Masyarakat Maya membina bandar-bandar yang amat membangun, yang mana dari jejak-jejak yang mereka tinggalkan menunjukkan bahawa mereka telah memiliki teknologi yang amat canggih, mengira orbit planet Venus dan menemui bulan-bulan pada planet Jupiter. Pada masa yang sama, manusia di wilayah-wilayah Eropah percaya bahawa bumi merupakan pusat sistem suria. Di kala masyarakat Mesir berjaya melaksanakan pembedahan otak, penduduk di kawasan lain pula percaya bahawa penyakit adalah disebabkan oleh pelbagai semangat jahat. Dengan sistem perundangan, kesusasteraan, pemahaman seni dan pengetahuan astronomi, masyarakat Sumeria membina peradaban gemilang di Mesopotamia, manakala di satu sudut dunia yang lain terdapat golongan yang jahil. Maka, sebagaimana masyarakat hari ini yang tidak maju dalam segalanya, zaman lampau juga tidak pernah ada golongan yang primitif sepenuhnya.
Setakat ini, kita telah mengkaji bukti dari zaman sejarah yang berbeza dan menilai contoh-contoh budaya puluhan bahkan ratusan ribu tahun lampau. Dengan mengkaji sejarah yang lebih baru, kita juga akan mendapat bukti bahawa manusia sememangnya manusia: Di sini kita bukan berbincang mengenai orang 'primitif' yang baru mengasingkan cara hidup dari beruk, tetapi manusia bertamadun yang didapati telah mewarisi peradaban lain yang tetap terpelihara untuk ribuan tahun sebelum mereka.
Sementara teknologi meningkat di abad ke-20, perkembangan kajian arkeologi juga semakin pesat, dan mula mengeluarkan lebih banyak bukti tentang sejarah sebenar manusia. Maka, disepakati bahawa kehidupan lampau di Mesir, Amerika Tengah, Mesopotamia dan wilayah lain ribuan tahun dahulu adalah sama seperti cara kehidupan kita hari ini.
0 comments: