Monday, November 29, 2010

Biografi Imam Bukhari


Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah dan dikenali dengan nama qunyah Abu Abdillah. Dilahirkan pada hari Juma'at 13 Syawal, 194 H di sebuah negeri yang bernama Bukhara dan dari situ beliau mendapat Al Bukhari yang bermaksud orang dari Bukhara.  Al Ju'fi pula merupakan gelaran bagi keturunannya yang merupakan asal bagi nasab kepada gabenor negeri tersebut, Yaman Al Ju'fi. Dikatakan bapa kepada moyang beliau yang bernama Bardizbah adalah penganut ajaran Zoroaster (Majusi) yang merupakan agama asal orang orang Parsi dan moyangnya pula Al Mughirah, adalah orang yang bertanggungjawab membawa keluarga ini memeluk Islam dihadapan gabenor tersebut sehingga keseluruhan keluarga Al Mughirah dinisbahkan kepada nasab Al Ju'fi.

Ayah beliau, Ismail bin Ibrahim merupakan salah seorang ulama hadith yang  menerima periwayatan dari Imam Malik bin Anas, Hammad bin Zaid, dan sempat bergandingan dengan Abdullah bin Mubarak. Riwayat hadith dari ayahnya tersebar luas dikalangan orang Iraq. Imam Bukhari sempat membesar dengan bimbingan ayahnya biarpun tidak lama, sehingga mekar kecintaannya kepada As Sunnah, sebagaimana pernah dinyatakan kepada beliau oleh ayahnya "aku tidak mendapati pada hartaku satu dirham pun dari jalan haram atau satu dirham pun dari jalan syubhat", maka tumbuhlah jiwanya dalam tawadhu' dan sentiasa berpegang pada agama.

Proses Pembelajaran 

Imam Bukhari, yang dibesarkan oleh ibunya, merupakan seorang kanak kanak yang cerdas dan sentiasa menumpukan perhatian dalam pengajian. Sejak kecil lagi beliau telah mempunyai kemampuan untuk menghafaz Al-Quran, membaca dan menulis. Ketika berumur 10 tahun, beliau semakin aktif menyertai majlis majlis ilmu hadith, sehinggakan ketika beliau berumur 11 tahun, beliau telah mampu menegur seorang guru hadith yang khilaf dalam menyampaikan urutan urutan sanad hadith. Ketekunan dan kerajinan beliau dalam ilmu telah membuatkan beliau hafaz 30 juzuk Al Quran dan lebih 70 ribu hadith beserta sanad lengkapnya hanya ketika beliau berumur 16 tahun.

Guru-Guru beliau antaranya ialah  
  1. Abu Asim An-Nabil.
  2. Makkiyah bin Ibrahim.
  3. Muhammad bin Isa At-Tabba'.
  4. Ubaidullah bin Musa.
  5. Muhammad bin Salam Al-Bikandi.
  6. Ahmad bin Hambal.
  7. Ishak bin Mansor.
  8. Khalad bin Yahya bin Safuan.
  9. Ayub bin Sulaiman bin Bilal.
  10. Ahmad bin Isykab. 

Ilmu yang dikuasai oleh Imam Bukhari
  • Hadith - Beliau sangat teliti dalam penjagaan dan hafalan beliau tentang hadith hadith yang diterimanya samada tentang sanad (perawi) atau matannya(isi). Pengetahuannya mencapai tahap yang sangat tinggi dalam disiplin ilmu ini.
  • Tafsir - Sebagaimana keahlian nya dalam bidang hadith, begitu juga perhatian dan kefahaman beliau dalam disiplan tafsir sehingga beliau menguasainya dengan begitu baik sekali.
  • Fiqh - Sebelum namanya tersohor dalam bidang hadith, beliau terlebih dahulu dikenali sebagai ahli fiqh dan seorang mujtahid yang terkemuka. Beliau selesai mengarang sebuah kitab fiqh ketika berusia 18 tahun. Ini tidak menghairankan kerana Imam Bukhari adalah orang yang cemerlang dalam ilmu hadith, bahasa arab selain pengetahuannya yang tinggi tentang mazhab ahli fikir dan perbahasan hukum oleh Sahabat dan para Tabi'in yang dipelajarinya semenjak umurnya masih terlalu muda. Kefaqihan beliau dalam bidang ini diakui oleh ulama ulama terkemuka pada masa itu seperti Naim bin Hamad Al Khaza'i, Muhammad bin Basyar dan Abu Mus'ib Az Zuhri.
  • Tawarikh Dan Salasilah - Beliau pernah berkata "Ketika aku berumur 18 tahun, aku mula mengarang kisah kisah para Sahabat dan para Tabi'in, mengarang sejarah Madinah disebelah maqam Rasulullah, dan aku mengarang kitab itu pada malam bulan mengambang". Antara lain beliau juga pernah mengatakan "Satu nama walaupun kecil nilainya, aku tetap menganggap ia mempunyai cerita melainkan jika aku tidak ingin memanjangkan penulisanku". Kitab yang dimaksudkan ini diberi nama At Tarikh Al Khabir dimana ianya sangat teratur dengan pengkhususan mengikut bab. Lanjutan dari ini lahirlah At Tarikh Al Ausat dan As Saghir, dimana beliau tidak meninggalkan satu nama pun dalam penulisannya tentang orang orang yang mewariskan ilmu kepadanya, membuktikan penguasaannya tentang biografi, sejarah dan tarikh adalah sangat tinggi dan tiada seorang pun dapat menandinginya.
  • Jarhuwa Ta'dil - Beliau merupakan orang pertama yang mempraktikkan dan mengajarkan ilmu Jarah dan Ta'dil. Sanad hadith tidak lepas dari pemerhatiannya. Ilmu ini dapat membezakan antara perawi hadith yang benar, perawi yang mencampur adukkan hadith, perawi lemah dan perawi palsu. Seringkali hadith yang diterimanya mempunyai kecacatan dan beliau dengan mudah memperbetulkannya. Imam Bukhari sangat berhati hati dalam menyebutkan kecacatan dalam periwayatan samada lafaz atau matan kerana dikhuatiri akan memberi aib kepada periwayat. Ini juga melambangkan sifat wara' dan ketinggian budi pekertinya.
  • Ilal - Bermaksud kecacatan yang tersembunyi dalam hadith. Cabang ilmu ini merupakan sesuatu yang amat rumit disebabkan perincian nya yang sangat sukar tentang sesuatu yang tidak zahir. Ahli hadith yang tidak memberikan perhatian kepada ilmu ini kebiasaannya tidak mampu untuk membezakan antara sebuah hadith sahih dan hadith dha'if. Bertitik tolak dari ilmu ini beserta kesemua ilmu diatas, maka lahirlah sebuah kitab agung yang dikatakan kitab suci kedua setelah Al Quran yang diberi nama Sahih Al Bukhari. 

Lahirnya Kitab Sahih Al Bukhari 

Ketika berusia 18 tahun, ibu beserta abangnya, Ahmad bin Ismail, telah mengajak Imam Bukhari untuk berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji. Disana, beliau mendapati kota itu dipenuhi dengan ulama ulama hadith yang membuka pengajian ilmu. Tentu sahaja beliau tidak akan melepaskan peluang ini, maka setelah selesai mengerjakan ibadah haji, beliau telah memutuskan untuk terus tinggal di Mekah sementara ibu dan abangnya kembali ke negeri asal mereka, Bukhara. 

Ditempat baru ini, beliau sering berulang alik antara Mekah dan Madinah dimana beliau telah mula mengarang biografi tokoh tokoh terkemuka dalam bidang hadith sehingga lahirlah karya pertama beliau dalam bidang ini yang diberi nama At Tarikh. Kitab ini begitu cepat tersebar ke segenap pelusuk dunia Islam dan menjadi pembicaraan orang ramai. Namanya mulai mengharum sehinggakan kemana sahaja beliau pergi samada ke Mesir, Sham, Baghdad , Kufah dan lain lainnya, beliau diberikan penghormatan yang tinggi oleh ulama ulama hadith. Kekaguman yang timbul sehinggakan salah seorang ulama hadith terkemuka, Ishaq bin Rahuyah telah mempersembahkan kitab ini kehadapan gabenor negeri Khurasan, Abdullah bin Thahir Al Khuza'i yang juga berasa takjub dengan susunan dan penghasilan karya yang begitu mempersonakan.

Suatu hari ketika di Khurasan, beliau telah sempat singgah di sebuah majlis ilmu kendalian Ishaq bin Rahuyah. Para hadirin yang ada ketika itu telah menyarankan agar beliau mengumpulkan hadith hadith Nabi kedalam satu kitab, memandangkan bagi mereka, beliau adalah seorang yang ahli dalam ilmu hadith dan periwayatannya. Imam Bukhari menerima usul ini, maka bermulalah karangan beliau dalam menghasilkan sebuah kitab yang muktabar dan menjadi rujukan kita pada hari ini iaitu Al Jami'us Sahih Al Musnad min Hadithi Rasulillah wa Sunani Ayyamihi, yang lebih kita kenali sebagai Sahih Al Bukhari. 

Kitab ini mengambil masa selama 16 tahun untuk disudahkan dimana Imam Bukhari telah menyaring sebanyak 600 ribu hadith dan memilih sejumlah 7275 hadith yang beliau yakini sahih untuk dimuatkan kedalam kitab tersebut. Segera buah tangan dari Imam Bukhari menjadi masyur dan mendapat perhatian yang tinggi termasuk dari Imam Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma'in, Ali Al Madini serta lain lainya.

Sekitar Pujian Ulama Terhadap Imam Bukhari 

Al-Imam Al-Hafiz Abil Hajjaj Yusuf bin Al-Mizzi meriwayatkan dalam kitabnya yang berjudul Tahdzibul Kamal fi Asma’ir Rijal beberapa riwayat pujian para ulama Ahli hadith dan sanjungan mereka terhadap Muhammad bin Ismail Al-Bukhari. Di antara beberapa riwayat itu antara lain ialah pernyataan Al-Imam Mahmud bin An-Nadhir Abu Sahl Asy-Syafi’i yang menyatakan: “Aku masuk ke berbagai negeri iaitu Basrah, Syam, Hijaz dan Kufah. Aku melihat di berbagai negeri tersebut bahawa para ulamanya bila menyebutkan Muhammad bin Ismail Al-Bukhari selalu mereka lebih mengutamakannya daripada diri-diri mereka.

Al-Imam Muhammad bin Abi Hatim meriwayatkan bahawa Hasyid bin Ismail dan seorang lagi (tidak disebutkan namanya), keduanya menceritakan: “Para ulama Ahli Hadith di Basrah di zaman Al-Bukhari masih hidup merasa lebih rendah pengetahuannya dalam hadith dibanding Al-Imam Al-Bukhari. Padahal beliau ini masih muda belia. Sehingga pernah ketika beliau berjalan di kota Basrah, beliau dikerumuni para penuntut ilmu. Akhirnya beliau dipaksa duduk di pinggir jalan dan dikerumuni ribuan orang yang menanyakan kepada beliau berbagai masalah agama. Padahal wajah beliau masih belum tumbuh janggut pada dagunya dan juga belum tumbuh misai.”

Kitab Kitab Beliau Yang Sempat Kita Warisi 

» Al-Jaami' As- Sahih
Dikenali sebagai Sahih Bukhari.

» At- Tarikh Al Kabir. 
Ia merupakan karangan yang paling indah dan baik mengikut bab begitu juga topiknya. Perawi-perawai hadis semenjak dari zaman sahabat sehinggalah zaman beliau serta mengandungi perbahasan tentang kecacatan-kecacatan Hadith, Jarah, Ta'dil dan sebagainya. Ia telah dicetak di Hyderabad di India pada tahun 1691 M dengan disemak oleh Al-Allaamah Abdul Rahman Al-Mu'allimi Rahimahullah.

» At-Tarikh Al-Ausat.
Ia disusun selama beberapa tahun dan tiba kepada kita darinya potongan kitab ilmu islam yang terdahulu.

» At-Taarikh As-Soghir.
Ia disusun beberapa tahun dan dicetak berulang kali.

» Kitab Al-Kuna.
Ia dicetak sebagai lampiran Kitab At-Taarikh Al-Kabir dipercetakan Hyderabad.

» Adh-Dhu'afa'.
Terdapat dua kitab dengan nama tersebut iaitu Saghir (kecil) dan Kabir (besar). Mengandungi sejumlah perawi-perawi hadith yang lemah.

» Al-Adab Al- Mufrad.
Merupakan kitab adab dan akhlak yang elok lagi baik mengikut bab dengan cara terkini dan telah dicetak sebanyak beberapa kali.

» Al-Qiraat Khalfa Al-Imam (bacaan dibelakang imam).
Dikenali sebagai Juz Al-Qiraat. Mengandungi masalah bacaan makmum dibelakang imam dan menyokong hujah tentang diwajibkan membaca Al-Fatihah pada setiap rakaat dalam apa jua keadaan, sekalipun orang yang mendirikan sembahyang itu sebagai imam, makmum atau bersendirian, samada di dalam sembahyang yang tidak dinyatakan bacaannya ataupun yang dinyatakan bacaannya malah tidak dikira rakaat tanpanya. 

» Mengangkat kedua-dua tangan dalam sembahyang.
Dikenali dengan Juz Raf'ul Yadain. Imam Bukhari membentangkan masalah orang sembahyang mengangkat kedua-dua tangan apabila melakukan takbiratul-ihram dan semasa berpindah rukun.

» Kejadian Perbuatan Hamba.
Kandungannya adalah tentang permasalahan pegangan (akidah) iaitu perbuatan-perbuatan hamba adalah merupakan makhluk dan kalam Allah iaitu Al-Quran adalah bukan makhluk. Faktor yang mendorong beliau mengarang kitab tersebut adalah sebagai suatu ujian yang dihadapi tentang masalah tersebut.

Karangan-Karangan Imam Bukhari yang masih lagi tidak dijumpai.
  • Berbuat baik terhadap dua Ibubapa.
  • Al-Jami' Al-Kabir.
  • Al-Musnad Al-Kabir.
  • At-Tafsir Al-Kabir.
  • Al-Asyribah (minuman).
  • Al-Hibah (pemberian).
  • Usama As-sahabah (nama-nama sahabat).
  • Al-Mabsut.
  • Al-Wihdan.
  • Al-Ilal (kecacatan-kecacatan).
  • Al-Fawaid (faedah-faedah).
  • Masalah Sahabat dan Taabi'in.
  • Guru-guru Imam Bukhari. Di dalamnya menyebut tentang guru-gurunya yang menjadi tempat beliau berguru.


Imam Bukhari meninggal dunia di sebuah desa bernama Karthanka, Samarkand, pada malam Sabtu, 1 Syawal 256 Hijrah (malam Hari Raya Aidilfitri). Ketika itu beliau berusia 62 tahun. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, beliau sempat berwasiat agar mayatnya nanti dikafani dengan tiga lapis kain kafan tanpa imamah (ikat kepala) dan tanpa baju. Dan beliau berwasiat agar kain kafannya berwarna putih. Semua wasiat beliau itu dilaksanakan dengan baik oleh kerabat beliau yang menguruskan jenazahnya. 

Wallahua'lam 

0 comments:

Comment here

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |