Indonesia pada hari ini (23/11/10) telah mengeluarkan amaran berjaga jaga selepas berlaku gegaran di Gunung Berapi Bromo yang terletak di Jawa Timur, kurang dari sebulan selepas meletusnya Gunung Merapi yang telah mengorbankan lebih dari 300 jiwa.
"Kami telah meningkatkan amaran berjaga jaga ke tahap tertinggi pada 3.30pm (0830 GMT) hari ini. Terdapat kemungkinan akan berlaku letusan tidak lama lagi", lapor seorang pakar gunung berapi tempatan.
Gunung Bromo mula menunjukkan gegaran pada 8 November dan gumpalan asap putih beserta debu mula kelihatan keluar dari kawah gunung yang mempunyai ketinggian 2,329 meter (7,640 kaki) hari ini (Selasa), menurut laporan yang dikeluarkan oleh laman web kerajaan.
Semua yang berada dalam jarak 3 kilometer dari gunung berapi tersebut - yang terletak kira kira 120km arah selatan Surabaya - telah diarahkan untuk berpindah ketempat yang lebih selamat.
Tidak seperti Gunung Merapi, kawasan persekitaran Gunung Bromo tidak mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi memandangkan ianya terletak didalam kawasan Taman Negara Bromo-Tengger-Semeru. Letusan yang terakhir dilaporkan dari gunung ini adalah pada tahun 2004 dan telah mengorbankan 2 nyawa.
Ia merupakan antara gunung berapi yang paling aktif di Indonesia, puncak yang paling 'muda' di Banjaran Tengger yang terkenal dengan gugusan gunung berapi yang berusia 820,000 tahun. Biarpun begitu, ianya merupakan tempat yang sangat popular sebagai lokasi tumpuan pelancong dan pengunjung harian.
Dalam perkembangan lain, pihak berwajib telah mengemaskini jumlah kematian akibat Gunung Merapi kepada 322 orang sejak ia mula meletus pada 20 Oktober. Pada awalnya, jumlah yang direkodkan adalah sebanyak 309 orang bagaimanapun para penyelamat berjaya menjumpai sebilangan lagi mangsa di Cakringan, kawasan yang teruk terjejas.
Biarpun tahap amaran untuk Gunung Merapi masih diperingkat sangat bahaya, hanya lebih kurang 130,000 orang masih ditempatkan di kawasan perlindungan kecemasan berbanding 320,000 orang ketika tragedi itu mula melanda. Gunung Merapi telah meragut 1,300 nyawa pada tahun 1930, tetapi para pakar mengatakan bahawa letusan yang terkini, adalah yang terbesar sejak 1872.
0 comments: