Sunday, November 21, 2010

Targhib Dan Tarhib - Unsur Penting Dalam Dakwah



ALLAH s.w.t. berfirman di dalam surah saba' ayat ke 25 bermaksud, Dan Kami tidak mengutuskan engkau melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, diulang-ulang beberapa kali di dalam al-Quran dalam beberapa ayat yang lain, iaitu ayat 119 surah al-Baqarah, ayat 23 surah Fatir dan ayat 4 surah Fussilat. Pengulangan ini menunjukkan penegasan tentang peranan Rasulullah SAW

Peranan Rasulullah s.a.w. sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan mewarnai hampir keseluruhan dakwah baginda SAW. Dalam setiap amal kebaikan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, kerap kali ada balasan baik yang dijanjikan. Begitu juga dengan amal kejahatan selalu ada peringatan terhadap balasan buruk yang akan disediakan. Sebesar-besar janji baik adalah Syurga dan seburuk-buruk ancaman adalah neraka Allah s.w.t.

Menyampaikan berita gembira yang membangkitkan semangat untuk beribadah diistilahkan sebagai at-targhib. Manakala memberikan ancaman-ancaman agar merasa gerun untuk melakukan dosa dan maksiat, diistilahkan sebagai at-tarhib. Kedua-duanya merupakan intisari dakwah Rasulullah SAW yang penting. Walau bagaimanapun, kedua-duanya merupakan janji yang tidak dapat dilihat segera di dunia ini. 

Ia bergantung kepada tahap keimanan seseorang terhadap Allah dan Rasul-Nya. Allah berfirman dalam ayat 7 surah al-Hasyr yang bermaksud : "Apa yang diberikan rasul kepadamu maka terimalah, dan apa yang dilarang bagimu maka tinggalkanlah". Ayat ini menyeru agar menerima apa sahaja yang dibawa oleh Rasulullah SAW, termasuk segala janji baik dan buruk yang dibawa oleh baginda SAW.

At-targhib dan at-tarhib ini jarang diperhatikan di dalam perbincangan-perbincangan tentang dakwah. Sedangkan ia merupakan inti dakwah yang mampu memberikan kesan terhadap hati dan perasaan manusia yang berakal. Perasaan mahu kepada yang baik dan bernilai serta takut kepada sesuatu yang menyusahkan dan menyakitkan adalah fitrah semua manusia. Perasaan manusia boleh tergugat dengan kedua-duanya. 

Walau bagaimanapun, at-targhib dan at-tarhib ini hendaklah didasarkan kepada nas-nas al-Quran dan hadith-hadith yang sahih mahupun dha'if. Para ulama hadith telah sepakat membenarkan penggunaan hadis-hadis dha'if yang tidak keterlaluan dha'ifnya dalam masalah at-targhib dan at-tarhib. 

Namun demikian terdapat juga sesetengah pengkaji hadith yang tetap tidak bersetuju penggunaan hadith-hadith dha'if, walaupun di dalam kedua-dua perkara ini. Menjawab persoalan ini, penulis membawakan komentar Dr. Sayyid Muhammad ibn `Alawi al-Maliki al-Hasani yang berkata : ``Wahai pengkaji dan pengkritik hadis, janganlah kamu tergamak mengeluarkan sesuatu hadis kepada kedudukan bukan hadith''.

Unsur-unsur at-targhib dan at-tarhib seharusnya mendapat perhatian penting di dalam sebarang pertemuan yang diadakan di atas nama usaha dakwah. Termasuk juga sebarang penulisan dakwah. Dakwah adalah usaha mendidik bukan memperkenalkan tentang dakwah secara luaran. Tidak ada salahnya membicarakan tentang metodologi dakwah, kerana ia juga merupakan suatu bidang ilmu yang mengajar bagaimana berdakwah. 

Hambar

Namun apabila hanya mahir tentang metodologinya tanpa bahan dakwah yang hendak disampaikan, dakwah akan menjadi hambar dan kosong. Apatah lagi jika apa yang dikatakan dakwah tersebut hanyalah membicarakan hal ehwal yang berkaitan dengan politik, walaupun ia merupakan salah satu wasilah dakwah. 

Rasulullah SAW tidak mendidik manusia dengan pemikiran politik, walaupun unsur tersebut tidak ditinggalkan. Ketakutan kepada Allah dan segala ancaman-ancaman buruk yang dijanjikan Rasulullah SAW tidak akan timbul dalam halaqah yang hanya membicarakan hal ehwal semasa dan politik. 

Begitu jugalah dengan harapan terhadap segala janji-janji baik. Keinginan untuk mendidik manusia dan berdakwah hanya akan lahir apabila aspek at-targhib dan at-tarhib ini sentiasa mengiringi isi-isi dakwah yang lain. 

Syah Waliyullah ad-Dahlawi di dalam bukunya, Qaul al-Jamil telah mengutarakan empat rukun dalam memberi peringatan atau berdakwah iaitu : 

  1. At-targhib iaitu memberi galakan dan perangsang supaya melakukan kebajikan.
  2. At-tarhib iaitu menakut-nakutkan atau menimbulkan rasa gerun terhadap dosa yang akan diterima apabila melakukan maksiat.
  3. At-tamsil iaitu memberi contoh dan perbandingan dengan misal-misal yang jelas dan juga cerita-cerita yang boleh melembutkan hati dan jenaka-jenaka yang berfaedah.
  4. Al-masalah iaitu hal-hal yang berkaitan dengan masalah hukum halal dan haram atau masalah-masalah yang termasuk dalam pengertian adab ahli-ahli dan peraturan berdoa. Begitu juga perkara-perkara yang berkaitan dengan iktikad di dalam Islam. Ringkasnya di sana ada dibicarakan tentang masalah tertentu dan ada usaha untuk memahamkan. 

Hal-hal yang telah disebutkan oleh Syah Waliyullah ad-Dahlawi tadi merupakan isi dakwah yang paling asas dan tidak boleh ditinggalkan, di samping membicarakan masalah dakwah yang lain. Seperti mana yang telah ditegaskan, dakwah merupakan usaha mendidik dan bukan hanya memperkenalkan wasilah dakwah, metodologinya, masalah-masalahnya, cabaran-cabaran dan halangan-halangannya.

Dakwah sebagai usaha mendidik manusia boleh dicapai melalui unsur-unsur at-targhib dan at-tarhib yang telah disebutkan. Dakwah adalah sesuatu yang hanya dapat dipelajari melalui usaha dakwah yang bersifat mendidik dan bukan hanya memperkenalkan. 

Manhaj

Menekankan masalah manhaj dakwah negara mana yang sepatutnya diikuti, adalah tidak bijak lantaran manhaj dakwah Rasulullah adalah bersifat umum dan sesuai pada asasnya untuk digunakan dalam segenap lapisan bangsa manusia, walau di mana mereka berada. Walaupun demikian, beringatlah terhadap sabda Rasulullah s.a.w. agar menyampaikan dakwah mengikut ukuran akal orang yang didakwahkan.

Akhirnya ditegaskan di sini bahawa unsur-unsur at-targhib dan at-tarhib merupakan antara inti dakwah yang penting agar dakwah yang dilakukan benar-benar berfungsi mendidik. 

Setiap langkah mengislah dakwah dalam kelompok manapun adalah langkah yang terpuji. 

Setiap kelompok yang mendirikan usaha dakwah adalah lahir dari hati yang mengalir padanya manisan iman. 

Dengan harapan ini pendakwah-pendakwah akan bersedia menerima perubahan-perubahan yang baik.

Sumber : UtusanOnline

1 comments:

Unknown on November 22, 2010 at 3:30 PM said...

This comment has been removed by the author.

Comment here

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |