Sunday, November 21, 2010

Pengertian Hadith Maudhu'


Sejelek jelek dan seburuk buruk Hadith ialah Hadith Maudhu' iaitu hadith palsu yang didustakan kepada Rasulullah SAW, samada mengenai ucapannya, perbuatannya mahupun perakuannya. Hadith dapat dikenalpasti sebagai maudhu' selalunya kerana pengakuan pembuatnya sendiri ataupun kerana orang yang berkenaan sangat terkenal dengan dustanya dan ianya pembuat hadith palsu. Para ulama' telah mengenal pasti dan telah menyenaraikan berpulun puluh bahkan beratus ratus nama orang orang pembohong dan pembuat Hadith Maudhu', Hadith yang diterima dari mereka kekal sebagai maudhu' kecuali ada mutabi' atau syahidnya dari riwayat perawi lain yang terpercaya (tsiqah).

Pembuatan hadith palsu ini bermula setelah Rasulullah SAW wafat dan berlakunya pertentangan arus politik, kemudian ia berkembang melalui perkembangan arus politik, asobbiah, fanatik mazhab dan beberapa faktor lain. Ia dilakukan oleh orang Islam sendiri yang lemah imannya dan juga oleh orang orang munafiqin dan kafir zindiq. Faktor faktor yang membawa kepada lahirnya Hadith Maudhu' adalah seperti berikut :

Politik

Setelah Rasulullah SAW wafat, timbul perpecahan dikalangan umat Islam kerana perbezaan pendapat mengenai Jabatan Khalifah, tentang siapakah yang lebih layak untuk menjabat jawatan yang sangat penting itu. Golongan Jumhur melantik Abu Bakr RA manakala pengikut Ali KW dengan tegas menyatakan bahawa Ali yang lebih berhak memegang jawatan khalifah, kerana Ali yang lebih layak dan lebih utama dari orang orang lain. Mereka mendakwa perkara itu telah diwasiatkan oleh Rasulullah SAW sebelum wafatnya, maka melantik orang lain selain dari Ali KW bererti merampas haknya. Bagi menguatkan hujjah hujjah maka mereka mendatangkan hadith yang menyatakan keutamaan Ali Bin Abi Thalib, seperti contoh :

"Barangsiapa ingin melihat Adam berkenaan ketinggian ilmunya, ingin melihat Nuh berkenaan taqwanya, ingin melihat Ibrahim berkenaan kebaikan hatinya, Ingin melihat Musa tentang kehebatannya dan ingin melihat Isa tentang ibadahnya, maka hendaklah ia melihat kepada Ali

Golongan Jumhur pula tidak ketinggalan membuat hadith hadith palsu untuk mempertahankan kedudukan mereka dan mematahkan hujjah golongan pengikut Ali KW. Seperti contoh :

"Tidak ada satu pohon pun didalam Syurga kecuali tertulis atas tiap tiap daunnya- Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, Abu Bakr As Siddiq, Umar Al Farouq dan Uthman Zun Nuraini"

Assobiah

Islam menentang sama sekali fanatik kebangsaan (assobiah) dan telah menyatukan manusia dibawah runtuhan assobiah itu dengan iman dan ukhuwwah. Semua manusia adalah sama dan tidak ada yang lebih utama daripada yang lain melainkan dengan ukuran taqwa kepada Allah. Setelah wafatnya Rasulullah SAW, maka penyakit assobiah jahiliah itu muncul kembali. Bermula dengan pertembungan antara kaum Ansar dan Muhajirin, kemudian antara qabilah suku Amawiah, Hasyimiah dan Abbasiah, seterusnya antara bangsa Arab dan bangsa Parsi.

Golongan yang fanatik kepada qabilah Umayyah membuat hadith seperti : "Orang orang yang kepercayaan itu ada tiga orang; Aku (Muhammad), Jibril dan Mu'awiyah".

Golongan yang fanatik kepada golongan Hasyimiah dan Abbasiah membuat hadith hadith seperti : "Akulah kota ilmu dan Ali adalah pintunya" (Hadith ini agak popular juga di negara kita) dan juga contoh ; "Abbas itu ialah orang yang memelihara wasiatku dan ahli warisku". 

 Golongan fanatik Arab membuat hadith palsu tentang keutamaan bangsa Arab seperti : "Bahawasanya Allah itu apabila Ia rela, Ia menurunkan wahyu dengan bahasa Arab dan apabila Ia murka, Ia menurunkan wahyu dalam bahasa Parsi"

Manakala golongan fanatik Parsi pula membalas hujjah dengan membuat hadith palsu seperti : "Bahawasanya Allah itu apabila Ia rela, Ia menurunkan wahyu dengan bahasa Parsi dan apabila Ia murka, Ia menurunkan wahyu dalam bahasa Arab

Fanatik Mazhab

Perbezaan pendapat mengenai hukum hukum fiqh akhirnya menimbulkan fanatik mazhab yang membabi buta sehingga mereka sanggup membuat hadith hadith palsu.

Golongan yang fanatik kepada mazhab Hanafi mendatangkan hadith yang mereka ciptakan seperti : "Akan datang seorang lelaki didalam umatku yang dipanggil Abu Hanifah an Nu'man bin Thabit, dia adalah suluh umatku" . Diantaranya pula terdapat hadith yang berbunyi "Barangsiapa yang mengangkat kedua tangannya, maka tiada solat baginya".

Golongan yang fanatik kepada Mazhab Asy Syafi'ie pula membuat hadith seperti : "Aku (Muhammad) berimam kepada Jibril disisi Kaabah, maka ia mengeraskan bacaan Basmalah". 

Golongan yang fanatik kepada Ulama Al Kalam yang menyatakan Al Quran itu Qadim telah mebuat hadith : "Barangsiapa yang mengatakan bahawa Al`Quran itu baharu maka sesungguhnya telah kafirlah ia"

Manakala bagi golongan yang memusuhi Asy Syafi'ie sehingga sanggup membuat hadith : "Akan ada dalam umatku seorang lelaki yang bernama Muhammad bin Idris, dia lebih berbahaya ke atas umatku daripada Iblis"

Golongan Zindiq dan Munafiq

Banyak pula orang orang yang memeluk Islam samada secara pura pura, kerana takut, kerana mengikut orang ramai ataupun kerana sesuatu kepentingan duniawi. Golongan ini, terutamanya para zindiq dan munafiq memusuhi Islam secara tersembunyi, dan mereka berusaha pula untuk merosakkan Islam dari dalam dengan sengaja membuat banyak hadith hadith palsu. Golongan ini dikatakan telah membuat empat belas ribu hadith palsu (14ribu). Abdul Karim Al Auja sahaja telah mengaku membuat empat ribu (4ribu) hadith sekitar perkara halal dan haram. Diantara hadith hadith palsu yang diperbuat oleh mereka ialah :

  • "Aku (Muhammad) adalah penyudah segala Nabi, tiada Nabi lagi sesudahku, kecuali jika dikehendaki Allah"
  • "Bahawasanya Allah tatkala ia menjadikan huruf huruf, bersujudlah huruf 'Ba' dan tegak berdirilah huruf 'Alif'".
  • "Melihat kepada muka yang cantik itu satu ibadah"
  • 'Bahawasanya Allah itu tatkala hendak menciptakan diriNya, Ia menciptakan kuda dan memacu kuda itu, lalu kuda itu berpeluh, maka Ia pun menciptakan diri Nya daripadanya".
  • "Bahawasanya Allah mengadu sakit mataNya, maka para malaikat pun lalu melawatnya".
  • Allah Tabara wa Ta'ala menciptakan para malaikat dari rambut dua lenganNya dan bulu dadaNya ataupun dari cahaya bulu lenganNya dan bulu dadaNya".
  • "Tuhan kita turun pada petang hari Arafah diatas seekor unta berwarna kelabu, Ia berjabat tangan dengan penunggang penunggang dan berpelukan dengan orang yang berjalan kaki"
Ahli Ahli Bid'ah

Ada golongan sesat yang berpendapat, bahawa hadith hadith boleh dibuat untuk menarik orang ke arah melaksanakan ibadah. Menurut mereka, dusta kerana kebaikan adalah dibolehkan. Oleh itu golongan Al Karamiah (Pengikut Muhammad bin Karram As Sajistani) membuat hadith hadith mengenai targhib dan tarhib  dan Fadhailul Akmal. Nuh bin Abi Maryam dah Ghulam Al Ghalil membuat hadith hadith mengenai keutamaan surah surah Al-Quran. Dengan yang demikian, maka banyaklah tersebar dalam masyarakat Islam hadith hadith mengenai keutamaan amal dan lahirlah banyak amalan amalan bid'ah, yang sama sekali tidak berasal dari Sunnah Rasulullah SAW, sebagaimana contoh :

"Tidak seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis awal bulan Rajab (solat Raghaaib) diantara Isya' dan 1/3 awal malam sebanyak 12 rakaat, ia memisahkah setiap rakaat dengan satu salam, ia membaca Al Fatihah sekali pada tiap tiap rakaat, Surah Al-Qadr sebanyak 3 kali , dan Surah Al Ikhlas sebanyak 12 kali, maka demi Allah yang diriku ini didalam tanganNya, tiada seorang pun yang melakukan solat ini melainkan Allah mengampuni semua dosanya walaupun sebanyak buih dilautan, walaupun sebanyak pasir, walaupun seberat timbangan gunung ganang dan dedaunan pokok, dan Ia akan memberi syafa'at pada hari Qiamat kepada 700 ahli rumahnya yang telah diwajibkan masuk neraka".

Golongan Sufi Yang Keliru/Sesat

Golongan sufi ini banyak yang terlibat dengan pembuatan dan mengamalkan hadith hadith palsu. Antara lain, hadith hadith mengenai keutamaan surah surah Al-Quran satu persatu yang diriwayatkan dari Ubai bin Ka'ab.

Dalam satu kajian teliti yang dibuat oleh Mu'ammal bin Ismail, beliau telah menemui orang yang membuatnya. Kata beliau: "Aku telah diriwayatkan hadith ini oleh seorang syeikh, lalu aku bertanya kepanya 'Siapakah yang meriwayatkan hadith ini kepadamu?', Syeikh itu menjawab: 'Seorang lelaki di Madain, ia masih hidup'. Lalu aku pergi menemui lelaki itu lalu bertanya : 'siapakah yang meriwayatkan hadith ini kepadamu?', Orang itu menjawab : 'Aku telah diberitahu oleh seorang syeikh di Wasith' . Lalu aku pergi menemuinya dan kutanyakan : 'Siapakah yang meriwayatkan hadith ini kepadamu?' Ia menjawab : 'Seorang syeikh di Abadan', Maka aku pun pergi menemuinya bersama sama syeikh dari Bashrah tadi. Ia memegang tanganku lalu membawaku masuk ke dalam sebuah rumah, tiba tiba aku dapati kaum sufi yang berada didalam rumah itu dan bersama sama mereka ada seorang syeikh mereka. Aku bertanya lagi : 'Siapakah yang meriwayatkan hadith ini kepadamu?' Syeikh itu lalu menjawab : 'Tiada siapapun yang meriwayatkan hadith ini kepadaku, tetapi kami telah melihat manusia telah jauh dari Al`Quran lantas kami ciptakan hadith ini untuk mereka bagi memalingkan semula hati mereka kepada Al-Quran.'

* Kajian diatas telah dipetik dari pengarang kitab Al-Israiliat wal Maudhu'at fi Kutubit Tafsir dari keterangan Ibnu Salah.

Ulama' As Su' (Ulama Jahat)

Diantara para ulama' ada yang dinamakan ulama' As Su' iaitu ulama' duniawi yang menjual agama dengan dunia dengan harga yang sedikit, suka menjilat penguasa lalu memutarbelitkan kebenaran dengan mebuat hadith hadith kerana kepentingan dunia, untuk tujuan mendekatkan diri dengan para pemerintah.

Ghiath bin Ibrahim An Nakha'ie Al Kufi pada suati hari datang berkunjung keistana Al Mahdi. Dikala itu Al Mahdi sedang bermain burung merpati kerana beliau sangat suka kepada burung burung itu. Maka berkatalah Ghiath: 

Rasululullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Tidak ada pertaruhan melainkan anak panah, unta atau kuda ataupun burung

Hadith yang dibawa oleh Ghiath adalah benar, tetapi tambahan perkataan "ataupun burung" itu adalah perkataan Ghiath sendiri untuk tujuan membodek Al Mahdi. Al Mahdi memahami maksud Ghiath itu lalu disuruh supaya Ghiath diberi hadiah. Setelah Ghiath pergi, maka Al Mahdi berkata : 'Aku naik saksi atas engkau, bahawa engkau adalah seorang pendusta terhadap Rasul'. Kemudian dia berkata pula : Akulah yang mendorong beliau berbuat demikian' . Al Mahdi kemudian memerintahkan agar burung burung merpati itu disembelih. 

Diriwayatkan pula, bahawa Abu Al Bakhtari (Qadhi) datang mengunjungi Ar Rasyid dikala Ar Rasyid sedang menerbangkan burung merpati, ia lalu berkata kepada Ar Rasyid : Adakah Tuan menghafal sesuatu mengenai ini ? Lalu iapun meriwayatkan sebuah hadith :
"Bahawasanya Nabi SAW adalah suka menerbangkan burung merpati"
Ar Rasyid mengerti bahawa Abu Al Bakhtari telah melakukan dusta terhadap Nabi SAW lalu ia diherdiknya dan berkata : 'Jika bukan engkau ini dari golongan Quraisy tentulah aku melucutkan jawatan engkau'.

Tukang Tukang Cerita / Penglipur Lara

Pendongeng atau penglipur lara banyak mencipta hadith hadith palsu yang mengandungi kisah kisah aneh dan ajaib untuk menarik perhatian orang ramai. Antaranya : "sesungguhnya bahtera Nabi Nuh telah bertawaf tujuh hari di Baitullah dan bersolat dua rakaat di Maqam Ibrahim"

Diriwayatkan, bahawa Imam Ahmad dan Ibu Ma'in bersolat di Masjid Rasafah. Seusai solat bangunlah seorang tukang cerita ditengah tengah orang ramai lalu memulakan bicara : "Kami diberitakan oleh Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in yang berkata : kami diberitakan dari Abdur Razaq dari Ma'mar dari Qatadah dari Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Barangsiapa yang mengucapkan Lailaha ila Llah, nescaya Allah menjadikan dari tiap tiap kalimah, seekor burung. Paruhnya dari emas dan bulunya dari marjan (bunga batu karang)." Kemudian orang itu terus bercerita sehingga kira kira dua puluh (20) halaman kertas. Imam Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in saling berpandangan. Imam Ahmad bertanya kepada Ibnu Main : 'Engkaukah yang menceritakan hadith itu kepadanya ?', Ibnu Ma'in menjawab : 'Demi Allah, baru sekarang inilah aku mendengarnya'. Setelah selesai orang itu bercerita, maka Ibnu Ma'in memberi isyarat kepadanya lalu ia datang kepada Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibu Ma'in. Berkata Ibu Ma'in : 'Siapakah yang menceritakan hadith itu kepadamu?', Orang itu menjawab : 'Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in', . Lalu Ibnu Ma'in menjelaskan 'Akulah Ibnu Ma'in dan sebelah ini adalah Imam Ahmad bin Hanbal. Kami tidak pernah mendengar hadith itu dari Rasulullah SAW'. Orang itu menjawab : 'Aku selalu mendengar bahawa Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in adalah orang bebal, baru sekarang inilah aku dapat memastikannya'. Ibu Ma'in bertanya kembali : 'Mengapa kamu berkata demikian?'. Ia menjawab : 'Seakan akan di dunia ini tidak ada Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in selain dari kamu berdua. Sesungguhnya hadith ini telah diriwayatkan oleh 17 orang yang bernama Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in'. *

* Dipetik dari Kitab Al Maudhu'at, 1 , halaman 46

Orang Orang Yang Mencari Rezeki

Bagi melariskan barang barang jualan atau menarik orang kepada sumber rezekinya, banyaklah pula hadith hadith palsu yang dibuat oleh golongan ini seperti :
  • "Aku mengadu kepada Jibril kerana tidak kuat bersetubuh, maka ia menyuruhku supaya makan bubur Harisah"
  • "Muaz bin Jabal berkata : Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, adakah baginda didatangkan makanan dari syurga? Beliau bersabda : Ya, aku didatangkan harisah dari syurga lalu aku memakannya maka ia menambahkan kekuatanku bagaikan kekuatan 40 orang dan menambahkan jimakku seperti jimak 40 orang"
Dan termasuk kedalam golongan ini ialah hadith hadith palsu yang dibuat orang untuk melariskan doa seperti doa 'Ukkasyah, doa Kanzul Arasy, doa Nisfu Syaaban, doa bulan Rajab, doa awal tahun, doa akhir tahun dan lain lain lagi. Hadith hadith seperti ini selalunya terdapat dalam risalah risalah mengenai doa seperti doa 'Ukkasyah yang dicetak bersama sama surah Yaasin, Majmu' Syarif yang mencampur adukkan antara surah surah Al Quran dengan hadith hadith palsu itu. Risalah risalah ini banyak terdapat didalam masjid masjid, surau dan rumah rumah orang Islam sejak zaman berzaman. 

Orang Orang Yang Mencari Nama 

Keghairahan untuk mencari nama kemasyhuran sebagai perawi hadith yang banyak meriwayatkan hadith mendorong orang unutk membuat hadith hadith palsu tanpa menghiraukan akibat apa yang akan menimpa Islam dan umatnya dikemudian hari .

* Sumber : Drs Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris dari Buku Himpunan hadith Dha'if dan Maudhu'

0 comments:

Comment here

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |