Friday, November 12, 2010

Sunan Kali Jaga



Joko Said dilahirkan sekitar tahun 1450. Ayahnya bernama Arya Wilatikta, Adipati Wilayah Tuban, berketurunan pemberontak lagenda Majapahit, Ronggolawe. 

Riwayat masyhur mengatakan bahawa Adipati Arya Wilatikta telahpun memeluk Islam sebelum kelahiran Joko Said. Namun biarpun telah Islam, beliau dikenali dengan sifatnya yang kejam dan sangat taklid kepada pemerintahan pusat Majapahit yang mengamalkan ajaran Hindu. Ia mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat. Joko Said yang ketika itu masih muda sangat tidak bersetuju dengan corak pentadbiran ayahnya dan sering membangkang ketidakadilan Adipati. Puncak pada penentangan ini timbul apabila Joko Said memecah masuk kedalam perbendaharaan dan mengagihkan padi dari dalam simpanan kepada rakyat Tuban yang ketika itu dalam keadaan kelaparan akibat kemarau panjang.

Berikutan dari tindakannya itu, Ayahnya telah memanggil sidang tergempar untuk mengadili Joko Said dan rasional perbuatannya itu. Kesempatan ini diambil oleh Joko Said untuk mengatakan kepada ayahnya bahawa cara pentadbiran ayahnya tidak selari dengan Islam dan perbuatan ayahnya mengumpulkan makanan dalam perbendaharaan ketika rakyatnya hidup dalam kemiskinan dan kelaparan adalah perbuatan yang tidak berhati perut.

Ayahnya tidak dapat menerima alasan dan teguran beliau kerana menganggap Joko Said ingin tunjuk pandai dalam bidang agama. Kemudian beliau diusir keluar dari Istana Negeri dengan seraya mengisyaratkan bahawa  dia hanya boleh pulang semula ke istana jika sudah mampu menggetarkan seisi Tuban dengan bacaan ayat ayat suci Al-Quran. Maksud 'menggetarkan seisi Tuban' disini ialah bilamana beliau sudah memenuhi dada dengan banyak ilmu agama dan menjadi terkenal oleh masyarakat kerana ilmunya.

Harus diceritakan juga bahawa Joko Said asalnya adalah seorang perompak yang digeruni di Jawa Timur ketika masih tinggal di Istana. Namun beliau bukanlah sebarang perompak dan sangat memilih dalam menentukan mangsanya. Ia hanya merompak orang kaya yang enggan mengeluarkan zakat dan sedekah. Mirip Robin Hood dalam penceritaan Inggeris, Joko Said juga membahagikan hasil rompakannya kepada orang orang miskin sehingga dia diberi gelaran Lokajaya atau bermaksud "Perompak Yang Budiman".

Namun segalanya berubah setelah Joko Said ditakdirkan bertemu dengan seorang Ulama tersohor bernama Syeikh Maulana Makhdum Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Sunan Bonang. Ulama ini lah yang menyedarkan beliau betapa perbuatan baik tidak boleh diawali dengan perkara yang buruk, sesuatu yang haq tidak boleh dicampurkan dengan sesuatu yang bathil, Sehingga Joko Said akhirnya bertaubat dan meninggalkan pekerjaan merompak. Seterusnya, Joko Said berguru dengan Sunan Bonang dan akhirnya muncul menjadi seorang Ulama yang terkenal dengan gelaran Sunan Kalijaga.

Sejarah Nama 'Kalijaga'

Nama ini masih menjadi misteri dan menimbulkan pertikaian diantara pakar pengkaji sejarah hingga ke hari ini. Masyarakat Cirebon berpendapat bahawa nama itu berasal dari dusun Kalijaga di Cirebon 

Beliau memang pernah tinggal di Cirebon dan bersahabat erat dengan Sunan Gunung Jati. Menjadi kebiasaan setempat untuk menggelarkan seseorang berdasarkan sesuatu daerah sebagaimana Syeikh Syarif Hidayatullah mendapat gelaran Sunan Gunung Jati, disebabkan beliau menetap di kaki Gunung Jati.

Fakta menunjukkan tidak terdapat 'kali' (sungai) disekitar dusun Kalijaga sebagai ciri khas tempat tersebut. Sedangkan, dikawasan lain tanah Jawa secara umumnya dinamakan dengan sesuatu yang berkaitan dengan sesuatu kawasan. Sebagai contoh, nama Cirebon, diambil sempena terdapat banyak udang (rebon) dikawasan tersebut. Contoh lain, nama daerah Pekalongan diberi kerana terdapat banyaknya kalong (kelawar). Maka secara logiknya, nama dusun Kalijaga baru sahaja timbul setelah Sunan Kalijaga tinggal disitu, bukan sebaliknya dan dengan ini pendapat masyarakat Cirebon meragukan dan tidak dapat diterima.

Pendapat lain datang dari kalangan Kejawen (Jawa Mistik). Mereka mengaitkan nama ini dengan kegemaran Sunan Kalijaga berendam di dalam sungai (kali) sehingga kelihatan seperti orang yang menjaga sungai tersebut (jaga kali). Pendapat dari kalangan Kejawen yang lain mengatakan bahawa nama ini timbul kerana Joko Said pernah disuruh untuk bertapa di pinggir kali oleh Sunan Bonang selama 10 tahun. Ini pendapat yang paling popular sehingga dijadikan panduan dalam pembuatan filem 'Sunan Kalijaga' dan Walisongo" sekitar tahun 80an. 

Namun pendapat itu masih menimbulkan keraguan kerana mengikut tata bahasa kepulauan Jawa (Sunda Dan Jawa) dan segala dialeknya, bila ada frasa yang menempatkan kata benda didepan kata kerja, ini membawa maksud kata benda tersebut berlaku sebagai subjek yang menjadi pelaku dari kata kerja yang mengikutinya. Jadi bila ada perkataan 'kali jaga' atau 'kali jogo', ini bermakna ada 'sebuah kali yang menjaga sesuatu' , perkataan sebegini pastinya janggal dan meragukan. Jika benar cerita bahawa beliau pernah sering mandi di sesebuah kali ataupun pernah diam dipinggirnya selama 10 tahun, seharusnya mengikut tatabahasa namanya menjadi 'Sunan Jogo Kali' atau 'Sunan Jaga Kali'.

Bagaimanapun, jika kita berfikir secara logik , segala pendapat ini tidak masuk akal . Sunan Kali Jaga dimasyhurkan orang sebagai seorang Ulama. Tentu berlawanan jika kita katakan bahawa beliau sering berendam dalam sungai sepanjang hari atau bertapa selama 10 tahun sedangkan beliau merupakan seorang da'ie (pendakwah). Bagaimana mungkin seorang da'ie boleh meninggalkan syariat seperti solat, puasa,  bermasyarakat , makan dan minum dengan pergi bertapa selama 10 tahun . Sudah pasti akal yang sihat sukar untuk menerimanya.

Pendapat yang paling sesuai ialah nama tersebut sebenarnya berasal dari perkataan arab iaitu 'Qadhi' (hakim) dan digabungkan dengan nama asalnya Joko Said. Gabungan Qadhi Joko ini bersesuaian dengan sejarah yang menyatakan beliau ditugaskan sebagai Qadhi Wilayah Demak pada tahun 1478, oleh pemerintah Demak ketika itu, Sunan Giri. Lidah (telo) Jawa sangat sinonim dengan penyimpangan lafaz kata kata Arab sebagaimana contoh Sekaten (Syahadatain), Kalimosodo (Kalimah Syahadah), Mulud (maulid), Suro (syura'), Dulkangidah (Dzulqaidah) dan banyak lagi contoh contoh yang lain. Dipercayai Kali Jogo (Kalijaga) adalah hasil dari penyimpangan Qadhi Joko.

Kedudukannya sebagai Qadhi ialah bukti bahawa Kerajaan Demak merupakan sebuah kuasa pemerintahan yang berlandaskan Islam dan menjalankan Undang undang syariah. Ini diperkuatkan lagi dengan kedudukan Sunan Giri sebagai Wali di Demak. Istilah Qadhi dan Wali adalah merujuk kepada nama jabatan didalam sesebuah negara Islam. Justeru, sudah jelas kedudukan Sunan Kali Jaga yang tepat. Beliau ialah seorang Qadhi, bukan dari kalangan Kejawen yang bertapa selama bertahun tahun dan mempraktikkan Kejawenisme.

Da'wah Sunan Kali Jaga

Da'wah yang dibawa oleh beliau adalah da'wah Islamiyah dan bukannya ajaran Kejawen atau Sufi-Pantheistik. Beliau merupakan perancang kepada pembangunan Masjid Agung Cirebon dan Masjid Agung Demak. Tiang 'tatal' (pecahan kayu) yang dijadikan tiang utama masjid adalah hasil tangan beliau. Ini menyanggah pendapat Kejawen kerana tidak mungkin seorang pengamal mistik berkehendak pada pembangunan masjid yang secara terangnya ada lah tempat ibadah orang Islam .

Fahaman agama yang dibawanya adalah berbentuk salafi - bukan sufi sebagaimana yang dikatakan sesetengah pihak yang berfahaman ala Kejawen dan berpaksikan ajaran 'Manunggaling Kawula Gusti'. Ini terbukti dari sikap tegasnya yang berdiri dibelakang Sunan Giri ketika terjadinya konfrontasi dalam masalah 'penyimpangan' Syeikh Siti Jenar dengan ajarannya bahawa manusia dan Tuhan bersatu dalam dzat yang sama. 

Kesenian dan Kebudayaan menjadi salah satu medium dalam dakwah beliau. Beliau sangat bertolak ansur dengan budaya tempatan namun bersikap tegas dalam perkara aqidah. Selagimana budaya itu bersifat amalan tradisi dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam, beliau membenarkannya. Wayang beber ala Jawa yang memaparkan gambar manusia secara lengkap diubahnya menjadi wayang kulit yang wataknya samar dan tidak menggambarkan manusia secara terperinci, kerana menggambarkan/mengukir sesuatu yang mirip manusia dalam Islam adalah haram hukumnya.

Dikisahkan, beliau sering berdakwah ke kampung kampung dengan hanya membuat pertunjukkan wayang kulit dimana beliau sendiri yang menjadi tok dalangnya. Hadirin yang datang untuk menyaksikan wayang kulitnya tidak dikenakan bayaran, cukup hanya dengan mengucap dua kalimah syahadah, kerana beliau yakin bahawa masyarakat harus didekati dengan apa yang disukai mereka dan pemahamannya perlu bertahap . Diawali dengan pengislaman terlebih dahulu dan diikuti dengan pengetahuan dalam ibadah dari segenap segi. Beliau yakin, apabila jiwa mereka telah kuat dengan roh Islam, kebiasaan kebiasaan (amalan) lama akan hilang dengan sendirinya.

Watak watak yang dilakonkan oleh Sunan Kali Jaga dalam persembahannya bukanlah watak yang kita ketahui sebagaimana yang terdapat dalam wayang kulit versi Hindu seperti Mahabrata, Ramayana, Sita Dewi dan lain lainnya. Walaupun ciri ciri watak yang digunakannya sama namun beliau menukarkannya dengan watak yang bercirikan Islam dan menambah watak watak baru seperti Punakawan, Semar, Bagong, Petruk dan Gareng yang memiliki karakter yang simbolik dan digarap sarat dengan isian KeIslaman.

Istilah Yang Digunakan Dalam Pementasan Beliau Dan Simboliknya
  • Dalang : Berasal dari perkataan Arab, Dalla, yang bererti menunjukkan. Dalam hal ini, seorang 'dalang' adalah seorang yang dapat 'menunjukkan kebenaran kepada para hadirin'. (Barangsiapa menunjukkan kebenaran atau kebajikan kepada orang lain, pahalanya sama dengan pelaku kebajikan itu sendiri - Hadith Riwayat : Bukhari)
  • Watak Semar : Diambil dari perkataan Arab, Simaar, yang bermaksud Paku. Mesejnya , seseorang Muslim mesti memiliki pendirian dan iman yang kukuh sebagaimana paku yang tertancap (Simaaruddunyaa)
  • Watak Petruk :  Dari perkataan Arab, Fat-ruuk, yang bermakna 'tinggalkan'. Maksudnya, seseorang Muslim perlu meninggalkan segala penyembahan kepada selain dari Allah (Fatruuk-kuluu man siwallaahi)
  • Watak Gareng :  Dari perkataan Arab, Qariin, bermaksud 'teman' . Ertinya, seseorang Muslim itu selalu mencari teman sebanyak banyak nya untuk diajak ke arah kebaikan ( Nalaa Qariin)
  • Watak Bagong : Dari perkataan Arab, Baghaa, yang membawa makna 'berontak'. Kiasnya, seeorang Muslim perlu bangun dan memberontak apabila menyaksikan kezalima yang berlaku dihadapannya.
Seni ukir, wayang, gamelan, baju takwa, perayaan saktenan, grebeg maulud serta seni suara suluk yang diciptakannya adalah merupakan medium untuk dakwah semata mata, bukan untuk menjadi budaya yang perlu ditradisikan hingga berkarat dalam kalbu dan dianggap sebagai ibadah.  Itulah cara yang digunakan oleh Sunan Kali Jaga untuk mendekatkan Islam pada masyarakat, MengIslamkan budaya . Secara falsafah, langkah ini adalah sejajar dengan ciri ciri da'wah Rasulullah SAW yang mengandalkan keindahan syair Al-Quran sebagai jalan da'wah yang sangat berkesan untuk menundukkan hati suku suku bangsa Arab yang sangat gemar berdeklamasi.Malangnya kebanyakan tersalah anggap dan terus hanyut dalam aliran seni dengan mengganggapnya sebahagian dari perkara yang dibolehkan.

Penyataan Penyataan Aneh Tentang Sunan Kali Jaga 

Beliau dikatakan hidup lebih dari 100 tahun. Ini bermaksud beliau dapat menyaksikan kejatuhan Majapahit (yang diagungkan oleh ayahnya) pada tahun 1478. Dalam masa yang sama, beliau duduk dalam pemerintahan Kesultanan Demak, Kesultanan Cirebon, Kesultanan Banten, Kerajaan Pajang (muncul pada tahun 1546) sehingga ke awal era Kerajaan Mataram. Tiada bukti tentang perkara tersebut. Manuskrip dan risalah risalah lama hanya mengatakan nama beliau hingga ke zaman Kesultanan Cirebon sahaja, iaitu ketika beliau bermukim di dusun Kalijaga. Dalam kisah kisah tertubuhnya Kerajan Pajang oleh Joko Tingkir dan juga Kerajaan Mataram oleh Panembahan Senopati, namanya tiada disebut, padahal dengan kredibiliti beliau yang tersohor dan dengan pengaruhnya yang luas didalam masyarakat Jawa, namanya pasti ada sekiranya beliau masih hidup pada zaman itu. Fakta menunjukkan bahawa makamnya berada di Kadilangu berdekatan Demak, bukan di Pajang atau di Mataram (Yogyakarta dan sekitarnya dimana Kejawen tumbuh subur),  maka dipercayai beliau telahpun meninggal dunia ketika Kerajaan Demak masih berdiri. 

Beliau dikatakan boleh terbang, dapat menurunkan hujan dengan hentakan kaki, mengurung petir yang bernama Ki Ageng Selo didalam Masjid Demak dan kisah kisah mistik yang lain yang bila difikirkan dengan akal yang sihat adalah sesuatu yang berbentuk khayalan. Perkara perkara sebegini diada adakan dan hanya dipercayai oleh orang orang yang gemar pada perkara mistik dan sihir.

Ajarannya dikatakan berbaur dengan ajaran Hindu - Buddha serta Kejawen. Sedangkan fakta tentang kehidupan Sunan Kalijaga adalah berlandaskan Da'wah dan Syi'ar Islam yang indah . 

Wallahua'lam 

0 comments:

Comment here

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |